Krisis MCA yang melibatkan pertarungan hidup mati di antara Kumpulan A yang diketuai Presiden Datuk Seri Dr Ling Liong Sik dan Kumpulan B yang diterajui Timbalannya, Datuk Lim Ah Lek pada zahirnya telah bernoktah.
Ini berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA pada 22 April 2002 yang sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan status quo kepemimpinan parti itu di semua peringkat, termasuk bahagian, negeri dan pusat sehingga tahun 2005.
Perkembangan terbaru ini sekurang-kurangnya telah 'memberi muka' kepada Bapa Barisan Nasional (kata Ling) yang terpaksa 'campur tangan' dalam urusan rumahtangga MCA, kerana keadaan parti itu yang telah terbelah dua, tentunya tidak menguntungkan BN yang akan menghadapi pilihanraya umum tidak lama lagi.
Lagi 'tidak manis' ialah sebelum ini, Kumpulan Ling secara terang-terangan enggan menandatangani Pelan Damai tajaan Dr Mahathir Mohamad dengan alasan ingin berjumpa dengan PM untuk mencari penjelasan mengenai beberapa perkara dalam pelan itu yang dianggap mungkin bercanggah dengan Perlembagaan MCA.
Kumpulan Lim pula telah pun menandatangani Pelan Damai itu awal-awal lagi pada 18 April serta mengumumkan pembatalan rancangannya untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa yang dijadual berlangsung pada 21 April 2002, sebagai tanda keikhlasan menyokong Pelan Damai itu.
Usaha Mahathir selaku pengerusi BN seolah-olah tidak dihargai. Desas-desus dan khabar angin bertiup di seluruh negara. Ada dakwaan bahawa Umno telah bercampur tangan dalam urusan rumahtangga MCA.
Ada pula tuduhan bahawa Umno tidak bersikap berkecuali tetapi menyebelahi Kumpulan B. Lebih menggemparkan lagi ialah ada yang berkata MCA telah membuat keputusan untuk berundur daripada BN!
Kepentingan BN
Tampaknya tidak kira bagaimana pahit sekalipun, Kumpulan A dan Kumpulan B MCA terpaksa menelan hempedu Pelan Damai tajaan Mahathir yang merupakan penawar bagi meredakan krisis MCA buat sementara waktu demi menjamin keutuhan BN dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Bagi Mahathir, kepentingan BN lebih diutamakan, bukan kepentingan Kumpulan A atau Kumpulan B MCA.
Dalam 'politik sebenar' BN, Mahathir mungkin lebih menggemari MCA yang berpuak-puak kerana ia lebih memudahkan beliau atau Umno memanipulasi dan menguasai sesebuah parti komponen yang tidak utuh dan kuat.
Penyokong Ling tentu merasa bangga apabila presiden mereka mengambil pendirian untuk mempertahankan kewibawaan Perlembagaan Parti dengan tidak menandatangani Pelan Damai tajaan Mahathir yang secara terang-terangan melarang hak pertandingan bebas di peringkat bahagian, negeri dan pusat seperti yang dijamin perlembagaan parti.
Namun, selepas bertemu Mahathir, Ling sebaliknya memberi persetujuannya, dan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA lantas mencapai keputusan sebulat suara supaya tidak diadakan pertandingan sama ada di peringkat bahagian, negeri atau pusat untuk tempoh tiga tahun sehingga 2005.
Padahal, pemilihan bahagian telah pun mula menerima penamaan calon pada jam 4 petang 22 April 2002. Pada jam 6 petang itu juga, Ling tiba-tiba mengumumkan bahawa pemilihan bahagian ditundakan sehingga 17 Mei, manakala pemilihan peringkat yang lain diteruskan seperti dijadualkan.
Pada keesokannya, mesyuarat Jawatankuasa Pusat pula mencapai keputusan bahawa pemilihan parti di peringkat bahagian, negeri dan pusat diterus, tetapi tanpa pertandingan! Ahli-ahli akar umbi MCA tentu amat kecewa kerana merasa seakan-akan dipermainkan oleh pemimpin besar mereka.
Isu ahli hantu
Kumpulan A pada mulanya berkeras hendak meneruskan pemilihan parti di semua peringkat, kerana mereka yakin dengan sokongan 168,000 ahli baru yang setengahnya disyaki 'ahli hantu' untuk 'mengajar dan membersihkan' musuh-musuh politik mereka dari Kumpulan B.
Kumpulan B pula tentu mengetahui keadaan genting mereka, dan tanpa lengah-lengah lagi terus berpaut erat kepada pelan damai untuk menyelamatkan diri mereka, meskipun ia tidak langsung menyentuh 'isu ahli hantu' yang mereka pertikaikan, manakala pemilihan tanpa pertandingan pula bercanggah dengan perlembagaan parti dan lunas demokrasi.
Cuba fikirkan apakah maknanya pemilihan parti jika semua calon akan terpilih secara automatik tanpa sebarang pertandingan? Bayangkan juga sekiranya ada puak ketiga yang berjiwa demokrasi dan ingin mencabar calon Kumpulan A atau B selaras dengan kehendak perlembagaan parti?
Tidakkah mereka juga berhak untuk berbuat demikian? Atau mereka akan dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar Pelan Damai dan keputusan Jawatankuasa Pusat yang terbabit?
Pelan Damai dikatakan bertujuan untuk memulihkan 'perdamaian dan kestabilan' parti. Benarkah musuh ketat yang bertarung secara mati-matian dalam pergelutan kuasa sebelum ini, dapat didamaikan hanya kerana tidak berani mengingkari hasrat Bapa BN?
Berkat perlindungan Pelan Damai itu, suka atau tidak suka, Ling yang diibaratkan sebagai 'kepala ikan busuk' oleh Kumpulan B khasnya dan masyarakat Cina amnya, kerana didakwa terlibat dalam beberapa skandal kewangan sebelum ini, dapat mempertahankan kedudukan sebagai presiden parti selama tiga tahun lagi.
Adakah dia akan meletak jawatan selepas itu? Selepas ia meletak jawatan, siapa pula yang akan dilantik sebagai presiden baru. Dan bagaimana pula dengan agihan kuasa di antara Kumpulan A dan B? Atau suatu perbalahan yang lebih sengit lagi akan tercetus selepas tahun 2005?
Memandangkan semua ini, pelan damai tidak akan dapat mendamaikan Kumpulan A dan B meskipun tiada sesiapa dalam MCA yang berani tampil ke hadapan untuk menentangnya!
LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.
