Keputusan pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit telah membuktikan bahawa 'bulan' sebenarnya belum pudar lagi, dan dakwaan Umno bahawa orang Melayu telah balik menyokong Umno adalah tidak berasas.
Mengikut pemimpin Umno tempatan, undi Melayu yang diperolehi Umno kali ini hanya 42 peratus. Ini pun setelah segala jentera kerajaan digerakkan di bawah pimpinan hampir seluruh hulubalangnya yang turun ke padang di samping penguasaan media, serta politik wang dan taktik kotor (umpamanya pengundi hantu).
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad begitu kecewa sekali dengan kekalahan Barisan Nasional di Anak Bukit, sehingga penyokong PAS dibidas sebagai "fanatik", dan sanggup mengundi calon PAS secara membabi buta. Kata beliau, jika tunggul kayu sekalipun dijadikan calon PAS, ia akan menang juga.
Ianya seperti yang berlaku kepada penyokong kubu DAP suatu masa dahulu, kononnya walaupun seekor lembu dijadikan calon DAP, ia tetap akan menang!
Tidak dapat dinafikan bahawa Anak Bukit merupakan kawasan strategik bagi PAS untuk terus menafikan BN daripada memperolehi majoriti dua pertiga majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.
Dan kemenangan PAS di Anak Bukit juga merupakan faktor psikologi yang amat diperlukan ke arah mencapai matlamat mengambil alih kuasa pemerintahan negeri Kedah dalam pilihanraya akan datang.
Orang lama
Setelah ditewaskan, calon BN, Datuk Zakaria Said mengaku jentera pilihanraya BN tidak mampu menyiangi semangat jentera pilihanraya PAS. Di samping itu, beliau juga mengaku tidak begitu aktif berpolitik sejak tidak dicalonkan dalam pilihanraya umum tahun 1999.
Dengan kenyataan seperti itu, beliau seolah-olah secara tidak langsung bersetuju dengan kritikan bahawa Umno terlalu bersandar kepada "orang lama" yang tidak dapat menyumbangkan nafas baru kepada politik semasa yang lebih mencabarkan.
Di pihak yang lain, calon PAS Amiruddin Hamzah tentu bukan tunggul kayu yang diibaratkan Mahathir. Sebaliknya, sebagai seorang jurutera, beliau merupakan profesional muda PAS yang ingin membawa perubahan kepada suasana politik negara kita.
Ini membuktikan kemenangan PAS di Anak Bukit bukan atas nasib semata-mata, sunguhpun BN begitu yakin mereka akan menang di kawasan tersebut. Kerana itulah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan ramai lagi pemimpin BN awal-awal lagi berkumpul di tempat penjumlahan undi di Anak Bukit.
Mereka semuanya sudah bersedia untuk menyambut kemenangan BN. PAS sendiri juga tidak bersikap optimistik kerana tertekan oleh jentera Kerajaan BN yang begitu kuat dan agresif sekali.
Bagaimanapun, Umno telah berjaya merampas semula Parlimen Pendang meskipun dengan majoriti yang kecil (283 undi), di samping mengurangkan majoriti yang dimenangi oleh Datuk Fadzil Noor pada 1999 (dari 1,840 kepada 508 undi) di Anak Bukit.
Pengundi Cina
Namun begitu, jika dihalusi, kemenangan Umno di Pendang sebenarnya akibat kesalahan strategi politik PAS membabitkan penggubalan dan pelaksanaan hukum hudud di Terengganu secara terburu-buru sejurus sebelum berlangsungnya pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit.
MCA Kedah mendakwa 95 peratus pengundi Cina di Pendang dan Anak Bukit memilih calon BN. Walaupun ada kemungkinan peratusan itu diperbesarkan, namun, Hadi Awang sendiri mengakui bahawa bilangan pengundi Cina yang mengundi PAS kali ini telah merosot, dan menjadi punca kekalahan calon PAS di Pendang, dan kemerosotan undi majoriti calon parti itu di Anak Bukit.
Di Pendang, terdapat pengundi bukan Melayu yang kebanyakannya kaum Cina dan Thai yang berjumlah kira-kira 5,500 orang. Seandainya PAS mampu mendapat lebih 10 peratus (550 undi) pengundi bukan Melayu, parti itu sudah tentu dapat mengekalkan kerusi Pendang.
