Most Read
Most Commented
Read more like this

Hati penulis berkocak setelah membaca surat terbuka (Forum Utusan Malaysia 26 Februari 2002) Dr Patricia Martinez, Fellow Penyelidik Kanan Universiti Malaya, seorang daripada enam orang yang didakwa menghina Islam, memperkecil-kecilkan Nabi dan menyerang para ulama dalam memorandum Persatuan Ulama Malaysia (PUM) kepada Majlis Raja-Raja bertarikh 4 Februari 2002.

Dalam surat tersebut, Patricia mengatakan beliau menitiskan air mata kerana PUM telah memansuhkan hak demokratiknya dengan mengutuk beliau dan membuat satu laporan serius terhadapnya tanpa menyedari kesan buruk tindakan mereka atas kehidupannya dan keluarganya.

Beliau juga menitis air mata kerana mengetahui betapa etos keadilan, belas kesihan dan rahmat bergema di dalam Islam, dengan setiap surah di dalam Quran bermula dengan kalimah suci yang bermaksud Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Saya hampir tidak dapat mempercayai mata saya sendiri apabila terbaca kesalahan beliau hanya kerana membuat ulasan bahawa di dalam peperiksaan kebangsaan utama seperti PMR, para pelajar dikehendaki menandakan sama ada mereka beragama Islam atau bukan Islam.

Apakah kaitan calon PMR dengan agamanya? Jika tidak mendapat jawapan munasabah, tidak dapat dinafikan mungkin ada calon bukan Islam yang akan merasa bimbang.

Kejahilan punca kebimbangan

Bagaimana hati Patricia tidak hancur setelah cinta dan usaha beliau terhadap agama Islam telah diinjak-injak sebegitu, dengarlah cita-cita luhur dan rintihan hati beliau sebagai seorang ahli akademik yang pakar dalam Islam:

"Saya memilih untuk mengkaji Islam kerana saya dapati ada keperluan untuk meneliti kejahilan yang sedia wujud di kalangan orang-orang Islam dan bukan Islam di Malaysia. Kejahilan yang menjadi punca kebimbangan dan ketaksuban di kedua-dua pihak.

"Tetapi ketaksuban ini dibiarkan dan dikeruhkan dalam keadaan di mana wacana awam dan ruangan awam dikuasai oleh politik. Hasilnya menjadi bertambah polemik dan berpolarisasi, dan saya kerap kali berasa bahawa tiada ruangan objektif atau berkecuali di mana kita sebagai ahli akademik dapat berkongsi pengajian dan penyelidikan yang menjadi tanggungjawab kita dalam masyarakat madani."

Cuba bayangkan jika ahli akademik dan penulis yang berilmu Islam dan lantang bersuara seperti Dr Farish A Noor, Kasim Ahmad, Akbar Ali, Malik Imtiaz Sarwar, Zainah Anwar dan Patricia boleh dengan mudah saja dituduh menghina Islam dan disenyapkan oleh PUM, siapakah lagi yang layak dan berani membincang, berdebat atau mengkritik mengenai isu-isu Islam di negara kita lagi?

Hegemoni ulama

Menurut Dr Chandra Muzaffar ( Utusan Malaysia , 20-21 Februari 2002), PUM menegaskan bahawa kerana para penulis ini kononnya telah melanggar hukum Islam dan menghina Nabi, ia tidak perlu lagi berbincang dengan mereka. Apa yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa ialah melaksanakan peruntukan dalam syariah yang menghukum sesiapa yang menghina Islam atau memperkecilkan al-Quran dan Hadith.

Dengan tepat Chandra telah membuat analisis bagaimana ulama ortodoks dan konservatif kekal menjadi cabaran utama. Ini kerana mereka menguasai wacana Islam. Hegemoni ulama terhadap agama menjadi satu daripada halangan besar kepada pembaharuan Islam.

