Most Read
Most Commented
Read more like this

Selepas meninggalkan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Disember tahun lalu, bekas timbalan presiden parti tersebut, Dr Chandra Muzaffar telah berkali-kali berjanji tidak akan membuka pekung di dada parti yang dibinanya bersama itu.

Namun hari ini, sama ada dengan inisiatifnya sendiri atau sebagai balasan sebaliknya, beliau telah membuat beberapa tuduhan yang agak serius terhadap kepimpinan parti itu, termasuk:

  • Tidak puas hati terhadap tindakan beberapa pemimpin parti menghalalkan cara-cara yang tidak beretika untuk mencapai matlamat.
  • Kesedaran beliau terhadap pemimpin sebenar (de facto leader) Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan salah satu sebab beliau meninggalkan parti.
  • Mendakwa beliau amat tahu mengenai politik 'Machiavellian' ahli dan pemimpin Keadilan yang berkisar di sekitar wang dan kuasa
  • .

  • Mencabar Anwar dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berterus terang kepada rakyat mengenai "perjuangan untuk keadilan yang didakwa diperjuangkan oleh mereka".
  • "Matlamat menghalalkan cara" merupakan tuduhan yang sering dilemparkan Umno terhadap parti pembangkang, terutamanya Pas. Kini, Chandra pula melemparkan tuduhan yang sama terhadap beberapa pemimpin Keadilan tanpa memberikan bukti yang konkrit, dengan alasannya tidak mahu mendedahkan 'rahsia' Keadilan.

    Pada hemat penulis, apabila tuduhan sudah dibuat, ada apa 'rahsia' lagi? Tanpa memberi bukti konkrit apakah ianya adil kepada 'pemimpin Keadilan' terbabit? Kerana tidak menamakan 'beberapa pemimpin Keadilan' terbabit itu, maka semua pemimpin Keadilan kini disyaki sebagai yang tertuduh. Apakah ini adil kepada mereka yang tidak terbabit?

    Tatkala meninggalkan alam politik partisan , Chandra memberi alasan bahawa beliau ingin kembali kepada peranan lamanya sebagai penggiat NGO dan penganalisis politik bebas yang "dipandu semata-mata oleh prinsip kebenaran".

    Alasan ini sedikit 'menggusarkan' editor Suara PRM , Rustam A Sani , kawan sejawatannya di Universiti Malaya sebelum beliau disingkirkan. Menurut Rustam, Chandra seolah-olah sependapat dengan Zam (Zainuddin Maidin, Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan), yang pernah menganggap Rustam sudah hilang 'intelektualiti' sejak menyertai politik pembangkang.(sila rujuk kepada Suara PRM /31 Disember 2001, ms.10)

    Pengaruh Anwar

    Tidak mungkin Chandra sudah hilang 'intelektualitinya' seperti anggapan Zam, apabila beliau memerlukan masa lebih dua tahun berada dalam Keadilan untuk menyedari bahawa Anwar Ibrahim merupakan pemimpin sebenar Keadilan.

    Penulis tidak tahu sama ada Anwar merupakan pemimpin sebenar Keadilan atau tidak, tetapi mengikut pengetahuan umum, pengaruh beliau lebih ketara sewaktu kemuncak gerakan reformasi yang tertumpu kepada kezaliman Dr Mahathir dan pihak polis terhadap beliau, berbanding dengan musim surutnya tatkala Chandra mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu.

    Dengan lain perkataan, Chandra sepatutnya menyedari hakikat ini lebih awal lagi, bukan ketika dia meninggalkan Keadilan. Dan seandainya kesedaran ini begitu penting bagi prinsip politik beliau, kenapa beliau tidak meninggalkan Keadilan awal-awal lagi?

    Pengaruh Anwar dalam Keadilan juga tidak perlu diragukan. Jika tidak, tak mungkin Dr Wan Azizah bisa dijadikan Presiden Keadilan, dan tokoh-tokoh seperti Chandra, Zainur Zakaria dan Marina Yusoff masing-masing sanggup menjadi timbalan presiden dan naib presiden di bawah beliau.

    Jika bukan kerana pengaruh Anwar, rasanya Barisan Alternatif (BA) juga tidak begitu mudah ditubuhkan, dan juga tidak mungkin akan ada ura-ura ketika pilihanraya umum 1999 bahawa Anwar akan dilantik sebagai perdana menteri jika BA berjaya berkuasa.

