Gagasan Malaysia Madani merupakan langkah dan ikhtiar kerajaan secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia adalah lebih bersifat manusiawi dan sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah.
Dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, tanggal 18 Januari 2023, gagasan ini merangkumi enam teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Masyarakat Madani merupakan masyarakat yang berusaha bersama-sama melalui kepercayaan antara kerajaan dan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama untuk mencorakkan masa hadapan Malaysia. Manakala, masyarakat berjiwa merdeka adalah masyarakat yang menolak amalan negatif yang membelenggu jiwa, berpegang teguh kepada undang-undang serta beretika iaitu menjunjung tinggi adab dan kesopanan agar negara kekal selamat dan sejahtera.
Mewujudkan Masyarakat Ihsan dalam Era Digital

Isu semasa yang membelenggu masyarakat pada masa kini ialah buli siber kerana landskap teknologi maklumat dan komunikasi yang berkembang dengan pantas memerlukan nilai ihsan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Hakikatnya, rangkaian internet terutama media sosial banyak mempengaruhi corak kehidupan. Penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, Telegram dan WhatsApp antara penggunaan aplikasi digital yang popular dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Pada era digital ini, buli siber telah menjadi ancaman serius terhadap integriti dan keharmonian masyarakat. Masyarakat Madani yang berjiwa merdeka harus berusaha menangani masalah ini dengan mengamalkan prinsip ihsan.
Cara-cara Menghindari Buli Siber

Menurut Dr. Fadilah Zaini, Pensyarah Bidang Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial dari Universiti Teknologi Malaysia, beliau berkata masyarakat ihsan yang dapat mempraktikkan beberapa nilai seperti nilai sabar, jangan menghina, menyiasat dahulu maklumat, jangan memanggil dengan nama yang tidak disukai, elakkan andaian negatif, bertindak adil, jangan mengintip, jangan mengejek dan jangan berkata di belakang serta mengadu domba akan melahirkan lingkungan masyarakat yang bebas dari buli siber iaitu tidak menjadi pembuli siber dan tidak juga menjadi mangsa buli siber.
Pertama, sabar, yang merupakan senjata paling ampuh untuk mengelakkan buli siber kerana reaksi tenang dan terkawal dapat mengurangkan kejadian serangan balas dalam situasi konflik secara dalam talian. Masyarakat ihsan harus mengutamakan sikap sabar untuk menetapkan norma komunikasi yang sihat dan produktif.
Masyarakat alam siber perlu memiliki sifat sabar apabila berhadapan dengan catatan dan komen di media sosial kerana hilangnya sifat sabar apabila membalas komen boleh menimbulkan perbalahan dan pertelingkahan yang mampu mencetuskan jenayah buli siber.
Kedua, jangan menghina kerana perbuatan menghina dan mencaci mampu mengganggu emosi individu yang dihina. Kecederaan mental dan emosi yang berlaku di alam siber mampu untuk membunuh jiwa serta boleh membawa kepada tindakan yang lebih buruk seperti membunuh diri atau membunuh individu yang melakukan penghinaan tersebut sebagai tindakan membalas dendam.
Ketiga, menyiasat dahulu maklumat kerana dalam era informasi yang serba pantas dan cepat ini kesalahan penyebaran informasi mampu terjadi dengan mudah.
Hakikatnya, kejadian buli siber ini boleh terjadi kerana salah faham terhadap maklumat yang diterima. Menyiasat kebenaran maklumat sebelum menyebarkannya adalah langkah penting untuk menghindari situasi salah faham tersebut, menjatuhkan nama baik dan konflik yang sebenarnya boleh dielakkan.
Masyarakat bersifat ihsan harus mendidik diri agar mementingkan pengesahan fakta sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial. Masyarakat berjiwa merdeka seharusnya menyiasat dahulu maklumat untuk mengelak menjadi pembuli siber tidak mahu diri terjerumus dalam perangkap kejahilan.
Keempat, jangan memanggil dengan nama yang tidak diisukai, kerana memanggil seseorang dengan nama yang tidak diisukai adalah bentuk penghinaan yang dapat merendahkan martabat individu tersebut.
Masyarakat ihsan yang memperjuangkan kesopanan dan hormat-menghormati harus menghindari perilaku ini untuk memastikan bahawa semua anggota masyarakat merasa dihargai.
Kelima, elakkan andaian negatif kerana andaian negatif akan mendorong kepada perilaku agresif dan diskriminatif. Justeru, dalam konteks masyarakat Madani yang membangun, andaian yang positif tentang niat orang lain dapat mengurangkan salah faham dan konflik. Hal ini adalah langkah penting dalam membangun dialog yang harmoni dalam masyarakat.
Keenam, bertindak dengan adil kerana keadilan harus menjadi dasar semua interaksi sosial yang menunjukkan bahawa persepsi keadilan dalam menangani konflik dapat meningkatkan kepercayaan dan kerjasama antara individu. Masyarakat ihsan harus mengamalkan keadilan tidak hanya dalam kata-kata, tetapi juga dalam tindakan, dengan memperlakukan semua insan dengan baik dan saksama.
Ketujuh, jangan mengintip kerana privasi adalah hak setiap individu yang merdeka. Mengintip atau mengganggu privasi orang lain dapat membuka pintu untuk pelbagai bentuk buli siber. Masyarakat ihsan harus mempromosikan penghormatan terhadap privasi sebagai salah satu perkara utama dalam hubungan sosial yang sihat dan harmoni.
Kelapan, jangan mengejek kerana mengejek adalah bentuk agresi verbal yang sering digunakan dalam jenayah buli siber. Ejekan secara dalam talian memiliki kesan psikologi yang signifikan kepada mangsa buli siber akan sering kali menyebabkan tekanan dan gangguan emosi. Masyarakat ihsan harus mengambil inisiatif untuk menghapuskan ejekan dalam bentuk komunikasi ini agar interaksi dalam media sosial kekal harmoni dan sihat.
Kesembilan, jangan berkata-kata di belakang dan mengadu domba yang akan merosakkan hubungan sosial dan menimbulkan permusuhan serta persengketaan. Tindakan ini akan menimbulkan ketegangan dan permusuhan antara individu dan masyarakat yang terlibat. Masyarakat ihsan harus berusaha untuk menjaga kejujuran dan kepercayaan sebagai dasar komunikasi sesama individu dan masyarakat.Dengan mengamalkan prinsip-prinsip ini serta mempraktikkan etika di media sosial, kita akan dapat membentuk lingkungan yang lebih aman dan mendukung matlamat masyarakat Madani berjiwa Merdeka.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].
