DAP akan bertanding sebanyak 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.
Pengumuman yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, menunjukkan kesungguhan parti tersebut untuk mempelbagaikan barisan kepimpinan parti tersebut.
Antara lima calon yang akan bertanding adalah Ng Sze Han (calon Harapan N30 Kinrara), Jamaliah Jamaluddin (calon Harapan N36 Bandar Utama), Ong Chun Wei (calon Harapan N27 Balakong), Papparaidu Veraman (calon Harapan N52 Banting) dan Lwi Kian Keong (calon Harapan N56 Sungai Pelek).

Menurut Ng Sze Han selaku EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor yang telah dua penggal menerajui DUN Kinrara, kombinasi 60% calon berpengalaman dan 40% muka baharu merupakan satu pertimbangan bersifat jangka panjang untuk memperkasakan barisan kempimpinan parti dengan latar belakang yang berlainan.
“Untuk memastikan suara wanita didengar, kami mengemukakan lebih daripada 30% calon wanita untuk pilihan raya negeri kali ini. Kami yakin dan menaruh harapan tinggi terhadap kepimpinan mereka,” kata Ng.
“Dan untuk memastikan suara dan kehendak golongan muda didengar, kami juga membariskan lebih daripada 30% calon anak muda untuk menggalas agenda generasi muda,” tambah beliau.

Agenda wanita turut mendapat tumpuan Jamaliah Jamaluddin, calon Harapan N36 Bandar Utama. Mengulas mengenainya, beliau berkata:
"Memandangkan golongan wanita merupakan aset yang sangat penting kepada negara maka kebajikan kumpulan masyarakat ini sentiasa menjadi tumpuan kerajaan Selangor," tekan beliau.
"Kami melaksanakan pelbagai program khas untuk kesejahteraan wanita melalui polisi yang dirangka oleh pembuat polisi wanita yang prihatin tentang wanita," sambung beliau.
Antara inisiatif kerajaan Selangor yang dikhususkan untuk wanita adalah seperti Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) di bawah Yayasan Hijrah Selangor, saringan kesihatan mammogram percuma yang dikenali sebagai MammoSEL, Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS), dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor atau BINGKAS.
"Sebenarnya ada banyak lagi," kata Jamaliah.
Sementara itu, golongan muda yang diibaratkan penentu masa depan negara memegang peranan penting sebagai penyambung generasi untuk meneruskan pembangunan negara dan membawa kemakmuran negara ke tahap yang lebih tinggi.

"Kita perlu mewujudkan satu persekitaran konstruktif yang dapat mendukung aspirasi generasi muda yang mengimpikan penyertaan yang lebih luas dari segi ekonomi, sosial, peluang pendidikan dan pekerjaan," kongsi Ong Chun Wei, calon Harapan N27 Balakong.
Menurut Ong, generasi muda perlu diberi ruang dan peluang yang secukupnya untuk mencorak masa depan negara. Suara mereka perlu bergema serentak dengan hala tuju negara sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, bidang politik mahupun ekonomi.
"Kami memahami hasrat anak-anak muda yang inginkan sebuah negeri yang stabil, makmur dan maju ke depan. Pada tahun lalu, negeri Selangor mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM60 bilion dan kita tidak mahu apa-apa elemen ekstrim yang menggugat ekonomi kita. Sebuah kerajaan yang stabil dan mempunyai prestasi mentadbir yang terbukti akan terus membawa kita ke depan," ujar beliau.

Bagi calon Harapan N52 Banting, Papparaidu Veraman, infrastruktur asas yang berkualiti dan cekap merupakan salah satu penentu kesejahteraan rakyat. Ini termasuk penekanan terhadap penyenggaraan jalan dan sistem pengangkutan awam, kebersihan bandar, sistem pembuangan sisa dan kumbahan, kemudahan awam untuk rekreasi, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, serta bekalan air yang berkualiti.

Lwi Kian Keong, calon Harapan N56 Sungai Pelek, berpendapat bahawa inisiatif baharu untuk meningkatkan daya ekonomi setempat merupakan fokus utama untuk menggilap potensi Sepang dalam sektor perindustrian, perkhidmatan logistik dan pergudangan, pelancongan, pendidikan dan pertanian. Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) merupakan satu permulaan yang baik.
Menurut Lwi, DAP Selangor sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
