Baru-baru ini saya terbaca kisah berikut: "Tiga empat tahun yang lalu, sepanjang ingatan saya (Dr Ismail Ibrahim, Mingguan Malaysia 2 Jun 2002), terdapat sebuah majalah terkemuka Barat yang memaparkan di kulit depannya, gambar seorang wanita Islam yang sedang disebat, sedangkan wanita itu dilaporkan sedang mengandung.
"Majalah itu mendakwa kejadian itu berlaku di salah sebuah negara Islam yang baru sahaja menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam. Dan kesalahannya ialah berzina. Bukti tuduhan ialah anak yang dikandungnya, kerana wanita ini tidak dapat membuktikan yang dia telah berkahwin dengan lelaki yang menyebabkan ia hamil, kerana ia sebenarnya telah dirogol oleh lelaki yang telah pun melarikan diri."
Mengikut Dr Ismail Ibrahim, kes ini memang satu kenyataan yang berlaku di negara terbabit, sungguhpun kemudiannya negara tersebut telah membatalkan pelaksanaan undang-undang jenayah yang berkenaan kerana pihak berkuasa tidak dapat menggubalnya secara baik kerana beberapa sebab tertentu. Namun, imej Islam telah tercemar akibat terdedahnya kes menzalimi wanita seperti tersebut di atas.
Kezaliman yang menimpa mangsa rogol di atas yang berlaku pada zaman sekarang di bawah apa-apa undang-undang jenayah sekalipun, tentu amat dikesali sekiranya kita benar-benar mendukung kesetarafan hak dan kedudukan bagi kaum wanita dalam masyarakat moden ini.
Tentu amat mengecewakan, sekiranya wanita Islam dan bukan Islam di negara kita juga akan ditimpa nasib malang seperti wanita mangsa rogol di atas. Tapi ini bukan mimpi ngeri, tetapi kenyataan yang dipaparkan dalam draf cadangan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (hudud dan qisas) Terengganu yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bulan depan.
Subseksyen 48(2) draf cadangan rang undang-undang tersebut memperuntukkan wanita yang hamil dan melahirkan anak tanpa suami boleh dikenakan tuduhan zina yang mana hukumannya 100 sebatan melainkan dia dapat membuktikan sebaliknya.
Bukankah kes menzalimi wanita seperti kes atas akan berulang di negara kita jika Subseksyen 48(2) ini diluluskan dan dilaksanakan tanpa bantahan keras daripada pihak-pihak yang berkenaan, terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) wanita?
Empat orang saksi
Lebih teruk lagi ialah Seksyen 9 yang menyebut sesiapa yang mengadu dirogol tetapi gagal mendatangkan sebarang bukti atau qarinah ( circumstancial evidence ) boleh dikenakan tuduhan qazaf (tuduhan zina) atau fitnah yang mana hukumannya 80 sebatan.
Mengikut ketetapan Seksyen ini, wanita yang dirogol menjadi mangsa dua kali berturut-turut, setelah dirogol, beban membuktikannya diletakkan pula sepenuhnya di atas bahu mereka.
Pembuktian di sini bermaksud membawa empat orang saksi lelaki Islam yang akil baligh dan adil. Jika mereka gagal berbuat demikian, mereka akan disebat 80 kali!
Melainkan dirogol secara bergiliran, bagaimana dapat wujud empat orang saksi? Dan sekiranya empat orang yang menyaksikan jenayah rogol tidak cuba menegah jenayah itu daripada berlaku, umpamanya dalam kes rogol bergiliran, bagaimana mereka layak diterima sebagai bersikap adil?
Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia (9 Jun 2002), Mennteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membuat penjelasan bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu mengenai draf cadangan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (hudud dan qisas) yang mencetuskan kontroversi dan bantahan umum itu.