Maksud saya, calon PAS kehilangan undi kali ini akibat eksploitasi habis-habisan oleh jentera media dan propaganda BN terhadap isu hukum hudud.
Menurut analisis di atas, keputusan pertarungan PAS dan Umno di Pendang dan Anak Bukit boleh dikatakan seri satu sama. Dacing kecundang di Anak Bukit dan bulan pula gerhana di Pendang. Oleh itu tiada mana-mana parti yang layak digelar sebagai pemenang total, dan tiada juga yang boleh dianggap sebagai gagal keseluruhannya.
Namun media elektronik dan cetak yang dikuasai BN telah memberi gambaran bahawa kempen pihak pembangkang adalah ganas, tidak beretika dan penuh dengan kekerasan serta taktik-taktik kotor.
Selak kain
Mereka menggambarkan bahawa penceramah PAS hanya pandai memaki-hamun, penyokong PAS didakwa menyelak kain untuk mendedahkan kemaluan, menyimbah asid dan memecahkan cermin kereta, serta menahan bas-bas yang membawa penyokong BN dengan kekerasan, berkelahi dan sebagainya.
Siapa yang sebenarnya menjalankan kempen ganas dan taktik kotor adalah sukar dikenalpasti kerana unsur sabotaj juga harus diperhitungkan. Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Razak yang juga pengarah pilihanraya PAS Kedah: "Dalam pilihanraya, kadang-kadang poster PAS tetapi Umno yang buat, kadang-kadang poster Umno, PAS yang buat."
Saya diberitahu oleh seorang petugas Keadilan, bahawa dalam kempen pilihanraya kecil di Indera Kayangan, Perlis, dahulu, dalam sebuah kereta petugas BN yang terlibat dalam suatu kemalangan jalanraya, ditemui sejumlah kain rentang berbahasa Cina yang berbunyai "hanya parti PAS dan Keadilan sanggup melaksanakan negara Islam di negara ini". Ini satu contoh kain rentang BA, tetapi BN yang buat.
Pembaca tentu masih ingat pilihanraya umum tahun 1990, di mana gambar Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga Presiden Semangat 46 dan Ketua Gagasan Rakyat ketika itu, yang memakai sigah Kadazan yang difitnah oleh BN sebagai lambang salib.
Berikutan itu, suatu propaganda besar-besaran dilancarkan ke seluruh negara untuk mengapi-apikan sentimen umat Islam untuk menentang Tengku Razaliegh dan Gagasan Rakyat pimpinannya, kononnya beliau mengkhianati kaum Melayu dan agama Islam.
Bagaimanapun, dari segi budaya politik dan semangat demokrasi dan keadilan, taktik-taktik kotor sepatutnya tidak digunakan, terutamanya fitnah yang tidak berasas dan penggunaan kekerasan.
Kambing hitam
Tidak kira petugas PAS ataupun Umno atau mana-mana pihak yang menyebarkan poster-poster yang memaparkan Dr Mahathir sebagai paderi besar dan Timbalan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pula sebagai penjual babi umpamanya, bukan saja fitnah terhadap individu terbabit, malah implikasi politiknya jauh lebih serius.
Ini kerana penganut agama Kristian dan pembela babi yang bukan Islam, seolah-olah turut dihinakan, dan mungkin berasa tersinggung.
Ahli politik yang berprinsip sudah barang tentu tidak akan mengambil risiko memburukkan hubungan baik antara kaum dan agama untuk meraihkan undi murahan seperti yang dilakukan di atas.
Mana-mana petugas parti atau pihak yang sanggup berbuat demikian ialah petualang politik yang tidak beretika dan tidak berprinsip. Mereka harus ditentang dan disingkirkan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim, mesyuarat Kabinet akan membincangkan beberapa cadangan baru bagi "memastikan kempen pilihanraya secara melampau dan ganas seperti yang berlaku di Pendang dan Anak Bukit, Kedah, tidak berulang lagi".
Tambahnya, semua cadangan Kabinet tersebut akan dijadikan panduan oleh Jabatan Peguam Negara yang kini dalam proses akhir meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Nampaknya pembangkang juga yang akan dijadikan kambing hitam.
LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.