Beliau menegaskan hegemoni berorientasikan ulama harus ditolak, kerana ia mengecualikan orang lain daripada terlibat dalam menentukan masa depan masyarakat. Pemikiran hegemoni seperti itu akhirnya akan membawa kepada autoritarianisme agama, malah pemerintahan diktator agama.

Rencana pengarang Harakah (Bahagian Inggeris edisi 26 Februari 2002) juga meragui kebijaksanaan masa depan politik dipertanggungjawabkan kepada ulama atau golongan ulama dengan hujah bahawa mentadbir negara memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang sama sekali berbeza.

Di samping itu, ia juga secara terus-terang membidas graduan universiti berpendidikan Arab dari Timur Tengah yang menggelarkan diri mereka sebagai ulama di bawah PUM sebagai punca kekeliruan.

Tiga kategori ulama

Rencana pengarang tersebut menganggap ulama yang benar-benar alim di Malaysia sekarang terlalu sedikit jumlahnya, oleh itu, sebuah negara Islam akan menuju kehancuran sekiranya ia ditadbir oleh mereka yang menyamar sebagai ulama, lebih-lebih lagi dengan tanggapan bahawa mereka merupakan golongan yang mewakili Rasulullah dan oleh itu tidak boleh dikritik.

Rencana pengarang tersebut telah menimbulkan kontroversi dalam PAS sendiri. Mengikut laporan akhbar, penasihat editorial Harakah , Subky Latif telah meminta lembaga pengarah akhbar tersebut menyiasat punca tersiarnya rencana pengarang tersebut.

Dan Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar malah mengesyaki wujudnya unsur-unsur sabotaj, dan meminta anggota sidang pengarang bahagian bahasa Inggeris akhbar berkenaan dirombak secara besar-besaran. Tampaknya kontroversi ini masih dalam perkembangan.

Polemik siapa sebenarnya ulama dan institusi ulama mana yang lebih berwibawa padahal juga berkaitan dengan saingan Umno dan PAS untuk memenangi sokongan golongan ulama demi memonopoli hak interpretasi terhadap isu-isu berkenaan dengan agama Islam, termasuk murtad, poligami, hudud, jihad, negara Islam dan sebagainya.

Bila ditemubual ( Wawancara Mingguan Malaysia , 3 Februari 2002) Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor telah membahagikan ulama negara kita dalam tiga golongan seperti berikut:

  • ulama yang berada di luar pemerintah;
  • ulama yang bersama dengan pemerintah untuk menegur pemerintah; dan
  • ulama yang bersama dengan pemerintah dan membiarkan segala apa yang dilakukan oleh pemerintah walaupun tindakan-tindakan itu menyimpang daripada al-Quran dan Sunnah.
  • Klasifikasi tersebut mungkin boleh dipertikaikan, tetapi ia telah menunjukkan bagaimana rapatnya hubungan ulama dengan politik. PUM umpamanya dianggap oleh media arus perdana sebagai pro PAS. Dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sebagainya tentu dianggap pula sebagai pro kerajaan.

    Majlis agama lebih diperlukan

    Ekoran polemik kali ini, kerajaan dengan cepat sekali mengumumkan rancangannya untuk menubuhkan sebuah forum ulama yang dinamakan Majlis Perundingan Ulama Negara.

    Rancangan ini tidak begitu disenangi PAS. Maklumlah implikasi politik yang akan menjejaskan PAS, terutama sekali jika penulis-penulis yang dituduh oleh PUM sebagai menghina Islam itu juga diundang untuk menyertai Majlis Perundingan Ulama Negara yang bakal ditubuhkan itu!

    Tatkala masalah ulama dan Islam disebut-sebut dalam segala ruangan wacana, di manakah tempat agama-agama lain di negara kita? Dan kenapakah tidak pernah kedengaran kerajaan memikirkan penubuhan Majlis Perundingan Agama-agama Malaysia yang rasanya lebih diperlukan?


    LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.


    Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

    ADS