Tahun ini adalah tahun pertama percubaan pelaksanaan sistem meritokrasi untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Pengumuman Kementerian Pendidikan bahawa 22,557 atau 68.9% pelajar bumiputra, 8,665 atau 26.4% pelajar Cina dan 1,530 atau 4.7% pelajar India berjaya memasuki IPTA, seolah-olah tidak dapat dipercayai dan diterima oleh semua pihak terbabit.
Semua pihak, termasuk kaum Melayu sendiri, tentu terperanjat macam mana pelajar bumiputra dapat mencapai keputusan yang begitu cemerlang sekali! Ini bukan akibat rasa dengki atau cemburu, tetapi kerana sebelum sistem meritokrasi ini dilaksanakan, ramai pejuang nasionalis Melayu, termasuk ahli akedemik yang bukan calang-calang orangnya telah meramal dan memberi amaran serius bahawa sekiranya sistem meritokrasi dilaksanakan, banyak kuota bumiputra akan dibolot oleh bukan-bumiputra, terutamanya pelajar Cina.
Tambahan pula, pada tahun lepas, pernah heboh kerana kuota pelajar Melayu dikatakan tidak dapat dipenuhi sementara ramai pula pelajar bukan-bumiputra dengan pencapaian cemerlang tidak dapat tempat di IPTA.
Malah Dr Mahathir Mohamad pernah memberi amaran kepada pelajar bumiputra, jika mereka tidak menghargai kuota yang diagihkan kepada mereka, tempat yang tidak dapat dipenuhi itu, terpaksa diberi kepada mereka yang layak. Satu tahun saja bezanya, pelajar Melayu sudah menjadi begitu hebat sekali, siapakah yang tidak akan meragui?
Setelah berpuluh-puluh tahun melaksanakan sistem kuota, semua kaum telah terlalu sensitif mengenai bilangan pelajar yang berjaya memasuki IPTA dengan ukuran kuota yang diperuntukan, iaitu 55% bagi pelajar bumiputra, 35% bagi pelajar Cina dan 10% bagi pelajar India. Jika keputusannya tidak seimbang, maka kecohlah kaum yang menganggap hak pendidikan pelajar kaumnya telah dirampas.
Pelajar bumiputra khasnya dan kaum bumiputra amnya selain daripada terperanjat, gembira dan bangga, kerana mencapai keputusan (68.9%) yang amat memuaskan, berbanding dengan peruntukan kuota (55%) sebelum ini.
Namun, ada juga yang khuatir kuota pelajar bumiputra akan dikurangkan akibat pelaksanaan sistem meritokrasi. Oleh itu, mereka terus meminta jaminan kuota pelajar bumiputra di kursus-kursus kritikal dikekalkan seperti tahun-tahun dahulu.
Pemuda Umno
Bagaimanapun, prasangka bumiputra terhadap sistem meritokrasi sebagai ancaman terhadap hak istimewa mereka juga sekaligus terhapus. Rasanya permintaan jawatankuasa rayuan pilihanraya Cina (Suqiu) agar sistem kuota kemasukan IPTA digantikan dengan tindakan afirmatif tanpa mengira kaum sebagai perlindungan kepada golongan lemah yang memerlukan bantuan, yang terpaksa diketepikan akibat tekanan perkauman daripada Pemuda Umno dan kerajaan, juga perlu dipulihkan, Pemuda Umno harus meminta maaf kepada Jawatankuasa Suqiu kerana memberi tekanan yang tidak rasional itu.
Sistem meritokrasi yang dilaksanakan hendaklah tulen dan merupakan "pertandingan yang dibuat di atas padang yang sama rata" sepertimana yang dipertahankan oleh Kementerian Pendidikan, bukan dimanipulasi dan diubahsuai oleh pihak-pihak yang tertentu untuk menjamin 'hak istemewa' yang dinikmati pelajar bumiputra dalam sistem kuota tidak terjejas.
Namun Kementerian Pendidikan harus berhati-hati. Pendirian dan hujuh mereka sekarang bermakna pelajar bumiputra bukan saja mampu bersaing dengan pelajar bukan-bumiputra di atas padang yang sama rata, malah pencapaian mereka terbukti lebih cemerlang daripada mereka.
Dengan kata lain, pelajar bumiputra tidak layak lagi menikmati sebarang tindakan afirmatif untuk membolehkan mereka memasuki IPTA seperti sebelum ini, termasuk program matrikulasi dan Univerisiti Teknologi Malaysia (UiTM) yang dikhaskan atau dikuasai oleh pelajar bumiputra.
