Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Pelarasan OPR bukannya untuk membebankan rakyat
Diterbitkan:  Jan 20, 2023 1:44 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Setelah empat kali Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate - OPR) semenjak Mei 2022, bank pusat tersebut buat kejutan baru-baru ini dimana OPR diumumkan kekal.

Walaubagaimanapun, peningkatan dari 1.75% (Mei 2022) sehingga 2.75% (November 2022) telah mencetuskan perdebatan hangat di kalangan umum, sama ada penyelarasan sebegini seiring dengan situasi ekonomi semasa.

Perdebatan hangat

Ramai yang mungkin tertanya-tanya, apa itu OPR dan mengapa polisi kawalan kewangan ini sentiasa digunakan oleh BNM untuk mengawal inflasi?

Ada antara kita yang mengaitkan OPR dengan kenaikan kos sara hidup, kos pinjaman yang lebih tinggi, ketidakberkesanan menangani inflasi didorongi penawaran, bayangan kemelesetan pada tahun 2023 dan sebagainya.

Persoalan asas yang timbul di sini ialah, sebetul manakah dakwaan tersebut? Ramai yang menyoal ketelusan keputusan BNM, sangsi kesungguhan kerajaan menangani inflasi dan menggesa kerajaan mencari alternatif selain OPR.

Sebelum kita mengupas lebih lanjut, eloklah kita memahami perkara pokok tertentu terlebih dahulu.  

Jadi, apakah Kadar Dasar Semalaman (OPR)?

OPR adalah kadar faedah untuk tempoh satu malam yang ditetapkan oleh BNM, iaitu satu kadar rujukan yang diguna pakai oleh institusi kewangan yang melakukan transaksi pinjam-meminjam antara satu sama lain setiap hari.

Sejarah OPR hampir 20 tahun kebelakangan ini

Meninjau sejarah OPR negara kita 18 tahun kebelakangan ini, Malaysia mencatatkan perubahan terkawal seperti 2.70% (2004), 3.00% (2011 - 2014) dan 2.75% (2022). Ketika negara kita tenat dilanda pandemik Covid-19 pada pertengahan tahun 2020 dan 2021, OPR diturunkan sehingga 1.75% demi menyokong pemulihan ekonomi. Dalam tempoh 18 tahun yang lalu, terdapat dua kali OPR menjangkaui kadar 3.00%, iaitu 3.50% (2006 – 2008) dan 3.25% (2018 – 2019).

Perubahan OPR – apakah kesannya terhadap anda?

Tidak dapat dinafikan, perubahan OPR akan memberi kesan terhadap pelbagai ukuran kewangan seperti kadar deposit, kadar pinjaman, pertukaran matawang asing, kos pembiayaan perumahan dan kenderaan. Adalah amat penting untuk menunjukkan bahawa, hanya peminjam sedia ada yang mempunyai peminjaman perumahan atau bisnes dengan kadar terapung sahaja yang akan terjejas dengan perubahan OPR. Peminjaman kenderaan yang sedia ada dengan kadar tetap sememangnya tidak akan terjejas.

Menjawab persoalan umum

Untuk pemahaman umum, dasar monetari negara kita termasuk OPR adalah digubal secara bebas oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM, seperti dinyatakan dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA 2009). Dengan kata lain, keputusan OPR tidak dipengaruhi oleh pihak kerajaan atau pihak bank.

Hal ini adalah untuk mengelakkan pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab untuk mencetak wang sewenang-wenangnya kerana pencetakan yang tidak terkawal hanya akan membawa hiperinflasi dan menyusutkan nilai mata wang.

Untuk maklumat anda, antara negara asing yang dibelenggu hiperinflasi adalah seperti Zimbabwe, Sudan, Ghana, Argentina, dan Iran apabila negara tersebut lambat bertindak. Apabila ini berlaku, kehidupan rakyat akan menjadi amat susah akibat kenaikan kos hidup yang tidak terkawal disebabkan kuasa beli yang turun mendadak.

BNM diamanahkan untuk bertindak menyelaraskan OPR berdasarkan keperluan ekonomi Malaysia semasa.

Ini adalah kerana penyelarasan OPR yang bersesuaian dapat mewujudkan persekitaran inflasi yang terkawal agar peningkatan harga yang mendadak dan tidak terkawal tidak berlaku di Malaysia.

Bayangkan senario ini: Kenaikan harga barangan sebanyak 3% setiap tahun lebih mudah ditangani ataupun kenaikan 30% setiap tahun? Jawapannya cukup jelas sekali.

Jadi, kenaikan OPR yang proaktif adalah langkah yang tepat untuk mencegah hiperinflasi demi kemampanan ekonomi jangka panjang. BNM  tidak boleh mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ kerana tindakan awal dapat menyelamatkan negara kita daripada situasi ‘terlewat bertindak’.  

Langkah ini dapat mengelakkan kenaikan kadar faedah pinjaman bank yang lebih agresif pada masa hadapan demi kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

Tambahan lagi, hiperinflasi tidak pernah berlaku di negara kita kerana BNM mempunyai rekod prestasi mengawal kadar inflasi agar stabil semenjak dahulu lagi.

Bagi mereka yang mengalami masalah bayaran balik pinjaman, anda dinasihatkan untuk menyemak semula struktur pinjaman anda dengan mendapatkan nasihat kewangan daripada bank yang berkaitan atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Dari segi perancangan kewangan, OPR adalah satu alat yang berkesan untuk menguruskan tabiat perbelanjaan pengguna. OPR yang lebih tinggi dapat mengelakkan lebihan perbelanjaan. Jadilah seorang pengguna yang berbelanja secara berhemat dan bertanggungjawab.  

Kadar pinjaman yang lebih tinggi susulan peningkatan OPR juga bermakna kadar faedah simpanan yang lebih tinggi. Jadi, orang ramai diseru menyemak semula strategi pelaburan kerana pulangan simpanan seperti melabur dalam simpanan tetap akan meningkat jika OPR meningkat, khususnya bagi pesara yang tiada punca pendapatan lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS