Belia merupakan aset penting bagi sesebuah negara dan pendorong kepada kesejahteraan sosioekonomi negara.
Namun, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran masih merupakan satu cabaran. Bagi suku kedua tahun 2023, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun berada pada 10.7%, iaitu sebanyak 307,700 orang.
Untuk menangani cabaran ini, golongan muda perlu menyiap-siagakan diri dengan keperluan industri.
Manfaatkan peluang dalam industri perkhidmatan makanan

Salah satu industri yang membuka banyak peluang kerja dan pengalaman untuk belia menceburi ialah — industri perkhidmatan makanan.
Selain memberi peluang besar kepada individu yang berhasrat untuk memajukan diri dari segi peribadi dan profesional, industri ini juga mempunyai pelbagai pilihan kerjaya seperti menjadi seorang barista, tukang masak, chef pastri, pelayan restoran, pembekal makanan, pengurus perkhidmatan makanan, dan banyak lagi.
Maju dengan jalan kerjaya yang jelas
Untuk meningkatkan daya saing golongan muda, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah berganding bahu dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Yayasan Standard Chartered untuk menghasilkan 3 Peta Kemajuan Kerjaya yang menjadi panduan kerjaya kepada belia yang sedang mengikuti kursus-kursus berkaitan perkhidmatan makanan di institusi-institusi TVET.
Tertumpu kepada tiga skop pekerjaan: Barista, Restoran, dan Bakeri & Pastri, peta ini memberi penerangan terperinci mengenai kelayakan, kemahiran asas dan teknikal, faedah, dan gaji purata mengikut jawatan, dalam ketiga-tiga skop tersebut.
Kepentingan navigasi kerjaya
Apabila belia melangkah keluar dari pintu universiti dan ke dunia profesional, peralihan ini, selalunya dipenuhi dengan keseronokan dan ketidakpastian, menandakan titik penting dalam hidup. Lazimnya antara soalan yang akan terlintas dalam fikiran graduan adalah: "Saya tidak pasti tentang laluan kerjaya saya!", "Apakah pilihan saya?", "Apakah peluang yang ada?", "Di mana saya mahu berada?", "Di mana saya berada dalam pertumbuhan kerjaya saya sekarang?", "Bagaimana saya boleh meningkatkan diri saya?", "Di mana saya boleh mendapatkan latihan?", dan sebagainya.
"Memberi sokongan kepada belia bukan sekadar menghubungkan mereka dengan pasaran kerja, malah mereka juga perlu didedahkan dengan peta kemajuan kerjaya yang jelas dan melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang khusus dalam industri," kata Profesor Madya Ts. Dr Affero bin Ismail, Pensyarah Kanan UTHM di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, semasa memberi ucapanya di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Kedah.
Peluang kerjaya: Barista, Restoran, dan Bakeri & Pastri
Tidak dinafikan, bahawa perkhidmatan makanan merupakan segmen utama dalam industri hospitaliti. Memandangkan ia adalah bidang yang luas, perkhidmatan ini memerlukan mereka yang berkebolehan, berbakat, dan mempunyai keupayaan yang berbeza.

Sebagai contoh, "seniman di dunia kopi" atau barista selalunya perlu memiliki pengetahuan luas dalam teknik pembuatan kopi, mengekalkan kebersihan peralatan, dan cara menyajikan minuman kepada pelanggan. Selain tugas ini, mereka juga perlu melaksanakan kerja-kerja teknikal seperti menyediakan inventori dan laporan jualan, membuat penambahbaikan berdasarkan maklum balas pelanggan, mengawal kos inventori, meramal jualan dan lain-lain.
Tugas ini memerlukan kemahiran khusus, yang boleh diperolehi melalui kursus berfokuskan industri.
Selain kemahiran teknikal, peta kerjaya untuk Barista juga menyenaraikan anggaran tangga gaji gaji dan skop pekerjaan mengikut jawatan yang dipegang seperti “Junior Barista”, “Senior Barista”, “Head Barista” dan Penyelia Stor.
Begitu juga, bagi mereka yang berminat dengan masakan, industri restoran boleh menjadi kerjaya yang sesuai untuk diterokai.
Sama ada anda ingin menjadi seorang tukang masak atau ingin menguruskan sebuah restoran, terdapat banyak pilihan kerjaya dalam bidang seni kulinari. Ramai pekerja penyediaan makanan berpindah ke jawatan yang lebih tinggi di dapur, seperti “Assistant Cook” atau “Line Cook”, Penyelia, Kapten, Penolong Pengurus dan Pengurus Stor.
Bakeri & Pastri bukan sekadar membuat dan menyajikan kek, biskut, roti dan pastri malah bidang ini akan membawa anda melalui pelbagai disiplin yang merangkumi latihan praktikal, persediaan bakeri, pengurusan inventori, sokongan depan dan belakang, pengenalan menu baru, latihan pasukan, dan kepimpinan.
Portal MyFutureJobs
Selain peta kerjaya, pelatih-pelatih di Kolej Vokasional Sungai Petani 2 juga berpeluang mendengar perkongsian daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Malaysia mengenai portal MyFutureJobs yang diwujudkan untuk membantu warganegara Malaysia mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan minat mereka.
Dapatkan info kerjaya terkini melalui saluran Telegram
ILO Young Futuremakers Malaysia mengalu-alukan golongan belia untuk menyertai saluran Telegram yang diwujudkan khusus bagi mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai pendidikan, kemahiran dan peluang kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan. Anda boleh ketahui lanjut mengenai usaha ini melalui aplikasi Telegram di pautan: https://t.me/yfmtvet
Layari https://www.sc.com/en/sustainability/investing-in-communities/futuremakers/ untuk mendapatkan maklumat tentang Futuremakers dari Standard Chartered.
