McDonald’s Malaysia dijangka mampu mengurangkan kos penggunaan elektrik sebanyak RM7 juta melibatkan 100 rangkaian restorannya menjelang Disember 2024.
Penjimatan itu didorong oleh pemasangan bumbung fotovoltaik solar (PV) di 100 restoran Pandu-Lalu McDonald’s di seluruh negara dengan kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) menerusi Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE).
Komitmen McDonald's Global untuk mencapai sifar karbon menjelang 2050

Sejak Jun 2022, McDonald's telah memulakan fasa awal bagi inisiatif kelestarian dengan kerjasama TNB, melibatkan pemasangan bumbung solar PV di beberapa restoran McDonald's terpilih.
Dalam fasa awal, GSPARX yang merupakan anak syarikat TNB telah memasang sistem bumbung solar di 39 restoran McDonald's di seluruh negara dengan kapasiti keseluruhan 1216.18kWp.
Di bawah SARE, GSPARX bertanggungjawab membina, memasang, mengoperasi dan menyelenggara kemudahan solar PV dengan saiz sistem 2.5MWp untuk 100 restoran McDonald's.
McDonald's Malaysia memperkenalkan konsep “Restoran Hijau” di Putrajaya pada tahun 2016. Restoran tersebut dilengkapi dengan peralatan Cekap Tenaga (EE) dan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE).
Menyantuni komuniti dan meminimumkan kesan terhadap alam sekitar

"Kerjasama yang terjalin dengan TNB dan GSPARX sangat bermakna bagi McDonald's Malaysia dalam melaksanakan penyelesaian hijau yang mampu mengurangkan penggunaan elektrik dan pengeluaran karbon. Kerjasama ini adalah komitmen kami kearah ekosistem yang lebih lestari,” kata Dato' Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia.
Menurut Dato' Indera Ir. Baharin Din, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif, Tenaga Nasional Berhad, beliau berkata TNB amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan McDonald's Malaysia dan menyumbang kepakaran mereka dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Kerjasama ini mengetengahkan komitmen TNB menyokong syarikat terkemuka seperti McDonald's kearah mengurangkan penggunaan karbon dalam operasi mereka.
“Kami percaya yang kerjasama ini mampu mewujudkan pertumbuhan perniagaan yang signifikan untuk kedua-dua organisasi, pada masa sama mempercepatkan usaha ke arah Peralihan Tenaga,” katanya.
Selain menandatangani SARE, McDonald's juga akan bekerjasama dengan GSPARX untuk pembangunan stesen pengecas Kenderaan Elektrik (EV) di restoran McDonald's terpilih, sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian tenaga bersih dan menyokong mobiliti elektrik di Malaysia.
