Peranan Anjing Pengesan Dadah APD Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)
Menurut rekod JKDM sehingga 20 Ogos 2024, jumlah keseluruhan APD yang dimiliki oleh JKDM adalah 41 ekor, termasuk 20 ekor APD baharu yang diterima dari India pada 7 Jun 2024.
Antara fungsi APD dalam operasi penguatkuasaan adalah mengesan dadah yang disimpan atau disorok di lokasi yang sukar dikesan, termasuk pada badan manusia, dalam bagasi, kotak, bahagian tersembunyi kenderaan, parcel pos, di dalam premis, dan dalam kontena.
Berbeza dengan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM), anjing jenis Labrador ini dilatih khusus untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu dalam membantu JKDM menyelesaikan kes-kes jenayah narkotik.
Baka Labrador terkenal dengan ciri-ciri deria bau yang sangat tajam, kecerdasan tinggi, daya tahan yang hebat, serta kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai persekitaran dan situasi.
Malah mereka manja dan suka bersosial.


Setiap hari, jurulatih anjing-anjing ini akan menjaga dan membersihkan mereka secara rapi (grooming) dan pada waktu pagi aktiviti bermain, bersosial dan ‘bonding’ bersama jurulatih diadakan.
Antara makanan dan diet yang diberikan kepada APD termasuk biskut kering, makanan tin dengan daging kisar, serta vitamin dan minyak untuk penjagaan bulu.
Menurut salah seorang pelatih di pusat latihan K9 Narkotik JKDM, dia juga merasa sudah rapat menganggap anjing jagaannya seperti anjing peliharaan kesayangannya.



APD dilatih dengan menggunakan sistem Marker Training, di mana jurulatih menandakan setiap pengesanan. Anjing-anjing ini kemudian dilatih untuk mengenal pasti bau dadah dan memberikan respons dengan duduk.
Latihan ini diteruskan sehingga APD mampu mengenali bau dadah dengan tepat dan bertindak balas secara konsisten.

Dengan mengintegrasikan teknologi dan sumber manusia dengan keupayaan aset negara ini JKDM dapat memastikan negara berada di barisan hadapan dalam melawan jenayah dadah.
Anjing-anjing ini bukan sahaja berfungsi sebagai pengesan tetapi juga sebagai simbol perjuangan tanpa henti terhadap penyeludupan dadah.
Kos dan kerugian negara Malaysia adalah perkara yang serius yang menelan belanja yang tinggi.
Penagihan dadah mengakibatkan isu sosial dan kesihatan, dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diberi mandat menjadi barisan pertahanan dalam melindungi benteng negara dalam memerangi aktiviti penyeludupan dan penerobosan najis dadah di Malaysia.
Jom tonton dan ‘share’ video krew Malaysiakini melawat Pusat Latihan Unit K9 Narkotik, Nilai Negeri Sembilan : https://www.facebook.com/mkinibm/videos/1239719784036547
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].
