Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
Columns

Dalam laporan muka depannya Isnin lalu (24 Jun 2002) Utusan Malaysia memetik Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub sebagai berkata mesyuarat Majlis Tertinggi akan mengumumkan "tolak ansur" yang dipersetujui dalam pertemuan antara Jawatankuasa Pengurusan Umno (JPU) dan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Seri Perdana, Putrajaya.

Megat Junid juga dipetik sebagai berkata: "Tak ada bantahan langsung." Apa yang beliau maksudkan ialah untuk mententeramkan keadaan sebelum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat pengumuman mengenai jadual peralihan kuasa Dr Mahathir.

Keesokannya (26 Jun 2002), MT mengumumkan bahawa Dr Mahathir dijadualkan melepaskan semua jawatan parti dan kerajaan, termasuk kedudukannya sebagai Perdana Menteri selepas mesyuarat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada 24 dan 25 Oktober 2003.

Dari urutan peristiwa dan jadual peralihan kuasa Dr Mahathir itu membayangkan seolah-olah "tolak ansur" dicapai di antara JPU dan Dr Mahathir, seperti tanggapan Megat Junid.

Tetapi tak sangka pula, pada 27 Jun, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob menjelaskan bahawa proses peralihan kuasa yang diumumkan oleh MT Umno sehari sebelumnya, adalah atas kehendak Dr Mahathir sendiri, bukannya tolak ansur dengan jawatankuasa pengurusan parti itu.

Beliau menegaskan bahawa JPU hanya mendengar versi Perdana Menteri mengenai hasrat beliau hendak berhenti, mesej dan harapannya kepada MT. Tugas JPU bukannya untuk berunding atau pun membuat cadangan kepada Dr Mahathir.

Penjelasan Megat Junid

Tambah beliau, JPU menghormati setiap ayat yang dikatakan oleh Perdana Menteri mengenai proses pengunduran beliau sepertimana yang terkandung dalam kenyataan lapan perkara yang diumumkan oleh MT Umno pada 26 Jun lalu.

Megat Junid mengakui bahawa apa yang ditegaskan oleh Khalil itu adalah benar. Bagaimanapun, jelas Megat Junid, perkara "tolak ansur" yang dibangkitkan oleh beliau sebelum ini, juga tidak salah kerana ia memang berlaku tetapi hanya di dalam diri Dr Mahathir sendiri.

Dari segi logiknya, pengumuman asal Megat Junid bahawa Dr Mahathir bertolak ansur dengan JPU senang saja dapat diertikan: Dr Mahathir hendak meletakkan serta-merta semua jawatannya, JPU tidak mengizinkan, dan merayu supaya Dr Mahathir menarik balik dan terus menjalankan tugasnya seperti biasa.

Akhirnya, kedua-dua pihak bertolak ansur, Dr Mahathir tidak berkeras hendak meletakkan serta-merta semua jawatannya, dan JPU pula bersetuju Dr Mahathir dijadualkan melepaskan semua jawatan parti dan kerajaan selepas OIC.

Penafian Khalil dan disusuli dengan penjelasan Megat Junid menjadikan keadaan agak lucu: Dr Mahathir bertolak ansur dengan Dr Mahathir! Seolah-olah Dr Mahathir sedang bergelut dengan dirinya sendiri.

Di satu pihak, beliau berkeras hendak meletakkan semua jawatannya kerana berasa sudah tua dan sudah lama membuat keputusan hendak bersara supaya ada masa untuknya bersama keluarga dan membuat ibadat.

Budak Mahathir

Di pihak yang lain pula, beliau keberatan untuk berundur kerana berasa parti, bangsa dan negara masih memerlukannya, dan beliau mesti terus berkorban!

Akhirnya Dr Mahathir berkompromi dengan dirinya sendiri: masa yang paling baik saya berundur ialah selepas persidangan OIC tahun depan.

Maka keputusan atas kehendak beliau sendiri itu pun diberitahu kepada JPU, lalu kemudiannya diumumkan melalui kenyataan MT Umno pada tanggal 26 Jun 2002.

Episod 'salah faham' antara 'budak Mahathir' (Megat Junid) dengan JPU itu, seolah-olah sesuatu yang akademik mengenai tafsiran istilah "tolak ansur". Namun, ia mungkin tersirat sesuatu yang jauh lebih penting: Sama ada Dr Mahathir bersedia untuk berundur atas kehendaknya sendiri atau beliau terpaksa berundur kerana sesuatu sebab yang masih belum diketahui umum.

Dalam wawancaranya dengan wartawan Utusan Malaysia ( Mingguan Malaysia , 30 Jun 2002), anak Dr Mahathir, Datuk Mokhzani, memberitahu, setelah puas dipujuk, ayahnya pun berkata: "Baiklah saya akan fikir semula perkara perletakan jawatan ini."

"Tetapi Pak Lah kata, 'Itu tidak cukup.' Pak Lah mahu apabila dia keluar (masuk semula ke Dewan Merdeka), dia hanya mahu mengumumkan yang bapa saya telah menarik balik keputusannya. Bapa saya kata, 'Okaylah'. Setelah dipersetujui, barulah Pak Lah menaiki pentas di Dewan Merdeka dan mengumumkan penarikan balik peletakan jawatan bapa saya."

Strategi Dr Mahathir

Jelas sekali, Dr Mahathir telah bersetuju untuk menarik balik peletakan jawatannya kira-kira sejam selepas pengumuman mengejut mengenai peletakan jawatannya, dan mengizinkan Pak Lah untuk mengumumkannya kepada perwakilan Umno.

Sekiranya kehendak Dr Mahathir ialah berundur secara teratur seperti yang dijadual dan diumumkan oleh MT melalui kenyataannya pada tanggal 26 Jun 2002, beliau tentu tidak akan bersetuju dengan Pak Lah untuk mengumumkan bahawa beliau bersetuju untuk menarik balik perletakan jawatannya, yang diumumkannya sejam sebelumnya, seolah-olah bersandiwara.

Apabila Mokhzani ditanya apakah pendapatannya tentang strategi Dr Mahathir membuat pengumuman di perhimpunan itu, entah sedar atau tidak sedar tentang implikasi 'strategi' itu, beliau menjawab: "Secara peribadi, bagi saya strategi beliau itu tidak begitu tepat."

Adakah perletakan jawatan secara mengejut itu semata-mata suatu 'strategi' saja? Jika ia suatu 'strategi' saja, apa pula matlamatnya? Mungkin Dr Mahathir sendiri saja yang mengetahuinya! Namun, tentu bukannya jadual berundur secara teratur seperti yang diumumkan oleh kenyataan MT Umno!

Menurut Mokhzani lagi, kalau ayahnya menjelaskan terlebih dahulu secara beransur-ansur, kemudian baru mengumumkan perletakan jawatan, beliau percaya mungkin reaksi orang ramai terhadap keputusannya, ketika itu ialah 50-50.

Sudah tentu tidak menjadi masalah andainya kehendak Dr Mahathir hanya jadual berundur secara teratur!

Hingga sekarang, segala-galanya nampak baik dan terkawal. Namun, seluruh rakyat mahu mendengar penjelasan mengenai semua itu daripada mulut Dr Mahathir sendiri!


LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS