Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
KPT Perkasa Inisiatif Memupuk Minat STEM
Diterbitkan:  Jul 26, 2024 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Negara memerlukan bakat yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk mengekalkan daya saing global negara. 

Oleh itu, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada latihan dalam bidang STEM untuk memastikan pengukuhan serta peningkatan pelaburan asing ke negara ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah bersiaran di siri podcast Borak STEM di saluran Pandai bagi membincangkan topik STEM sektor pendidikan tinggi negara.

Melahirkan bakat STEM untuk keperluan industri

Beliau telah mengupas antaranya berkenaan usaha memartabatkan bidang STEM sebagai satu daripada elemen kritikal yang memacu kepada aspirasi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

KPT turut fokus mempelbagaikan pendekatan yang boleh diterap untuk melahirkan bakat yang berkompetensi bagi merealisasikan wawasan tersebut dalam memenuhi tuntutan industri serta pertumbuhan ekonomi.

Kerjasama strategik rentas kementerian dan agensi

KPT bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menubuhkan Jawatankuasa Khas STEM, yang memberi fokus khusus kepada hala tuju STEM bermula dari peringkat sekolah sehingga ke pendidikan tinggi.

Pelbagai inisiatif pembudayaan, aktiviti serta program pembangunan STEM sedang giat berjalan di sekolah, dengan pelaksanaannya merentas kementerian dan agensi selain melibatkan kerjasama rakan strategik korporat dan komuniti.

Kepentingan Graduan STEM dalam Menyokong Pelaburan Teknologi di Malaysia

Tumpuan terhadap STEM penting bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat atau tenaga kerja mahir dalam bidang berteknologi tinggi bagi memenuhi keperluan industri. Beliau memberi contoh pelaburan Microsoft yang mengumumkan akan melabur RM10.5 bilion dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI), pelaburan Amazon Web Services (AWS) di Malaysia yang diumumkan tahun lalu berjumlah RM25.5 billion dan pelabur dari Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon) di Kulim, Kedah berjumlah RM25 billion. 

“Ini memerlukan graduan tempatan yang memiliki kemahiran dan kepakaran berkaitan STEM,” katanya. 

Bercerita mengenai graduan STEM tempatan, YB Timbalan Menteri menjelaskan bahawa usaha meningkatkan kualiti mereka itu dilaksanakan secara dua (2) peringkat iaitu melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 oleh KPT sendiri; serta penekanan terhadap tiga (3) aspek utama iaitu Akses, Kurikulum dan Sokongan Kewangan di Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

70% praktikal, 30% teori

Beliau juga berkata bahawa pendidikan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sistem berasaskan kampus, tetapi menekankan pembangunan pelajar dengan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan dalam sektor pekerjaan hari ini. Contohnya ‘Work based learning’ iaitu pendidikan yang mengintegrasikan pengalaman kerja. Ini memastikan pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan akademik tetapi juga pengalaman sebenar.

Malah, KPT turut menjelaskan bahawa pendidikan TVET dan STEM perlu ditambah nilainya melalui pensijilan profesional yang boleh diperolehi dengan menghadiri program reskilling, upskilling atau kelayakan profesional yang diiktiraf industri.

Fakulti AI

“Dengan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) pertama di UTM, ia mencerminkan kerjasama antara KPT dengan UTM sebagai langkah strategik Kerajaan MADANI yang berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga (3) bulan, hasil kesatuan pemikiran  dan tindakan daripada warga KPT, UTM, dan pelbagai pihak, katanya.

Manakala pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pemantapan ekosistem  pemboleh daya bagi sektor pendidikan tinggi dalam pelaksanaan kecerdasan buatan  dimantapkan melalui penubuhan Malaysia Artificial Intelligence Consortium atau MAI  Consortium. 

KPT turut telah menandatangani pelbagai perjanjian persefahaman dengan pihak industri melalui Government-Industry Coordination Body (GITC) yang berperanan sebagai badan pengantara pemudahcara.

Dengan inisiatif-inisiatif ini, kerajaan bukan sahaja berusaha untuk menghasilkan tenaga kerja yang berkelayakan dalam bidang STEM, tetapi juga memastikan bahawa Malaysia tetap berada di hadapan dalam revolusi teknologi global. Melalui kerjasama strategik dan pelaburan yang berterusan, negara ini akan dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi bakat tempatan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi dan memacu inovasi masa depan.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS