Menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka akan menyumbang sekurang-kurangnya 25% keluaran dalam negara kasar (KDNK) atau GDP Malaysia. Kerajaan, melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah meningkatkan usahanya untuk memperluaskan liputan dan tahap kelajuan Internet di seluruh negara serta merapatkan jurang digital, selaras dengan konsep Malaysia MADANI.
KKD telah merangka pelan strategik untuk membangunkan ekonomi digital Malaysia sekaligus mencipta dekad keemasan digital (golden digital decade) negara. Pelan strategik ini merangkumi tiga teras utama – iaitu Prasarana Komunikasi, Keselamatan Siber, dan Ekonomi Digital – yang turut disokong oleh Reformasi Penyiaran dan Penerangan serta Reformasi Industri Kreatif.
Faktor asas ekonomi digital ialah Internet – ia mesti laju, murah dan stabil.
Melalui penambahbaikan capaian Internet negara akan memperolehi kebaikan secara serampang dua mata iaitu mencipta lonjakan yang akan memaksimumkan potensi ekonomi digital negara serta merapatkan jurang sosioekonomi penduduk di bandar dan luar bandar.
KKD memulakan langkah dengan memperkenalkan Pakej Internet Perpaduan yang menawarkan Internet mudah alih prabayar dan jalur lebar tetap pada harga yang lebih murah dari harga pakej-pakej sedia ada.
Menurut KKD, inisiatif ini bukan sahaja seiring dengan hasrat kerajaan untuk meringankan beban rakyat, malahan merupakan indikator bahawa Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan mengambil perhatian terhadap keperluan dan kebajikan rakyat serta terus berusaha untuk memastikan kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh dengan harga yang lebih rendah seiring dengan konsep Malaysia MADANI.
Pada 21 Disember 2022, KKD telah melancarkan Pakej Data Perpaduan yang menawarkan pakej Internet mudah alih prabayar pada harga yang amat menarik, khas untuk belia sehingga 30 tahun, golongan B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Dengan hanya RM30, golongan sasaran ini dapat menikmati kelajuan Internet mudah alih daripada 1Mbps ke 3Mbps dengan kuota 30GB untuk tempoh enam bulan (180 hari). Ini bersamaan kos RM5 sebulan, penjimatan sebanyak 50% berbanding pakej sedia ada.
Lebih-lebih lagi, pakej ini merupakan pakej asas yang disediakan dan adalah terpulang kepada penyedia perkhidmatan untuk menawarkan nilai tambah ke atas pakej ini. Pakej prabayar ini ditawarkan oleh lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.
Pada 2 Februari 2023, KKD mengumumkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Fixed Internet Broadband) disasarkan untuk membantu golongan B40, veteran pasukan beruniform, OKU serta warga emas dengan menawarkan perkhidmatan jalur lebar tetap pada harga yang lebih rendah. Pakej ini menawarkan kelajuan sehingga 30 Mbps bersama data tanpa had (unlimited data) dengan harga hanya RM69.00 sebulan.
Pakej ini ditawarkan dengan kerjasama para penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad dan Astro. Pakej ini mula ditawarkan pada bulan Mac 2023 dengan kontrak langganan selama 24 bulan. Harga pakej ini 22% lebih murah berbanding harga pakej semasa dengan spesifikasi yang sama iaitu sekitar RM89.00, bermakna rakyat dapat menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak.

