Gangguan bekalan air yang kerap merupakan satu masalah berlarutan yang menghantui penduduk negeri Kelantan, Kedah dan Sabah semenjak sekian lama.
Kerajaan Persekutuan Perpaduan yang sebelum ini memperuntukkan RM1.7 bilion kepada Kelantan, mengumumkan tambahan RM800 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan dan juga Sabah.
Peruntukan yang diterima Kelantan adalah untuk membina satu lagi loji rawatan air bagi mengimbangi permintaan dan bekalan harian air terawat di negeri tersebut.
Pada masa yang sama, pintu rundingan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kedah masih terbuka bagi menyelesaikan masalah yang sama.
Gangguan bekalan air menjejaskan rutin harian penduduk
Bagi negeri Kedah, gangguan bekalan air telah sekian lama menghantui penduduk daerah Kuala Muda, Pendang, Kulim, Yan, Baling dan Sik.
Ia seakan-akan menjadi kronik ketika musim kemarau dan musim perayaan, lebih-lebih lagi gangguan tidak berjadual yang berlaku secara tiba-tiba.
Perangkaan daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) menunjukkan bahawa hampir satu juta penduduk Kedah terjejas akibat gangguan bekalan air yang berulang kali.

“Gangguan bekalan air boleh berlaku bila-bila masa tak kiralah malam atau siang. Kadang-kadang kakak tengah masak tengah hari pun berlaku masalah macam ini,” keluh Farah Husna, penduduk Merbok, Kedah.
Rintihan Farah turut kedengaran di Kelantan yang menghadapi masalah yang berlarutan ini:
“Masalah sekarang adalah air tak sampai ke kampung saya. Penduduk kampung saya semua tiada air. Sudah tiga tahun,” kata Yusuf, penduduk Kampung Limbat, Kelantan.
Menjejaskan operasi perniagaan terutamanya peniaga kecil
Selain menyusahkan kehidupan harian penduduk biasa, gangguan bekalan air turut menjejaskan operasi dan mengakibatkan kerugian perniagaan terutamanya bagi industri makanan dan minuman seperti pengusaha restoran dan peniaga gerai makan, serta penjual ayam, ikan, sayur dan sebagainya.

“Memang susahlah bagi peniaga kecil seperti saya. Kadang-kadang kita perlu pergi tempat yang jauh untuk cari air,” kata Saarani, penduduk Gurun, Kedah yang turut melahirkan rasa kecewanya.
Sentiasa bersedia untuk sama-sama tangani masalah
Memahami kesan buruk yang dibawa masalah asas ini, Kerajaan Madani bertekad untuk membantu menyelesaikan isu ini bersama kerajaan negeri.
Sebagai contoh, rundingan antara Kementerian Kewangan Malaysia dan kerajaan negeri Kelantan setakat ini telah menghasilkan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion daripada kerajaan pusat bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi negeri itu semenjak berpuluh tahun lalu.
Dana tersebut bertujuan membina sebuah lagi loji rawatan air bagi memenuhi permintaan harian air terawat yang semakin meningkat di Kelantan.
Pada ketika ini, permintaan harian air terawat di Kelantan adalah sebanyak 600 juta liter manakala kapasiti pembekalan air terawat Kelantan adalah 500 juta liter sehari.
Loji baharu tersebut dengan kapasiti pengeluaran 200 juta liter sehari akan meningkatkan output air terawat kepada 700 juta sehari untuk mengatasi permintaan keseluruhan.
Baru-baru ini, kerajaan pusat turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM800 juta kepada Kelantan dan Sabah untuk sama-sama menangani masalah air di kedua-dua negeri tersebut.
Rakyat menyambut baik bantuan kerajaan pusat
Kerjasama rapat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri merupakan kunci penyelesaian jangka panjang yang pragmatik.
Penduduk Kelantan perlu memahami peranan penting yang didukung Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), organisasi yang diamanahkan untuk menguruskan pembekalan dan rawatan air di Kelantan.
Selain pembinaan loji baharu, bantuan kewangan daripada kerajaan pusat boleh dimanfaatkan untuk penyelenggaraan dan penaiktarafan infrastruktur tersedia ada untuk menghasilkan bekalan air yang mencukupi, bersih dan berkualiti.

