Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Angkara adegan seks 30 saat, Nam Ron kini ‘berpatah arang berkerat rotan’ dengan Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pengarah teater terkenal itu tidak berminat lagi menyambung kontraknya dengan akademi kerajaan tersebut.

Beliau lebih suka memilih hidup susah - tanpa gaji tetap, tanpa landasan dan naungan untuk berkarya, walaupun telah menikmati semua itu sejak sepuluh tahun lalu.

Nam Ron, 41,  atau nama sebenarnya Shahili Abdan mahu kembali sebagai the angry young man - gelaran yang diperolehnya sejak menjadi penuntut kohort pertama akademi berkenaan sekitar penghujung tahun 1990-an.

Namanya bersinar setelah mementaskan naskhah besar aktivis politik dan dramatis Inggeris John Osborne, Look Back in Anger .

Semuanya bermula pada 5 Februari lalu di akademi yang sama. Ketika sedang membuat persediaan terakhir untuk projek pementasan terbarunya Tanda , Nam Ron dan 40 anggota tenaga penerbitannya didatangi empat tetamu tidak diundang, pengawal keselamatan.

Atas “arahan orang atas", pengawal-pengawal tersebut mengunci panggung dan ‘menghalau’ kesemua mereka.

Tindakan itu ternyata mengecewakan kira-kira 300 peminat yang telah membuat tempahan awal bagi menyaksikan teater bertemakan hari akhirat di panggung eksperimen Aswara pada malam itu.

Pada 2 hingga 7 Februari lalu, Nam Ron sebagai pengarah kreatif, bawah  produksi Rumah Anak Teater (RAT) dan alumni Aswara dijadual mementaskan teater kolaborasi enam pengarah muda, Tanda yang bertemakan peristiwa-peristiwa akhir zaman.

Teater ala dokudrama itu cuba menggambarkan tanda-tanda kedatangan hari kiamat - antaranya pemanasan global, keruntuhan akhlak manusia dan peperangan demi peperangan - berdasarkan pandangan sains dan agama.

Dalam persembahan dua jam itu, Tanda turut memaparkan adegan aksi intim, termasuk pelukan, cumbuan dan hubungan seks berlainan dan sesama jenis - wanita dengan wanita.

Adegan dalam cahaya suram itu bagaimanapun memaparkan pelakonnya dalam pakaian lengkap tanpa mendedahkan bahagian tubuhnya.

Adegan inilah agaknya yang menghentikan persembahan Nam Ron pada malam keempat itu.

Seminggu selepas insiden itu, pada 15 Februari, anggota RAT dan puluhan aktivis seni pula membuat ‘kunjungan balas’ ke kampus Aswara di Padang Merbuk di ibu negara.

Mereka membawa jambangan bunga krisantimun putih kepada rektornya Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawam sebagai tanda kematian seni.

Kumpulan anak-anak muda yang pemarah itu juga membawa kain rentang bertulis ‘Tolak Fasis Seni’ dan 'Hak untuk berkarya’.

Ia mengejutkan kita kerana anak seni jarang bersuara sebegitu. Kita harap ia bukanlah bantahan sementara kerana kebetulan sesuatu terkena pada batang mereka.

Selain demonstrasi Keranda 152, 43 tahun lalu, dan tunjuk perasaan menuntut pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 7 Mac 2009, anak seni jarang bangkit. Anak seni jarang menjadi berani.

Gagal memahami perkembangan terbaru ini, saya ajukan beberapa soalan kepada Nam Ron. “Benar kamu berpatang arang, berkerat rotan dengan Aswara?” Beliau berkata, “ya”.

“Benar kamu tidak akan kembali mengajar di Aswara?” tanya saya lagi. Sekali lagi beliau memberikan jawapan yang sama.

Soalan ketiga: “Kamu akan kekalkan babak-babak yang menimbulkan masalah kepada kamu dalam persembahan ulang (di tempat lain)?

Saya lihat beliau sedikit teragak-agak memberikan jawapan.

“Kalau mereka minta buang adegan itu, kita suruh mereka tengok dahulu. Mereka boleh minta (untuk buang). Tentulah aku kecewa (jika itu berlaku). Tetapi mereka perlu juga dengar penjelasan. Tidak boleh perintah buang macam itu sahaja,” jawab anak kelahiran Perlis itu.

“Mereka kena tengok apa yang tersirat juga. Jangan tengok apa yang mereka nampak sahaja. Ramai yang tengok adegan (seks) itu, mereka merasa jijik. Jadi, tujuannya sampai. Bukan mereka tengok dengan (perasaan) ghairah.”

Dalam agama, kita sering diajar, salah satu ciri-ciri akhir zaman apabila berlakunya keruntuhan akhlak muda mudi, seks bebas dan hubungan sejenis sesama manusia bermaharajalela.

Menceritakan masalah adegan 30 saat itu, Nam Ron berkata, ketika dua pengarah Tanda dipanggil ke pajabat rektor Aswara pada 5 Januari lalu, mereka telah sanggup kompromi dengan membuang adegan tersebut, walaupun dengan berat hati.

Bagaimanapun, pelakon filem Paloh itu menambah, rundingan tersebut gagal apabila alasan-alasan alasan teknikal mula diberikan, termasuk mempertikaikan prosedur permohonan mereka.

Mengakui prokebebasan berkarya, Nam Rom menuntut satu garis panduan yang jelas dalam bidang teater diperkenalkan.

“Kalau hendak amalkan penapisan, biarlah ada garis panduan yang jelas apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Aku 100 peratus tidak sokong penapisan.

“Tetapi kalau hendak buat sangat, biarlah jelas (larangannya),” katanya.

Nam Ron juga bercerita tentang pengalamannya mendapatkan kebenaran pelbagai pihak bagi menganjurkan sebuah persembahan pentas, termasuklah terpaksa menghantar skrip kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

“Mungkin mereka hendak tengok ada kutuk menteri atau tidak,” katanya, berseloroh.

Saya memberikan pandangan kepada anak seni itu. Apa yang berlaku kepadanya merupakan manifestasi kawalan pemerintah melalui badan-badan tertentu dalam dunia seni.

Badan-badan tersebut, biar pun apa namanya sama ada Aswara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Istana Budaya atau Balai Seni Lukis Negara (BLSN) sentiasa berusaha menempatkan dirinya sebagai pusat aktiviti dan perkembangan seni.

Mereka gembira tokoh-tokoh yang kritis seperti Nam Ron berkhidmat, sekali gus berada bawah naungan mereka dengan mulut berkunci dan tangan bergari.

Saya namakannya sebagai dominasi pandangan dalam seni budaya. Saya juga memberikan nama nakal untuknya - ‘berhala seni’.

Ketika pandangan tersebut diajukan kepada Nam Ron, saya tidak sangka beliau mengiyakannya.

“Jadi, aku ini pun berhala kecil” katanya.

Kami ketawa. Tahun harimau kepada Nam Ron dan para seniman, mungkin maksudnya kembali jadi berani.

ADS