Tidak dapat dinafikan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang pemimpin politik negara kita yang kontroversial sekali.
Satu gejala yang ganjil sekali ialah semasa beliau didewa-dewakan oleh media arus perdana sebagai pemimpin agung bangsa Melayu (bahkan pemimpin yang berpengaruh dalam negara-negara Islam), beliau sebaliknya berterus-terang mengaku "saya kecewa dengan Melayu".
Setelah 21 tahun memimpin Umno dan Kerajaan Malaysia, beliau mengaku gagal mengubah orang Melayu. Beliau begitu kecewa sekali, sehingga apabila ditanya katalah jam dapat diputar ke belakang dan beliau berada pada 28 Jun 1981, hari pertama beliau menjadi Presiden Umno, apa yang akan beliau lakukan?
Entah sama ada sinis, merajuk, atau terlalu kecewa, jawab beliau: "Saya mahu jadi ahli biasa sahaja, sebab saya tak boleh buat apa-apa untuk mengubah orang Melayu."
Menurut Mahathir, orang Melayu memang teruk sangat, antara lain:
Mentaliti tongkat
Timbul persoalan di benak saya yang sukar mendapat jawapannya. Sekiranya orang Melayu yang merupakan bangsa tunjang negara kita begitu teruk sekali dan mengecewakan seperti andaian Mahathir, bagaimanakah negara kita dapat mencapai kejayaannya sebagai "model negara Islam" seperti yang selalu didakwa oleh Umno dan Kerajaan Barisan Nasional? Adakah bangsa yang kerdil dapat menghasilkan pemimpin dan negara yang agung?
Mahathir sekarang dengan sedaya-upaya membidas mentaliti tongkat, mentaliti subsidi, mentaliti hak keistimewaan. Semua ini dianggap sebagai yang memalu dan menghinakan, dan tegas beliau: Kalau kita selalu guna tongkat, sampai bila pun kita akan tempang.
Namun, bukankah kesemua ini akibat pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang selama ini menekankan Dasar Ketuanan Melayu dan Bumiputraisme yang menjamin pelbagai hak keistimewaan orang Melayu? Bukankah kuota sini, subsidi sana, berbagai dana untuk membantu bumiputra merupakan dasar-dasar kerajaan yang ditunjangkan Umno? Dan bukankah Mahathir pemimpin yang terutama menggubal dan melaksanakan kesemua dasar-dasar tersebut?
Oleh itu, jika hendak disalahkan, siapakah yang patut disalahkan, dasar kerajaan yang dipimpin oleh Mahathir atau orang Melayu yang menyokong dasar kerajaan?
Mahathir menyalahkan orang politik, pembangkang dan juga orang Umno. Kononnya "ada orang apabila kita hendak buat perkara yang betul, maka mereka akan ancam melalui politik supaya jangan menyokong kerajaan".
Mungkin sebab itulah, kerajaan terpaksa tunduk kepada mentaliti tongkat, mentaliti subsidi, dan mentaliti hak keistimewaan yang dipandang sebagai sifat negatif sekarang.
Jika inilah yang menjadi puncanya, maka politik Umnolah yang patut disalahkan, kerana tidak berani berpegang kepada dasar yang akan menguntungkan orang Melayu pada jangka masa panjang, tetapi lebih mengendahkan sokongan terdekat orang Melayu .
Hak istimewa orang Melayu
Umpamanya sistem kuota dalam institusi pendidikan tinggi awam (Ipta). Selama berpuluh-puluh tahun Umno bertindak sebagai pembela nasib orang Melayu melalui sistem kuota dengan melaksanakan program Matrikulasi serta menubuhkan Maktab Sains Rendah Mara (MSRM) khas untuk membantu pelajar bumiputra. Dasar-dasar ini dianggap sebagai hak keistimewaan orang Melayu dan tidak dibenarkan dicabar oleh mana-mana pihak.
Sekarang, secara mendadak orang Melayu diberitahu pula kuota sebenarnya merupakan tongkat yang memalukan dan akan menjadikan orang Melayu tempang selama-lamanya. Bagaimanakah orang Melayu tidak akan sangsi bahawa pemberian kuota 10 peratus untuk bukan bumiputra ke MRSM akan menguntungkan mereka kerana wujudnya persaingan?
Demikian juga Kolej Tengku Abdul Rahman (TARC) dan Universiti Tengku Abdul Rahman (Utar) yang selama ini dianggap sebagai jasa MCA untuk menjaga kepentingan pelajar orang Cina. Ia dimonopoli oleh pelajar Cina yang memang merupakan dasar kolej dan universiti berkenaan yang diakur oleh kerajaan BN.
Tiba-tiba Pemuda Umno mempersoalkan mengapa Utar hanya menerima seorang pelajar bumiputra saja. Ianya samalah jika Pemuda MCA mempersoalkan mengapa MRSM sebelum ini tidak menerima pelajar bukan bumiputra.
Yang berlainan hanya MRSM secara terang-terangan tidak mengambil pelajar bukan bumiputra, manakala Utar secara tidak rasmi menampung pelajar bukan bumiputera, terutamanya pelajar Cina. Justeru itu, pada tahun ini hanya empat pelajar bumiputra yang memohon memasuki Utar, tiga orang berjaya diterima, tetapi hanya seorang sahaja yang melaporkan.
Dalam keadaan ini, memang tidak perlu Pemuda Umno meminta Utar memberikan 10 peratus kuota kepada pelajar bumiputra, jika hanya empat orang yang memohon. Jadi buat apa 10 peratus kuota?
Penggunaan bahasa Inggeris
Lebih tidak bertanggungjawab ialah dakwaan Pemuda Umno bahawa hanya lima peratus pelajar bumiputra di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), padahal mengikut Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamed, jumlah mereka di IPTS telah meningkat daripada 20 peratus kepada 40 peratus. Oleh itu, di manakah logiknya kuota 10 peratus itu? Dan jika IPTS sanggup menampung semua pelajar bumiputra yang memohon, kenapa perlu sebarang kuota?
Melalui dayausaha Pemuda Umno, sebelas IPTS terkemuka milik bukan bumiputra telah bersetuju untuk menyumbang RM5 juta dalam bentuk biasiswa khas bagi menambahkan bilangan pelajar bumiputra di kampus mereka.
Ini tentu dialu-alukan oleh pelajar bumiputra, tetapi tidakkah ia juga merupakan tongkat yang menyumbang kepada mentaliti subsidi yang akhirnya akan melemahkan pelajar bumiputra seperti hujah Mahathir?
Sesetengah nasionalis bahasa Melayu juga dikecam oleh Mahathir kerana tidak mementingkan bahasa Inggeris. Namun pada hemat penulis, mendewa-dewakan bahasa Inggeris, sehingga bahasa itu akan digunakan sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran sains dan matematik tahun depan secara serentak dalam sekolah rendah dan menengah juga dasar yang melampau dan terburu-buru.
Ini kerana ia mungkin merugikan pencapaian akedamik mata pelajaran sains dan matematik kerana rintangan bahasa. Pada masa yang sama, ia tidak dapat mengingkatkan taraf bahasa pelajar seperti yang diinginkan.
Nampaknya Mahathir begitu berkeyakinan bahawa beliau sentiasa betul dalam segala-gala hal yang beliau bidas dan kritik. Yang menghampa dan mengecewakan beliau ialah tidak dapat mengubah sifat orang Melayu. Dalam keadaan demikian, selain daripada mengikut saja apa yang Mahathir anggap betul, apa lagi orang Melayu boleh buat? Betulkah begini?