“Saya tahu baru-baru ini kerajaan pusat telah memperuntukkan RM1.7 bilion kepada kerajaan negeri Kelantan untuk menyelesaikan masalah seperti air yang tidak dapat disalurkan dengan sempurna,” kata Mat Rahmat, Tumpat, Kelantan.
“Saya amat menyokong rancangan kerajaan pusat untuk membantu kerajaan Kelantan menyelesaikan masalah air ini,” sambung beliau.
Pandangannya turut senada dengan seorang lagi penduduk Tumpat, iaitu Haran.

“Ya, saya tahu kerajaan pusat ada menyalurkan bantuan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk menyelesaikan masalah air. Saya sokong komitmen ini,” katanya.
Penduduk lain yang menyokong bantuan pusat daripada Kerajaan Madani untuk memudahkan kehidupan rakyat Kelantan termasuk Nur Farah Shakira dan Rhizul Anuai Abdul Rashid dari Kampung Limbat.
Rundingan masih terbuka untuk Kedah bagi penyelesaian bersama
Sementara itu, kerajaan persekutuan sebenarnya sentiasa membuka pintu rundingan kepada kerajaan negeri Kedah bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah.
Kerajaan negeri Kedah, melalui Syarikat Air Kedah Darulaman Sdn Bhd (SADA), menghadapi beberapa cabaran utama seperti kekangan kewangan, pengurusan air yang tidak cekap dan penyelenggaraan infrastruktur lama yang tidak memadai.
Peruntukan daripada kerajaan pusat boleh dimanfaatkan untuk menaik taraf lima loji rawatan air utama di Kedah - iaitu loji di Pelubang, Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar Lama.
“Kami berharap rundingan antara kerajaan negeri Kedah dan kerajaan pusat dapat menangani masalah ini secepat mungkin seperti yang berlaku di Kelantan,” seru Baha Rudin, penduduk Kuala Muda, Kedah.
Komitmen kerajaan pusat untuk membantu kerajaan negeri sudah terbukti menerusi peruntukan besar RM1.7 bilion kepada kerajaan Kelantan yang disusuli dengan tambahan RM800 juta bagi Kelantan dan Sabah.
“Rakyat patut berterima kasihlah kerana kerajaan pusat dan kerajaan negeri dapat bekerjasama untuk sama-sama mengatasi masalah air ini,” kata Mohd. Asri, penduduk Tumpat, Kelantan.
Bagi Asyiqin, penduduk dari Gurun, Kedah, penyelesaian bersama melalui bantuan kerajaan pusat merupakan jalan keluar yang ditunggu-tunggu.
“Saya berharap pihak negeri dan kerajaan persekutuan dapat terus berusaha mencari jalan penyelesaian demi kesejahteraan rakyat dan kami berterima kasih dahulu di sini bagi bantuan yang dinanti-nantikan itu,” katanya.
Penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama dua pihak
Menyediakan bekalan air yang mencukupi dan bersih merupakan satu komitmen jangka panjang yang memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan pusat dan negeri.
Pengurusan sumber air yang lebih cekap dan mampan dengan pelaksanaan projek bekalan air yang lengkap dan tepat dari segi kualiti dan kuantiti merupakan satu penyelesaian jangka panjang yang sentiasa diutamakan oleh kerajaan pusat.
Ini termasuk pembangunan aset air, kemampanan kewangan dan intervensi kawal selia yang teratur.
Tohmahan yang mengatakan kerajaan pusat menganaktirikan kerajaan negeri yang tidak sealiran politk adalah tidak benar dan merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
Justeru, fahaman politik harus diketepikan dengan mengutamakan kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri bagi memastikan keperluan asas rakyat terjamin.