Jika tindakan afirmatif masih diperlukan, ia hendaklah ditujukan kepada pelajar daripada golongan yang berlatarbelakangkan sosial-ekonomi yang lemah tanpa mengira kaum. Lebih-lebih lagi, setelah padang pertandingan disamaratakan, sekiranya pelajar bumiputra tidak mencapai keputusan cemerlang, malah lebih buruk daripada masa pelaksanaan sistem kuota, maka mereka juga hendaklah akur dengan keputusan itu.
Pendek kata, kita memerlukan semangat fair-play . Umpamanya pada tahun ini UiTM ada 2,690 tempat kosong untuk diisi mereka yang berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan melalui saingan yang berasaskan sistem meritokrasi, peratusan pelajar bumiputra yang berjaya hanya 47.3 peratus. Hakikat ini sudah sukar ditelan, umpamanya oleh Pemuda Umno.
Kali ini, hanya 4.7% pelajar India yang berjaya memasuki IPTA, berbanding dengan 10% yang diperuntukkan mengikut sistem kuota. Maka tidak hairanlah jika Presiden MIC Samy Vellu, melenting dan terus membawa isu ini ke kabinet.
Mentaliti kuota
Membayangkan jika peratusan pelajar bumiputra yang berjaya memasuki IPTA tidak sampai separuh kuotanya, iaitu hanya lebih kurang 26 peratus, apakah yang akan jadi? Reaksi Pemuda Umno umpamanya, tentu lebih radikal daripada Samy Vellu! Demikianlah 'mentaliti kuota' yang telah berakar umbi di minda semua kaum yang terbabit.
Namun demikian, tidak perlu disangsikan bahawa pelajar bumiputra sekarang telah mempunyai dayasaing yang tidak kurang, malah lebih unggul daripada pelajar kaum lain, terutamanya memikirkan kelebihan-kelebihan mereka berikut:
Sungguhpun demikian, mentaliti rakyat negara kita sekarang, terutamanya bumiputra padahal tidak menguntungkan pelaksanaan sistem meritokrasi yang tulen. Dan penafian mana-mana pihak bahawa pertandingan masih belum dilakukan di atas padang rata, sebenarnya merupakan perbuatan "tipu orang dan tipu diri".
Sia-sia saja Kementerian Pendidikan cuba menegakkan benang basah dalam mempertahankan kesetarafan dua peperiksaan yang berlainan sama sekali: peperiksaan matrikulasi dan STPM.
Harus diingati bahawa program walaupun metrikulasi adalah satu langkah untuk membantu melahirkan bilangan calon pelajar bumiputra secara besar-besaran untuk memenuhi kuota kemasukan IPTA, tetapi taraf akademiknya juga boleh dipertikaikan.
Umpamanya, apabila ditanya Profesor Diraja Ungku Aziz, mempertahankan pengekalan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, dan mengibaratkan program matrikulasi sebagai 'kilang tauhu' (pengeluaran besar-besaran), sungguhpun ia disangkalkan oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad..
Mengikut statistik yang didedahkan oleh Menteri Pendidikan, pelajar Program Matrikulasi tahun lepas berjumlah 13,597 Kurikulum, kaedah dan ukuran pengredan kedua-dua program tersebut adalah berlainan. Oleh itu, ia tidak dapat disamatarafkan menerusi sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) seperti yang dilakukan Kementerian Pendidikan sekarang, umpamanya gred C Matrikulasi disamatarafkan dengan gred D STPM, ini adalah andaian subjektif, tiada perbandingan objektif dilakukan;
Hakikat nyata tersebut jika tidak berani diakui Kementerian Pendidikan, bukan saja ia tidak layak bercakap tentang ketelusan, malah integriti profesionalisme mereka yang terlibat juga boleh diragui.
Sebelum penjelasan yang meyakinkan dapat dikemukakan kepada mereka yang mempertikaikan, khabarnya "Kabinet telah mengarahkan Kementerian Pendidikan mengkaji kemungkinan menggabungkan sistem merit dan kuota dan Menteri Pendidikan akan membentangkan formula baru itu dalam mesyuarat kabinet minggu depan." ( Utusan Malaysia , 16 Mei 2002).
Sekejap sistem kuota, sekejap sistem meritokrasi, sekejap sistem gabungan kuota-meritokrasi, semua pihak sudah pening kepala, Tan Sri Musa Mohamed bukan superman , bagaimana beliau boleh tidak pening kepala? Dalam keadaan yang kelam kabut ini, siapakah yang berkeyakinan bahawa keputusan yang akan diambil Kabinet nanti tidak silap lagi?
Rasanya semua ini harus diberhentikan. Penggubalan dasar pendidikan bukan hak monopoli Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Musa Mohamed, atau kabinet, biar badan-badan pendidikan semua kaum, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti yang berkaitan, mengambil bahagian dalam proses penggubalan dasar pengambilan pelajar IPTA, demi menjamin ketelusan, demokrasi, dan keseimbangan. (17 Mei 2002).
LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.
