Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Debat Perdana MADANI 2023: Idea, pemikiran pakar intelek mampu semai kesejahteraan tanah air
Diterbitkan:  Aug 28, 2023 3:18 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Buat pertama kalinya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Debat Perdana MADANI 2023 bagi memperkasakan lagi gagasan Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Debat yang meneroka pelbagai dimensi dan perspektif cendekiawan dari dalam dan luar negara

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. TS. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata Debat Perdana MADANI 2023 ini bukanlah debat dalam konotasi yang biasa tetapi bermaksud memperdebat, mencerakin dan menelusuri secara mendalam gagasan Malaysia MADANI dari pelbagai perspektif dan dimensi cendekiawan yang diundang dari dalam dan luar negara.

“Bagi pihak KPT, Debat Perdana MADANI ini adalah sebuah Projek Negara yang memfokuskan kepada penjanaan idea dan buah pandangan. Tanpa idea dan buah pandangan yang pelbagai, tidak ada agenda dan misi bersama negara yang akan berjaya,” kata Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi.

“Sebagai sebuah kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan watan, Debat Perdana MADANI adalah saluran untuk segala kelebihan intelektual diangkat dan dikongsi kepada negara.

“Kita mahu menggembleng segala kekuatan dan kelebihan dari segi idea dan pemikiran besar untuk disumbangkan kepada usaha membawa kesejahteraan tanah air,” katanya ketika melancarkan program Debat Perdana MADANI 2023 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi (kanan) melawat pameran sempena Debat Perdana MADANI 2023 di UKM, Bangi.

10 panel hebat dari dalam dan luar negara

Program tersebut menampilkan 10 ahli panel dari pelbagai latar belakang dengan rentetan tiga slot utama iaitu Bicara Sejahtera Malaysia MADANI, Pembentangan khas 3 Panel dan Forum Malaysia MADANI.

Program ini bukan sahaja menampilkan para sarjana dan ahli akademik negara, malah pakar kajian tamadun dari Qatar dan Indonesia juga hadir bagi menelusuri lagi gagasan ini.

Bagi Bicara Sejahtera Malaysia MADANI, slot pertama ini menampilkan bicara santai tentang senario Malaysia MADANI dari sudut sosial dan ekonomi. Slot kedua ialah sesi pembentangan 3 Panel, menampilkan pakar kajian tamadun kelahiran Turkiye dari Qatar.

Pada sebelah petang pula, berlangsung Forum Malaysia MADANI dengan tajuk Merealisasikan Negara MADANI: Cabaran dalam Malaysia yang Majmuk.

Wawasan masyarakat Madani MADANI penting untuk dunia kini

Prof. Dr. Din Syamsuddin memberi ucapan beliau di pentas Debat Perdana MADANI

Pakar kajian dari Indonesia, Prof. Dr. Din Syamsuddin menyimpulkan khilafah perlu dirangka semula bukan hanya dirangka politik, tetapi dalam rangka peradaban. Wawasan MADANI yang dibawa oleh Perdana Menteri memerlukan modifikasi bagi membentuk masyarakat yang bersatu padu.

Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa masyarakat MADANI ini bukanlah satu wawasan yang baharu kerana ianya telah wujud sejak awal pengenalan agama Islam lagi.

Cara untuk memastikan kelestarian tamadun

Prof. Dr. Recep Senturk memberi ulasan beliau tentang MADANI in The Context of Modernity

Pada sesi pembentangan 3 panel pula menampilkan pakar kajian tamadun kelahiran Turkiye dari Qatar iaitu Prof. Dr. Recep Senturk yang membentangkan tajuk MADANI in The Context of Modernity.

Beliau berkata bahawa sikap toleransi antara tamadun lain menggambarkan sikap terbuka untuk menerima nilai yang baik daripada tamadun tersebut dan seterusnya membantu kepada kemunculan tamadun baharu. Interaksi ini akan menyebarkan pengaruh positif dalam bidang politik, ekonomi dan sebagainya.

Satu di antara konsep penting dalam masyarakat MADANI adalah berlakunya keseimbangan dan mampan. Keseimbangan ini memberi keadilan kepada seluruh rakyat tanpa melakukan diskriminasi.

Konsep debat ini akan mempersiapkan diri dalam mendalami lagi maksud MADANI daripada pelbagai perspektif agar maknanya sentiasa berkembang.

Hasil pembentangan ini akan diangkat sebagai sumber dan panduan dalam memperkasa kefahaman masyarakat tentang Malaysia MADANI.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS