Kesesakan pesakit di kemudahan kesihatan awam merupakan cabaran getir kerajaan disebabkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan awam yang melebihi kapasiti.
Menurut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, kapasiti semasa klinik kesihatan kerajaan hanya merangkumi 28 peratus daripada keseluruhan fasiliti penjagaan kesihatan primer, namun kesesakan tidak dapat dielakkan apabila kerajaan terpaksa mengendalikan hampir 64 peratus daripada kedatangan pesakit luar.
Ini bermakna jumlah pesakit luar di klinik kesihatan kerajaan jauh melepasi kapasiti kemampuan kerajaan, sekali gus menyebabkan fasiliti dan petugas perubatan awam terbeban, malah menjejaskan kualiti perkhidmatan.
Apa itu Penjagaan Kesihatan Primer Akut?
Sebelum kita berbicara lanjut tentang penyelesaiannya, eloklah untuk kita memahami konsep Penjagaan Kesihatan Primer Akut. Jadi, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan konsep ini?

Ia merujuk pada 'contact point' pertama untuk mendapatkan rawatan apabila seseorang mengalami masalah kesihatan yang bukan bersifat kecemasan dan tidak mengancam nyawa. Ini termasuk selesema, demam, sakit kepala, cirit-birit, ketidakselesaan gastrik, kecederaan tulang yang kecil, buku lali terseliuh dan luka kecil.
Penjagaan Kesihatan Primer Akut merupakan salah satu elemen utama dalam sistem penjagaan kesihatan yang turut melibatkan perkhidmatan kesihatan profesional, terdiri daripada doktor pengamal perubatan am (GP), jururawat dan petugas kesihatan bagi pesakit luar (tidak perlu masuk wad).
Alternatif kepada kemudahan kesihatan kerajaan
Dengan kata lain, apabila anda menghadapi masalah bukan kecemasan, anda tidak perlu panik dan tidak semestinya mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan kerajaan seperti hospital dan klinik awam kerana alternatif yang tersedia adalah klinik kejiranan swasta berdekatan anda.
Bagi golongan B40 dan ke bawah, anda mungkin tertanya-tanya bagaimana pula dengan kos rawatan yang membebankan? Memahami situasi ini, kerajaan sebenarnya telah memperkenalkan Skim Perubatan MADANI demi kesejahteraan golongan yang kurang berkemampuan.
Skim Perubatan MADANI untuk ringankan beban B40
Skim Perubatan MADANI yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta merupakan inisiatif rintis oleh kerajaan Malaysia di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40 terhadap Penjagaan Kesihatan Primer Akut (Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut).
Secara amnya, golongan B40 merujuk kepada kumpulan isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,850. Sekiranya anda merupakan seorang penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), anda layak mendapatkan rawatan PERCUMA di klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah Skim Perubatan MADANI.
Mengurangkan kesesakan pesakit luar di kemudahan kerajaan
Skim Perubatan MADANI merupakan sistem sokongan kesihatan dengan penglibatan kemudahan swasta bagi mengatasi isu kesesakan pesakit luar di kemudahan kesihatan kerajaan.
Dengan meningkatkan penglibatan sektor swasta, inisiatif ini dapat mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu di kemudahan kesihatan kerajaan. Pesakit boleh mendapatkan rawatan di bawah Skim Perubatan MADANI di klinik berhampiran tanpa mengehadkan pilihan mereka kepada kemudahan kesihatan kerajaan sahaja.
Ini bermakna lebih daripada 700,000 isi rumah yang kurang berkemampuan boleh mendapatkan Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut secara percuma yang disediakan oleh klinik swasta tersenarai di seluruh negara.
Perkhidmatan rawatan percuma di klinik swasta
Perkhidmatan rawatan percuma yang ditawarkan termasuk konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan perubatan mengikut pakej yang ditentukan. Perkhidmatan tersebut akan disampaikan oleh Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) di klinik swasta kepada penerima manfaat.

"Apabila semakin ramai doktor kontrak diserap untuk perjawatan tetap, ini merupakan perkembangan yang baik dari segi penyertaan klinik swasta dalam Skim Perubatan MADANI," kata Pengerusi Hospital Pakar An-Nur, Dr. Shaharom bin Md Shariff.
