Most Read
Most Commented
Read more like this

Pada tanggal 9 Mei lalu, tercatat satu sejarah di negara ini — Umno dan PAS duduk atas satu pentas, bercakap dalam satu nada, memperjuangkan satu agenda — membela nasib rakyat Palestin.

Siapa kata kedua-dua parti itu tidak boleh duduk semeja? Siapa sangka pemimpin besar kedua-dua parti yang selama ini sentiasa "berseteru" boleh duduk sebaris dan tersenyum berjabat tangan?

Itulah hakikatnya, Melayu masih boleh bersatu atas agenda bersama yang tidak melibatkan soal parti.

Selama ini begitu sukar untuk ditemukan kedua-dua parti, apa lagi para pemimpin besarnya. Pelbagai usaha diadakan tetapi pelbagai halangan muncul.

Mengapa begitu? Jawapannya mudah — bila bercakap soal perpaduan bangsa menerusi saluran politik, kedua-dua pihak tidak mungkin mahu mengalah.

Umno dan PAS mempunyai ego dan prinsip yang tersendiri. Satu parti berlandaskan ego nasionalisme Melayu dan satu lagi dengan prinsip agama Islamnya.

Wujud pertentangan besar dari aspek pegangan dan ideologi. Oleh itu tidak mungkin kedua-dua parti duduk semeja atas agenda perpaduan politik.

Tetapi apabila berbicara soal sejagat, soal nasib rakyat Palestin, kedua-dua parti mempunyai kelemahannya. Kelemahan itu ialah rasa peri kemanusiaan dan semangat persaudaraan Islam.

Perpaduan Melayu

Kelemahan itu menundukkan ego dan prinsip masing-masing hingga membawa kepada "perpaduan" pada malam 9 Mei itu.

Dalam siri pidato perdana anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) untuk membela nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh Israel, PAS dan Umno bersatu.

Majlis yang bersejarah itu turut dihadiri lebih 3,000 penyokong Barisan Nasional dan Barisan Alternatif. Ia turut disaksikan oleh rakyat di seluruh negara melalui siaran langsung RTM.

Apa yang kita saksikan pada malam itu sebenarnya lebih daripada satu majlis pidato umum. Ia titik-tolak kepada perpaduan Melayu yang begitu sukar dianjakkan selama ini.

Mungkinkah ini langkah pertama ke arah satu perpaduan yang lebih bermakna dalam isu-isu yang lebih besar?

Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan bahawa Umno bersedia bekerjasama dan berunding dengan PAS demi perpaduan Melayu. Katanya, kedua-dua parti boleh duduk bersama membincangkan isu-isu yang lain, kalaupun bukan mengenai kerjasama kedua-dua parti.

PAS juga menyambut baik kenyataan Mahathir. Tetapi adalah sukar untuk diramal sejauhmanakah langkah yang bermula di DBP itu dapat dipanjangkan. Dalam politik, apa-apapun boleh berlaku. "Ya" yang dikatakan hari ini boleh bertukar menjadi "mungkin" atau "tidak" keesokannya.

Teka-teki politik

Politik penuh teka-teki dan muslihat. Dan mungkin majlis pada malam 9 Mei itu juga satu muslihat politik kedua-dua parti.

Majlis pidato perdana itu sebenar mendatangkan banyak "keuntungan politik" kepada kedua-dua parti. Mahahthir sekurang-kurang dapat berucap kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk para penyokong pembangkang kerana kehadiran Datuk Fadzil Noor berucap di atas pentas yang sama.

Sebelum ini ucapan secara langsung Perdana Menteri adalah satu taboo kepada para penyokong pembangkang. Mereka akan menutup peti televisyen atau menukar saluran kerana tidak mahu mendengar propaganda parti pemerintah.

Begitu juga dengan Fadzil, beliau berpeluang muncul di kaca televisyen tanpa sebarang tapisan. Seluruh negara melihat seorang pemimpin PAS duduk setaraf dengan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Malaysia.

Suatu yang jelas sekarang ialah orang Melayu boleh disatukan dalam membincangkan dan menyelesaikan apa-apa isu bersama. Dalam soal mempertahankan hak dan ketuanan Melayu, tiada pilihan bagi kedua-dua parti — mereka mesti duduk semeja walaupun pendekatan masing-masing mungkin berbeza.

Isu Palestin yang nun jauh di sana telah menyatukan orang Melayu, mengapa tidak digunakan titik persamaan ini untuk mengurangkan perbezaan yang wujud di antara orang Melayu sekarang.

Segala-galanya terletak di tangan PAS dan Umno. Tepuk dada tanyalah minda. Sejarah telah dicatat dan langkah pertama telah bermula.

ADS