    Sama ada peranan Anwar dan Wan Azizah sesuai atau tidak, dan sama ada perjuangan Keadilan terlalu tertumpu kepada isu Anwar dan pembebasannya, ia merupakan masalah yang relevan dan boleh dikaji semula. Namun Chandra tidak perlu berpura-pura, seolah-olah selama ini beliau tidak menyedari hakikat ini.

    Wan Azizah yang lebih merupakan pemimpin simbolik bagi pihak Anwar, tentu tidak banyak dipertikaikan. Namun untuk mengatakan Anwar sebagai pemimpin sebenar ( de facto leader ), maksudnya mungkin perlu ditakrifkan dengan lebih jitu lagi.

    Bagaimanakah Anwar yang meringkuk dalam penjara, dapat memimpin Keadilan? Adakah melalui arahan? Adakah semua arahan Anwar terpaksa diterima dan dilaksanakan oleh pucuk pimpinan Keadilan secara membabi buta? Dengan lain perkataan, apakah semua arahan Anwar itu tiada ruangan untuk dibincang, diperdebat, malah ditolak oleh pucuk pimpinan Keadilan? Adakah Chandra membiarkan kesemua ini berlaku?

    Tentang politik 'Machiavellian' ahli dan pemimpin Keadilan yang berkisar di sekitar wang dan kuasa, ia merupakan tuduhan yang berat juga. Sekiranya Keadilan yang belum berkuasa sudah mengamalkan politik wang dan kuasa, dan gejala ini begitu tonjol sekali sehingga Chandra gagal membendunginya, dan begitu kecewa sehingga bertindak meninggalkan parti itu, maka apakah yang akan terjadi seandainya ia berkuasa nanti?

    Justeru itu, ahli dan pemimpin yang tidak gilakan kuasa dan wang dalam Keadilan, tetapi menyokong parti itu kerana tertarik dengan janji Keadilan untuk memperjuangkan penerokaan politik baru, maka Chandra tentu akan mendesak untuk membuktikan tuduhannya yang sangat berat ini, demi menjaga keutuhan dan kewibawaan beliau yang sering dianggap sebagai seorang ilmuan dan pengkritik bebas yang berprinsip dan bermoral tinggi. Chandra tentunya tidak boleh lempar batu sembunyi tangan!

    Cabaran berbisa

    Yang paling bisa dan membinasakan ialah cabaran Chandra terhadap Anwar dan Wan Azizah supaya mereka berterus terang kepada rakyat mengenai "perjuangan untuk keadilan yang didakwa diperjuangkan oleh mereka".

    Tambah Chandra: "Adalah menjadi harapan dan doa saya supaya Anwar dan Dr Wan Azizah dengan kesedaran mereka sendiri memilih untuk berterus-terang, jujur dan ikhlas."

    Maksud tersirat beliau jelas sekali: Selama ini, Anwar dan Dr Wan Azizah tidak berterus terang, tidak jujur dan tidak ikhlas, dalam "perjuangan untuk keadilan yang didakwa diperjuangkan oleh mereka." Dengan bahasa yang lebih mudah: Mereka bukan memperjuangkan keadilan untuk rakyat seperti yang didakwa mereka!

    Apabila ditanya oleh pemberita tentang cabaran Chandra tersebut, Dr Wan Azizah sebaliknya meminta Chandra mendedahkan sendiri apa yang didakwanya sebagai kelemahan Anwar dan diri beliau dalam 'perjuangan untuk keadilan' mereka.

    Rasanya Chandra patut berbuat demikian, memandangkan Anwar masih meringkuk dalam penjara dan Dr Wan Azizah sendiri masih memikul tanggungjawab sebagai presiden Keadilan yang sedang dilanda pelbagai kemelut dalaman dan serangan luaran, termasuk serangan Chandra yang mungkin tidak disangkanya sebelum ini.

    Kita sama-sama tunggu, sama ada atau tidak pukulan total Chandra terhadap Keadilan dapat ditegakkan, dan sepertimana harapan Zam: "Sudah pasti para waratawan, peguam dan ahli akademik yang beria-ia mempertahankan Anwar sebelum ini akan merasa malu."

    Atau, Chandra sendiri yang akan dimalukan, akibat terdedah bersama kelemahan-kelemahan beliau sendiri sewaktu semasa memegang jawatan timbalan presiden parti berkenaan.

    Atau, kedua-dua pihak juga akan mengalami kecederaan akibat tindakan dedah-mendedah dan serang-menyerang antara satu sama lain, dan yang tertawa besar ialah musuh politik Keadilan!


    Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

    ADS