Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
5 Fokus Utama KPT Jadi Landasan Hala Tuju 2024
Diterbitkan:  Jan 29, 2024 10:22 AM
Dikemaskini: 2:22 AM

Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2024 yang telah disempurnakan oleh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi akan memberi penekanan kepada lima fokus utama meliputi 20 landasan hala tuju yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini, ke arah peningkatan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi.

“Sejak hari pertama menggalas amanah dan taklifan sebagai menteri, saya menekuni dan mencermati kesemua dokumen penting khasnya melibatkan strategi dan perangkaan perancangan yang dibangunkan di kementerian ini.

“Justeru, saya dapat rumuskan bahawa terdapat lima dimensi utama yang dapat ditemakan sebagai ‘fokus utama KPT’, selari dengan matlamat dan hasrat yang dirangkumkan dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia 2023-2025,” katanya ketika menyampaikan ucapan Landasan Hala Tuju KPT Tahun 2024 di Universiti Malaya.

Zambry yang genap sebulan menerajui KPT berkata lima fokus utama itu yang turut meliputi 20 landasan hala tuju itu adalah hasil perbincangan pelbagai pihak yang antaranya menyentuh mengenai sektor pendidikan tinggi negara perlu inklusif dan terbuka kepada semua kelompok termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagaimanapun menurutnya lima fokus utama dan 20 landasan hala tuju yang digariskan itu bukanlah sesuatu ketetapan yang tidak boleh diubah, sebaliknya pindaan atau perubahan boleh dibuat dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kesesuaian yang wajar diberikan keutamaan ke arah meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi.

Menurut Dr. Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, salah satu fokus utama KPT iaitu pelaksanaan program pemindahan dan perkongsian ilmu adalah merupakan inisiatif yang penting kerana hasil penyelidikan yang dijana di IPT dipulangkan semula kepada masyarakat dalam bentuk yang memberi manfaat, malah turutdinikmati oleh industri dan komuniti selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

Bagi Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Dato’ Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, universiti perlu terus menjadi medan pengasah dan pencipta bakat yang bertaraf global, dengan kapasiti holistik dalam sinergi kebolehan dan kompetensi intelektual serta kemahiran praktikal yang bersasar. 

Universiti Malaya terus berada di persada tertinggi dalam melonjak masa depan negara dan kemanusiaan dalam aspek ini. Tiga tumpuan strategi utama menjadi landasan baharu pembentukan pelan tindakan UM. Pertama, memasyaratkan impak komuniti daripada kepakaran dan hasil penyelidikan UM. Kedua, menganjak langkah mengindustrikan UM dalam membentuk rangkaian limpahan impak positif kepada pelajar, industri kritikal dan pembangunan negara. Ketiga, memperkasa proses pengantarabangsaan dan memastikan impak global UM terus mengakar di pelosok strategi dunia dalam membawa jenama dan kapasiti universiti untukmemberikan pulangan kepada komuniti global dan juga reputasi negara.

UM membentuk ekosistem generasi baharu yang holistik dan agung dalam aspek high-skilled competency dan high performance mentality, dengan sandaran nilai dan norma negara. Ekosistem komprehensif yang berdasarkan kepada all of university and whole of industry approach menjadi sandaran utama dalam memastikan kepakaran digembleng dan sistemsokongan sistematik disalurkan kepada pembentukan hasil penyelidikan yang menjadi tumpuan global.

Fokus utama adalah penghasilan research outcome yang menghasilkan perubahan dan solution-based approach kepada isu dan cabaran global dan kemanusiaan. Menurut Prof Dato’ Seri Azuan, UM terus memperkasa sinergi keseluruhan penyelidikan dalamdomain kritikal termasuk kesihatan, ekonomi hijau dan digital, kepintaran buatan, keselamatan tenaga dan mineral kritikal, teknologi berimpak tinggi dan lain-lain sebagai landasan teraju utama negara.

Pendidikan tinggi negara dan universiti di seluruh Malaysia perlu berani, teguh dan kental dalam perubahan dan reformasi sistem pendidikan, dengan mengambil kira tuntutan masa depan. Sistem lama yang menghambat perkembangan baharu mesti dihentikan, dan UM kental dalam hasrat anjakan lembaran baharu.

Dalam perubahan ini, UM berpegang teguh dan terus yakin dan berani dalam membuat perubahan dan transformasi strategik, dalam usaha menggapai langit dan mencorak acuan baharu, dan tetap kental dalam norma dan nilai negara dengan UM bersinonim Home of the Bright, Land of the Brave.

Meneliti pencapaian pendidikan tinggi Malaysia

Menyentuh mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM [PT]) yang akan tamat tahun depan, Zambry berkata sudah tiba masa untuk pihaknya merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) baharu pada tahun ini sebagai lanjutan dan kesinambungan pelan berkenaan.

Dalam merealisasikan perkara itu, beliau berkata negara tidak memerlukan satu suruhanjaya khusus ditubuhkan untuk meneliti pencapaian pendidikan tinggi Malaysia berbanding negara serantau seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia dan seterusnya memeta hala tuju pendidikan tinggi untuk tempoh masa panjang.

“Memadai dengan penubuhan satu kumpulan pakar bagi meneliti perkara itu. Sehubungan itu, saya beri masa 12 bulan kepada kementerian untuk mendiagnosis tahap pencapaian pendidikan tinggi kita secara menyeluruh.

“Kita perlu membedah siasat untuk mengenal pasti isu dan punca sebenar kepada permasalahan yang berlaku. Dengan cara itu, kita akan dapat maklumat yang tepat untuk merangka strategi jangka panjang pendidikan tinggi negara yang akan dimaktubkan dalam pelan pembangunan pendidikan tinggi negara yang baharu,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata KPT akan menganjurkan Jerayawara Kampus MADANI ke semua IPT awam dan swasta seluruh negara bertujuan untuk melihat sendiri situasi sebenar di peringkat institusi serta memastikan aspek kebajikan pelajar dan kakitangan dititikberatkan.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS