KOLUM

Hidup gerila

Amin Iskandar

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Okt 2010, 10:52 pagi

Lebih kurang tujuh tahun lalu, saya bernasib baik kerana diperkenalkan dengan Mohd Yunus Lebai Ali yang lebih dikenali dengan panggilan Yunus Ali.

Mungkin ramai yang mengenalinya dan ramai juga yang tidak pernah mengetahui tentang kewujudan manusia hebat ini.

Yunus adalah bekas aktivis mahasiswa sekitar tahun 70-an. Beliau juga seorang 'korban' Operasi Lalang yang menyaksikan lebih 100 orang pemimpin parti pembangkang dan NGO menjadi mangsa kerakusan kerajaan pada ketika itu.

mahathir mudah lupa 181008 mohd yunus ali Selain seorang pensyarah sambilan, tidak ramai yang tahu bahawa beliau merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menjadi anggota unit komando Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di bawah pimpinan Yaser Arafat!

Senator Yusuf Husin, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Datuk Mahfuz Omar adalah teman-teman baik beliau semasa di Kem Tahanan Kamunting.

Selain itu di pihak pemerintah, Ahmad Zahid Hamidi, Ismail Sabri Yaacob dan Ahmad Shabery Cheek adalah teman rapat beliau sewaktu bersama dan selepas memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Saya tidak pernah menyangka bahawa pertemuan itu akan mengubah perjalanan hidup saya. Pada ketika itu, Amerika Syarikat sudah setahun dua menjajah Iraq.

Ayat pertama Yunus Ali kepada saya sebaik saja kami diperkenalkan adalah: "Kalau aku muda macam kamu ini, dah lama aku pergi Iraq."

Kenyataan itu menyebabkan saya berminat untuk mengenali beliau dengan lebih mendalam.

Yunus pada waktu itu adalah pengarah eksekutif kepada Pusat Janadaya atau Empower, sebuah NGO yang melaksanakan kerja-kerja mempromosi demokrasi dan hak asasi manusia.

Selain itu, NGO tersebut turut menjalankan program-program bagi membantu mangsa tsunami di Kuala Muda, Sungai Petani dan Pulau Langkawi, Kedah.

Yunus mengundang saya dan kawan-kawan untuk membantunya menjayakan program-program Empower di Kuala Muda dan Langkawi.

Pada waktu itu, fokus Empower untuk menjalankan program untuk kaum ibu dan remaja.

Menubuhkan NIEI

Sewaktu bekerja, saya dapat melihat kehebatan Yunus. Sifatnya yang lemah-lembut menawan hati peserta-peserta program termasuklah kami di pihak penganjur. Yunus juga seorang penyabar dalam mengurus organisasi.

Saya dan kawan-kawan yang agak "liar" pada ketika itu dapat beliau tangani sehinggakan kami berubah untuk menjadi manusia yang lebih baik. Hubungan beliau dengan peserta tidak kurang hebatnya.

NONE Sehingga kini, jika kami beritahu Pak Teh di Kuala Muda tentang niat untuk ke kampungnya, beliau akan pastikan ikan-ikan laut yang terbaik hasil tangkapannya di masak oleh Mak Teh untuk kami. Begitulah hebatnya saudara Yunus Ali.

Saya berani katakan jika pilihan raya diadakan di Kuala Muda atau Pulau Langkawi terutamanya di kawasan-kawasan dimana program-program dilaksanakan oleh Empower, sesiapa yang menentang Yunus pasti akan hilang "wang depositnya".

Selepas selesai program membantu mangsa Tsunami di Kedah, saya mendekati Yunus untuk bersama-sama menubuhkan sebuah NGO yang bekerja untuk demokrasi dan pilihan raya.

Kami menubuhkan Institut Integriti Pilihan Raya (NIEI) bersama dengan berberapa rakan-rakan aktivis yang lain. Pada 4 Julai 2007, NIEI secara rasminya didaftarkan.

Pada waktu itu, Yunus hanya memberikan satu pesan kepada saya iaitu, perlu ada istiqamah dalam perjuangan. Pada mulanya, saya tidak faham mengapa beliau berkata demikian, akan tetapi apabila waktu bergerak seiring dengan perjalanan NIEI, barulah saya faham apa yang beliau maksudkan.

Di dalam perjuangan untuk membangunkan NIEI sebagai sebuah organisasi, banyak pengorbanan yang dilakukan oleh Yunus. Beliau memberikan tumpuan sepenuh masa kepada NIEI dan meninggalkan kerja-kerja lain.

NIEI mula mendekati masyarakat dengan menganjurkan program pendidikan pengundi di Sabah.

Sebulan selepas itu NIEI memulakan program yang pertama di Sabah dengan kerjasama PACOS-Trust, sebuah NGO besar di Sabah. Program kami mendapat sambutan dan diperluaskan ke daerah-daerah lain. Pada tahun 2008, program dikembangkan ke Sarawak. Kami berjaya menganjurkan program di Kuching, Bintulu dan Miri.

Selain itu, NIEI turut melibatkan diri dalam melakukan pemantauan terhadap perjalanan proses pilihan raya kecil (PRK) seperti di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Penanti dan banyak lagi.

Tidak kira ada dana atau tidak, Yunus akan mencari wang termasuk menggunakan wang peribadinya untuk memastikan NIEI ikut turut serta dalam setiap PRK.

Arena antarabangsa

Di arena antarabangsa, NIEI dijemput menjadi ahli kepada Asian Network for Free Election (ANFREL). Kami menghantar wakil untuk bersama-sama ANFREL ke Afghanistan, Bangladesh, Cambodia, Filipina, Indonesia, Korea Selatan, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Singapura, Taiwan dan Timor Timur.

Pada tahun 2007, sewaktu membantu ANFREL menjayakan misi pemantauan di Autonomous Region of Muslim in Mindanao (ARMM) di Filipina, Yunus memperlihatkan kepimpinannya di arena antarabangsa.

Kefahamannya yang mendalam terhadap masalah yang berlaku di Mindanao menyebabkan pemerintah Filipina, media dan pihak yang bertelagah senang hati dengan kehadiran ANFREL.

Sidang akhbar ANFREL selepas selesai misi pemantauan dibanjiri oleh media tempatan dan antarabangsa. Yunus diwawancara secara langsung oleh BBC dan Channel News Asia .

Yunus sebenarnya menghidap penyakit SLE atau digelar "lupus". Penyakit ini sama bahayanya dengan penyakit leukimia. Selain itu, Yunus turut menghidap penyakit gout yang menghalang dirinya untuk sering makan daging kambing bakar kegemaran.

Yunus kegeringan

Namun semangat yang ada pada Yunus sangat tinggi. Setiap kali sebelum NIEI mempunyai kerja-kerja penting baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa, Yunus pasti akan menjaga kesihatannya bagi memastikan beliau dapat bersama. Begitulah kuatnya semangat orang yang bernama Yunus Ali.

Penglibatan terakhir Yunus dalam misi ANFREL adalah sewaktu pilihan raya presiden pada tahun 2009. Saya pada ketika itu membantu ANFREL sebagai penyelaras bagi pemantau-pemantau jangka panjang (LTO).

Sesampainya Yunus di Kota Kabul sebagai ketua delegasi dari Malaysia, beliau terus jatuh sakit. Sepanjang misi, seorang pemantau dari Thailand, Air telah menjaganya dengan baik seperti mana anak gadis menjaga seorang ayahnya.

Menurut isteri kepada Yunus, Maria Chin yang juga seorang aktivis hak wanita yang terkenal di Malaysia, semenjak pulang dari Afghanistan, kesakitan Yunus tidak pernah sembuh.

Pada pertengahan bulan September tahun ini sewaktu saya berada di Beijing, China bagi mengikuti program Building a Better Asia (BABA) anjuran The Nippon Foundation, saya menerima SMS dari seorang teman, yang juga anggota NIEI.

SMS tersebut berbunyi, "Yunus sudah berhenti bernafas, doktor sudah mengesahkannya".

Saya terus lari keluar dari International Center, University of Peking, tempat program berjalan. Saya membuat panggilan kepada berberapa orang termasuk Hishamuddin Rais, teman seperjuangan Yunus semenjak zaman mahasiswa.

Selepas sah Yunus meninggal dunia, saya berjalan perlahan-lahan menggelilingi universiti. Sedar tak sedar air mata berlinang akhirnya tangisan menjadi semakin kuat sepertimana tangisan Michael Corleone dalam filem The Godfather 3 apabila anak perempuannya mati ditembak.

Gadis-gadis cantik, mahasiswa universiti yang tinggi lampai yang berada berhampiran turut bersedih tetapi pasti tidak mengerti mengapa saya menangis.

Selepas Yunus tiada lagi

Sehingga kini saya masih belum percaya bahawa Yunus telah meninggal dunia. Saya belum kuat untuk bertemu dengan Maria Chin dan anak-anak Yunus.

Saya akan cuba kuatkan diri untuk pergi bertemu dengan mereka secepat mungkin untuk menyelesaikan segala perkara yang tertunggak. Janji saya kepada diri, cita-cita Yunus Ali untuk melahirkan sistem pilihan raya yang baik dan demokratik akan saya teruskan.

NIEI akan terus berdiri sebagai sebuah badan yang independen tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik. Kami tidak peduli soal siapa yang akan memerintah, yang penting, perjalanan pilihan raya di Malaysia, bebas dan adil untuk semua pihak.

Segala pelajaran yang diberi oleh Yunus akan saya kongsikan kepada anak-anak muda yang berminat untuk bersama perjuangan NIEI. Dalam usia yang masih muda dan terkontang-kanting membina hidup, bukanlah satu perkara yang mudah untuk menjadi pengerusi NIEI.

Akan tetapi, berkat tunjuk ajar dan bimbingan yang diberi oleh Yunus Ali, seorang sahabat dan pemimpin yang amat dikasihi, cabaran akan disahut untuk terus berjuang bagi memastikan Malaysia akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Untuk pengetahun semua pembaca, ini adalah artikel yang paling susah untuk disiapkan. Ianya memakan masa hampir dua bulan. Artikel ini mula di tulis di China, kemudian diteruskan di Malaysia dan alhamdulillah akhirnya berjaya disiapkan di Thailand.

Selamat jalan Yunus Ali. Kita pasti akan bertemu lagi. Kami akan terus merinduimu. Al-Fatihah. Pelajaran yang paling penting yang saya pelajari dari Yunus Ali adalah bagaimana untuk melaksanakan segala kata-kata.

Sepertimana kata Rendra, seorang penyajak ulung dari Indonesia, "perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata".

Semoga Yunus aman disana. Bersama-Nya. Bersama Dr Burhanuddin Helmy, Ahmad Boestamam, John Lennon Che Guavara. Dan yang paling penting bersama Muhammad SAW dan Ali bin Abi Talib.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.