Kejadian serangan ke atas anggota polis di Kampung Kubang Bok, Kuala Ketil dekat Baling yang melibatkan tindakan membaling batu, beg plastik berisi cuka getah dan perbuatan membakar sebuah kenderaan polis pada 10 Februari 2002.
Kejadian itu yang berlaku ekoran tindakan polis menyuraikan ceramah umum anjuran PAS telah menandakan pengorkestraan terbaru terhadap apa yang dinamakan budaya ganas PAS seperti yang disiarkan oleh Televisyen RTM baru-baru ini mengenai Peristiwa Kampung Memali pada tahun 1985.
Siapa yang harus bertanggungjawab atas peristiwa tersebut, selain daripada menunggu siasatan polis. Rasanya pihak PAS juga perlu mengambil inisiatif untuk menyelidik dan mengkaji apakah yang sebenarnya berlaku dan siapakah yang terbabit dalam kejadian yang tidak diingini itu, supaya pendirian dan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Yang menghairankan penulis ialah kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang - bahawa PAS tidak akan mengendahkan larangan ceramah umum kerana percaya apa yang dilakukan tidak menyimpang daripada kehendak perlembagaan, demokrasi dan agama - boleh diputarbelitkan sebagai bukti budaya ganas PAS yang bersedia untuk menimbulkan huru-hara.
Pendirian Abdul Hadi ialah mengadakan ceramah umum merupakan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita dan agama Islam . Oleh itu, PAS tidak akan mengendahkan larangan ceramah umum.
PAS tidak akan mengendahkan larangan ceramah umum bermakna parti itu akan terus mengadakan ceramah umum seperti biasa.Jika ia tidak ditindas dan disuraikan secara paksa dengan penggunaan kekerasan yang tidak munasabah, masakan boleh timbul huru-hara?
Pesta politik
Ini bukan kata-kata retorik, tetapi telah terbukti oleh ratusan ceramah umum yang telah diadakan oleh PAS dan parti komponen BA yang lain beberapa tahun kebelakangan ini. Ceramah umum bukan saja tidak berkaitan dengan budaya ganas, malah ia telah mendekatkan politik dengan rakyat melalui cara yang begitu mesra sekali.Mereka yang menghadiri ceramah umum seolah-olah mengunjungi pasar malam atau sesuatu pesta yang menggembirakan.
Bukan saja bahan politik seperti buku, akhbar, pita rakaman , CD, dan sebagainya dapat diperolehi dengan harga yang berpatutan, banyak lagi makanan dan minuman tempatan yang lazat, juga dapat dibeli untuk memuaskan selera mereka yang menghadiri ceramah umum.
Pesta ceramah umum seperti yang disebut di atas pernah diadakan beberapa kali di Dewan Perhimpunan Cina Selangor yang dihadiri peminat pelbagai kaum. Penulis dan beberapa kawan dari badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir, cukup mengkagumi budaya pesta politik tersebut.
Masakan budaya pesta politik ini boleh disamakan dengan budaya ganas seperti kejadian di Kampung Memali yang disiarkan oleh Televisyen RTM?
Pendirian PAS untuk memperjuangkan hak untuk berceramah juga secucuk dengan saranan Suhakam dalam Laporan Kebebasan Berhimpun yang mencadang agar parti-parti politik dan rakyat negara ini dibenarkan berhimpun secara damai dalam bangunan-bangunan tertutup.
Usaha pemimpin Umno dalam memainkanbudaya ganas PAS boleh difahami.Dalam wawancara yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 17 Februari 2002, pensyarah Sains Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) , Profesor Madya Dr Mohamed Mustafa Ishak, antara lain, telah menggunakan Insiden Baling untuk mencapai rumusan yang agak ekstrim: kononnya soalnya sekarang adakah kita hendak politik tanpa darah ataupun politik berdarah?
Jawapannya tentu saja kita hendakkan politik tanpa darah, termasuk PAS yang berjuang selama berpuluh-puluh tahun secara berperlembagaan. Namun, mengikut logik Dr Mohamed Mustafa, seolah-olah jika dibenarkan ceramah umum, Insiden Baling sudah tidak dapat dielakkan, dan darah akan tumpah akhirnya.
Mengikut beliau: Yang tidak dibenarkan ceramah umum di tempat terbuka yang mana berpuluh-puluh ribu penonton datang sehingga keadaaan menjadi tidak terkawal dan ahkirnya membawa kepada pelbagai masalah dan hanya dengan satu percikan api, sentimen dan emosi penonton atau pendengar boleh membakar segala-galanya.
Kenapa ceramah umum tidak boleh diadakan secara damai seperti ratusan ceramah umum yang telah diadakan pada masa yang lepas? Kenapa jika dihadiri berpuluh-puluh ribu penonton ia tidak boleh terkawal? Bagaimana pula sentimen dan emosi penonton atau pendengar boleh membakar segala-segalanya hanya dengan satu percikan api saja?
Andain ekstrim
Kesemua ini adalah andaian yang ekstrim, padalah, ceramah umum telah dilarang pada keseluruhannya mulai Julai lalu.Dan yang dilarang bukan hanya ceramah yang akan dihadiri puluhan ribu penonton yang dikhuatiri tidak terkawal atau akan mencetuskan huru-hara, sepertimana yang digambarkan oleh Dr Mohamed Mustafa, tetapi juga semua ceramah umum terbuka, termasuk yang akan dihadiri ratusan orang secara aman, juga dilarang.
Petikan Mao Tse Tung yang berbunyi:Politik adalah peperangan tanpa darah, dan peperangan itu ialah politik yang telahpun berdarah digunakan oleh Dr Mohamed Mustafa untuk membuktikan peperangan yang berdarah itu bukan politik.
Kita semua tidak inginkan politik yang berdarah di negara kita. Tetapi jika mengatakan Mao Tse Tung juga tidak setuju dengan politik yang berdarah atau beliau berpendapat peperangan yang berdarah itu bukan politik, maka bagaimanakah Dr Mohamed Mustafa dapat mengerti strategi Mao yang terkenal sekali: Mengepung bandar dari desa, dan merampas kuasa politik melalui perjuangan bersenjata? Serta slogan Mao yang diketahui umum: Kuasa politik datang dari laras senapang.
Sebagai seorang profesor sains politik, sukar dipercayai bahawa beliau bukan saja tidak menggusari keadaan demokrasi di negara kita akibat larangan menyeluruh terhadap ceramah umum, sebaliknya beliau berpendapat demokrasi negara kita telah digundikkan oleh ceramah umum yang sering diadakan.
Bagi beliau, ceramah politik hanya boleh dibenarkan dalam musim pilihanraya. Habis pilihanraya, tamatlah ceramah politik, buat apa sibuk-sibuk berceramah? Kononnya kerajaan yang diipilih tidak boleh diganggu setiap malam dengan kempen dan ceramah pembangkang seperti sekarang.