Di samping bersetuju untuk membuat beberapa pindaan, beliau telah menjelaskan bahawa:
Negara Islam
Dari hujah-hujah tersebut, ternyata pembentangan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (hudud dan qisas) merupakan daya usaha PAS untuk membuktikan mereka sedang menujui negara Islam yang sebenar sebagai tanggungjawab dengan Tuhan.
Oleh itu, mereka tidak peduli sangat tentang Kerajaan Pusat atau pejabat Peguam Negara, apa lagi rakyat bukan Islam. Dari aspek ini, bagi PAS, entah di mana tempat Perlembagaan Persekutuan?
Bagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang, empat peruntukan yang dibantah atau dipertikaikan itu seolah-olah tidak menjadi masalah sekiranya ia dibaca dengan enam enakmen lain yang telah dikemukakan terlebih dahulu.
Yang disetujui untuk dipinda hanya merupakan prosedur atau aspek teknikal, bukan perkara nas. Beliau telah menarik kesimpulan bahawa masyarakat umum sudah menerima hudud.
Dilemma orang Islam, termasuk mereka yang bersikap terbuka dan progresif, seolah-olah tidak boleh menolak hudud, selain daripada membidasnya daripada aspek prosedur dan teknikal? Namun, yang menjadi masalah sekarang adakah hanya merupakan aspek prosedur dan teknikal saja?
Jika Undang-Undang Jenayah Syariah (hudud dan qisas) Terengganu dilaksanakan (padahal tidak mungkin tanpa persetujuan pejabat Peguam Negara dan Kerajaan Pusat, oleh itu ia disindir sebagai hudud pilihanraya), rakyat negeri itu diberi pilihan untuk menggunakan undang-undang baru atau undang-undang sedia ada.
Tetapi tiada jaminan fleksibiliti ini tidak ditarik balik pada bila-bila masa saja atas tanggungjawab dengan Tuhan. Dalam suasana agama yang begitu pekat sekali, adakah orang Islam bebas untuk membuat pilihan?
Hudud terjemahan PAS
Tidakkah mereka akan dipandang sebagai kafir yang mengkhianati bangsa dan agama? Dan orang bukan Islam yang memilih undang-undang sedia ada, yang menurut pendapat Abdul Hadi, akan menyebabkan keadaan moralnya tidak terpelihara dan akan dihukum di akhirat?
Hujah Abdul Hadi Awang sendiri tentang fleksibiliti untuk memilih hudud atau undang-undang yang sedia ada telah menempatkan hudud di tempat yang lebih mulia dan unggul, bukankah begitu?
Saya tidak tahu apa ukuran Abdul Hadi Awang untuk mengatakan masyarakat umum sudah menerima hudud, jika ketua Muslimat Pas dan Keadilan juga tidak berpuas hati dengan beberapa peruntukan yang berkenaan.
Kepada masyarakat bukan Islam yang mengikut kontroversi kali ini, saya berani mengatakan peruntukan yang dibantah dan dipertikaikan itu, dengan jelas sekali mendedahkan sifat primitif yang anti-wanita dan ketinggalan zaman. Setelah berpuluh-puluh tahun bercakap tentang hudud, PAS sebenarnya gagal menggubalkan peruntukan-peruntukan hudud yang adil dan saksama.
Sekiranya PAS menggunakan hudud sebagai senjata utama untuk bersaing dengan Umno sebagai bukti memperjuangkan negara Islam yang sebenar, ia harus berhati-hati agar senjata ini tidak makan tuannya.
Saya sendiri tidak percaya orang bukan Islam akan menyokong hudud, dan begitu juga orang Islam amnya yang berminda terbuka akan menerima hudud terjemahan PAS sepertimana yang terpapar dalam draf cadangan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (hudud dan qisas) Terengganu yang dibantah oleh kaum wanita secara umum itu.
Tidak begitu bijak rasanya jika hudud yang menjadikan PAS terhakis kewibawaan dan pengaruhnya menjelang pilihanraya umum yang akan datang.
LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.
