Pada 1 Ogos 2002, satu forum untuk orang ramai akan dianjurkan oleh GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) bersama Suaram (Suara Rakyat Malaysia) untuk memperingati ulang tahun ke-42 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikuatkuasakan secara bermaharajalela.
Sebagai bekas tahanan ISA dalam tahun 1960-an, saya telah diundang untuk membuat overview mengenai ISA dalam jangka masa tersebut.
Sebelum ISA digubal dan dilaksanakan, kerajaan penjajah British mengisytiharkan Undang-Udang Darurat pada 18 Jun 1948 untuk menumpaskan perjuangan menuntut kemerdekaan oleh parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan patriotik-demokratik yang berhaluan kiri.
Penjajah British dengan sekali gus mengharamkan Parti Komunis Malaya (PKM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Pembela Tanahair (Peta), Angkatan Wanita Insaf (Awas), Barisan Tani Malaya (BTM), Hizbul Muslimin, New Democratic Youth League, kesatuan-kesatuan buruh dan lain-lain. Ribuan pemimpin dan kader parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan tersebut telah ditahan secara beramai-ramai. Mereka dipenjara, diseksa, dihukum gantung dan dibuang negeri...dan tidak diadili di mahkamah terbuka.
Menjelang dan selepas negara kita mencapai kemerdekaan, rakyat berbilang kaum telah dengan gigih menuntut dan memperjuangkan pemansuhan Undang-Undang Darurat yang terkutuk itu. Oleh itu, Kerajaan Perikatan telah berjanji dalam Manifesto pilihanraya umum 1959 untuk memansuhkan undang-undang tersebut sekiranya mereka menang dalam pilihanraya tersebut.
Untuk memenuhi janji tersebut, kerajaan Perikatan terpaksa memansuhkan Undang-Undang Darurat, tetapi pada masa yang sama, digantikan pula dengan ISA. Dengan kata lain, hanya nama sahaja yang berlainan, fungsinya untuk menahan dan menumpaskan musuh politiknya tanpa diadili di mahkamah terbuka tetap sama.
Penangkapan beramai-ramai
Menurut statistik yang didedahkan oleh Tun Abdul Razak Hussein, Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Pertahanan semasa Undang-Undang Darurat dimansuhkan, selama 12 tahun undang-undang itu dikuatkuasakan, seramai 12,720 orang telah dibuang negeri dan 227 meninggalkan negeri secara sukarela. Bila Undang-Undang Darurat dimansuhkan, masih ada 67 orang tahanan politik meringkuk dalam kem-kem tahanan di Sungai Petani (Kedah), Batu Gajah (Perak) dan Muar (Johor). Mereka akan terus ditahan di bawah undang-undang baru ISA, "sehingga mereka tidak mengancam keselamatan negara".
Pada penghujung tahun 1950-an, Undang-Undang Darurat sering diguna untuk menindas gerakan pelajar, gerakan kesatuan pekerja dan gerakan politik. Antara lain, ramai aktivis pelajar sekolah menengah swasta Cina telah ditahan kerana terlibat dalam kempen menentang dasar mengusir pelajar yang lebih umur serta mengubah bahasa pemeriksaan daripada bahasa Cina ke bahasa Inggeris.
Pada tahun 1958, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Kilang dan Pekerja Am (National Union of Factory and General Workers) (1953-58) yang mempunyai 15,000 orang ahli serta sangat berpengaruh itu telah diharamkan. Gabungan Pemuda Sosialis (1954-1958) yang ditubuhkan oleh V David juga mengalami nasib yang sama. Ramai pemimpin dan petugas kedua-dua pertubuhan tersebut telah ditahan di bawah Undang-Undang Darurat.
Pada 1 Oktober 1958, suatu penangkapan beramai-ramai telah dilancarkan, dan 109 orang, termasuk guru, pelajar, aktivis kesatuan pekerja dan politik telah ditahan dari seluruh negara. Pada 26 Februari 1959, Undang-Undang Darurat digunakan buat kali terakhir untuk menahan 125 lagi tahanan politik dari seluruh negara. Penangkapan ini nyata sekali bertujuan untuk menumpaskan kekuatan pembangkang menjelang pilihanraya umum 1959.
Namun demikian, Front Sosialis telah berjaya menawan lapan kerusi Parlimen dan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pencapaian PAS yang dipimpin Dr Burhanuddin Al-Helmy lebih cemerlang lagi; parti itu dapat menawan 16 kerusi Parlimen dan berjaya menguasai negeri Kelantan dan Terengganu.
Dalam tahun 1960-an, penahanan berlaku dari semasa ke semasa di bawah ISA. Di antara tahun 1960-61, lebih kurang 60 orang telah ditahan, kebanyakannya pemimpin dan petugas Parti Buruh dan Parti Rakyat.
Operasi 'Cold Store'
Pada 2 Februari 1963, rejim Lee Kuan Yew yang bersedia untuk menggabungkan Singapura dalam Malaysia yang akan ditubuhkan pada 16 September 1963, telah bersubahat dengan Kerajaan Perikatan dan Penjajah British untuk melancarkan Operasi 'Cold Store' di mana 113 orang musuh politik Lee Kuan Yew yang menentang penubuhan Malaysia dari Barisan Sosialis, Parti Rakyat, Parti Pekerja, Universiti Nanyang, kesatuan pekerja, kesatuan wanita, kesatuan guru, wartawan dan sebagainya.
Pada 13 Februari 1963, Ahmad Boestamam, presiden Front Sosialis dan ketua pembangkang Parlimen, ditahan di bawah ISA atas tuduhan beliau ada hubungan sulit dengan Parti Komunis Indonesia, dan terlibat dalam pemberontakan Parti Rakyat Brunei. Beliau ialah Ahli Parlimen pertama yang ditahan di bawah ISA.
Pembentukan Malaysia telah mengakibatkan konfrontasi dari Indonesia. Kerajaan Perikatan telah menggunakan peluang itu untuk menindas pemimpin dan petugas politik Melayu kita, menyebabkan ramai daripada mereka ditahan pada tahun 1964-65. Antaranya termasuk Roslan Sarif (setiausaha Front Sosialis Johor), Zainani Sulaiman (setiausaha agung National Convention Party), Ibrahim (ahli Majlis Bandaran Johor Baru), Abdul Ghani (timbalan pengerusi Front Sosialis Johor) dan Abu Bakar (pengerusi Parti Rakyat Pulau Pinang).
Kerajaan Perikatan telah mengekspoitasikan konfrantasi Indonesia secara habis-habisan; pembangkang dicemuh sebagai penderhaka negara. Akibatnya Perikatan memenangi 89 kerusi daripada 104 kerusi, pembangkang gagal teruk, hanya tinggal 15 kerusi saja, termasuk PAS (9) dan Front Sosialis (2).
Pada awal tahun 1965, Dr Burhanuddin (presiden PAS), Ishak Hj Mohamad (presiden Parti Buruh), Aziz Ishak (presiden National Convention Party), Datu' Raja Abu Hanifa (PAS), Dato' Kampo Rajo (bendahari Front Sosialis), dan Nazar Nong (naib presiden Parti Rakyat) telah ditahan kononnya terlibat dalam pembentukan kerajaan buangan di Indonesia.
Hari Menuntut Hak Manusia
Oleh kerana terlalu ramai pemimpin dan petugas parti ditahan di bawah ISA, Front Sosialis pun menetapkan 13 Februasi (hari Ahmad Boestamam ditahan) 1965 sebagai Hari Menuntut Hak Manusia dan bersiap sedia untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran secara aman di Kuala Lumpur untuk membantah penindasan Kerajaan Perikatan.
Dua hari sebelum Hari Menuntut Hak Manusia, pihak polis dengan sewenang-wenangnya menafikan hak rakyat untuk berkumpul secara aman. Pihak penganjur mengambil keputusan untuk meneruskan demonstrasi tersebut. Pada hari tersbut, beribu-ribu ahli Front Sosialis dari seluruh negara telah berkumpul di Kuala Lumpur untuk menuntut hak manusia rakyat negara kita.
Mereka telah ditindas dengan kejam sekali. Lebih 200 petugas dan ahli parti telah ditahan dan dibawa ke mahkamah, dan puluhan yang lain, termasuk Hasnol Hadi, Tajuddin Kahar, V David, Tan Kai Hee, Tan Puah Kim telah ditahan di bawah ISA.
Pada bulan Jun tahun yang sama, timbalan setiausaha Parti Buruh merangkap pengerusi negeri Selangor, Dr Rajakumar telah ditahan di bawah ISA, bersama ramai lagi pemimpin dan petugas parti dari Perak dan Pulau Pinang.
Setakat ini, boleh dikatakan kebanyakan pemimpin dari Parti Buruh dan Parti Rakyat telah berada dalam Kem Tahanan Politik. Menurut Tan Kai Hee yang suka bergurau, partinya sudah cukup korum untuk mengadakan mesyuarat CEC (jawatankuasa exco pusat) dalam Kem Tahanan Politik!
Pada tahun 1966, penahanan ISA diteruskan. Lebih 100 pemimpin dan petugas Parti Buruh dan Parti Rakyat telah ditahan. Dalam satu hari sahaja pada 25 Oktober, lebih 50 orang telah ditahan. Selangor, Perak, Pulau Pinang, dan Kedahlah negeri-negeri yang tahanan politik ISAnya paling ramai.
Tahun 1967 menyaksikan senario politik yang amat bergolak. Dalam pertengahan tahun pertama, tercetuslah pemogokan bersejarah di Ladang Bukit Asahan, Melaka dan Ladang Triang, Pahang. Dua puluh pemimpin dan petugas Kesatuan Pekerja-pekerja Ladang Malaya Bersatu, termasuk Karam Singh, Lim Joo dan SN Rajah, telah ditahan di bawah ISA dan pendaftaran kesatuan tersebut juga dibatalkan oleh pihak berkuasa.
Peneroka Telok Gong yang diketuai oleh Hamid Tuah juga melancarkan perjuangan yang gigih untuk membela peneroka yang melaparkan tanah; mereka juga ditindas oleh kerajaan Perikatan yang tidak bersimpati dengan pihak peneroka.
Hartal
Pada bulan November dan Disember di Pulau Pinang, tercetus pula 'Hartal' yang dianjurkan oleh Parti Buruh Pulau Pinang. Sayangnya, perjuangan rakyat menentang susutan nilai mata wang ringgit akibat kejatuhan nilai paun (mata wang Inggeris) telah dieksploitasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan rusuhan perkauman. Lebih 20 orang pemimpin dan petugas parti, termasuk Naib Presiden Parti Buruh dan ahli Parlimen, Lim Kean Siew, telah ditahan di bawah ISA.
Selain daripada tahanan-tahanan tersebut, puluhan lagi pemimpin dan petugas dari seluruh negara telah ditahan di bawah ISA, termasuk Tan Hock Hin (ahli DUN Parti Buruh, Pulau Pinang), CC Yong (setiausaha Parti Rakyat Johor, ahli Majlis Perbandaran Johor Baru) dan Goh Wee Siong (ahli Majlis Perbandaran Kluang).
Kejadian penangkapan diteruskan pada tahun 1968. Hampir setiap bulan ada juga orang yang ditangkap. Pada 2 Mei, presiden Parti Buruh Xu Qi Zhen telah ditahan. Beliau ialah seorang lagi presiden Parti Buruh yang ditahan selepas Ishak Mohamad (Pak Sako) .
Pada Jun 1968, pemogokan pekerja ladang nenas Chuan Seng telah ditindas dengan penangkapan ratusan pemimpin, petugas dan pemogok ladang itu, dan ramai yang ditahan di bawah ISA.
Pada Ogos 1968, Hu Han Kong (pengerusi Parti Buruh Selangor dan ahli DUN) dan Tan Siew Eng (Ketua Wanita Parti Buruh) telah ditahan di bawah ISA kerana memimpin kempen menyelamatkan 11 orang tahanan yang terlibat dalam operasi bersenjata oleh tentera Indonesia ke atas Malaysia dari digantung.
Pada 9-14 November 1968, penangkapan beramai-ramai telah dilancarkan dan 140 orang telah ditahan. Antara lain, dari negeri Johor (54 orang), Selangor (33), Pulau Pinang (20) dan Melaka (10). Kebanyakan mereka yang ditahan ialah petugas Parti Buruh dan Parti Rakyat; yang lain termasuk lima orang daripada kesatuan pekerja, enam graduan Universiti Nanyang, dan 19 pelajar.
Dipukul hingga mati
Oleh kerana dalam beberapa tahun ini, beratus-ratus pemimpin dan petugas parti-parti politik, kesatuan pekerja, pelajar dan sebagainya telah ditahan, dan gerakan-gerakan rakyat dalam pelbagai bidang sering ditindas oleh kekerasan polis dengan kejam sekali, rakyat terpaksa melancarkan perjuangan massa di jalanraya.
Menurut statistik yang didedahkan oleh Kertas Putih Kerajaan yang disiarkan pada November 1968, dari 1966 hingga 1968 pihak-pihak yang berkenaan telah mengadakan 250 demonstrasi jalanan!
Peunjuk perasaan sering diserang oleh FRU dengan kejam sekali. Orang yang ditahan tidak terbilang banyaknya. Ramai juga yang cedera dan beberapa orang telah korban dalam perjuangan.
Antaranya, Tang Pao Kuang telah dipukul hingga mati pada November 1965 di Perak, Wang Chong dari Ampang, Selangor telah ditembak mati dalam demonstrasi anti pelawatan Presiden Lyndon B Johnson dari Amerika Syarikat pada Oktober 1966, dan Chu Kui Hua dari Pulau Pinang telah mengalami cedera tembakan sehingga lumpuh pada Julai 1967 — dia ditembak hanya kerana menulis poster bantahan. Ketiga-tiga yang mati dan cedera parah tersebut ialah ahli Parti Buruh.
Setakat ini, lapisan pimpinan Parti Buruh dan Parti Rakyat telahpun ditumpaskan. Dalam CEC Parti Buruh yang terdiri daripada 19 orang, hanya empat yang masih bebas dan aktif. Kebanyakan pemimpin dan petugas negeri juga dalam tahanan atau terpaksa melarikan diri untuk mengelakkan penahanan. Malah beberapa bahagian dan cawangan telah diharamkan oleh pihak berkuasa. Pendek kata, Parti Buruh sebenarnya tidak dapat berfungsi lagi!
Dalam keadaan demikian, pilihanraya umum 1969 tentu tidak bermakna lagi bagi mereka. Oleh itu, dalam penghujung tahun 1968, Parti Buruh telah mengambil keputusan untuk memulaukan pilihanraya umum 1969, dan menjelang pilihanraya, ahli Parlimen, ahli DUN dan ahli Majlis Tempatan Parti Buruh dan Parti Rakyat telah diarah untuk meletak jawatan sebagai bantahan kepada kematian demokrasi di negara kita.
13 Mei
Pada 5 Mei 1969, ahli Parti Buruh Cawangan Kepong, Lim Soon Seng, telah ditembak mati ketika dia sedang menulis poster menyeru rakyat memulau pilihanraya umum yang akan datang. Dalam perarakan pengebumian, dianggarkan 100 ribu orang telah menyertai pasukan perarakan dengan berbagai poster yang mengutuk kezaliman Perikatan. Perarakan dan pengebumian telah dilakukan secara aman dan berdisiplin tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Penindasan dan kezaliman Perikatan telah menimbulkan kemarahan rakyat. Sungguhpun Perikatan masih memenangi pilihanraya umum tersebut, tetapi ia telah hilang majoriti dua pertiga. Ia kehilangan kuasa pemerintahan Kelantan dan Pulau Pinang, dan kuasa pemerintahan di Perak dan Selangor juga tergugat kerana Perikatan tidak mempunyai kerusi majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri.
Dalam latar belakang demikian, tercetuslah kejadian 13 Mei. Darurat diisytiharkan sekali lagi, dan Parlimen pun digantungkan. Namun demikian, ISA terus digunakan untuk menahan pemimpin dan petugas pembangkang. Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang dan ramai lagi petugas Parti Buruh dan Parti Rakyat telah ditahan atau diburu.
Dari overview yang ringkas ini, ternyatalah dalam tahun 1960-an, Perikatan telah berjaya menggunakan ISA untuk menumpaskan musuh politik utamanya agar kuasa pemerintahannya yang kian goyah itu dapat dikukuhkan! Selepas kejadian 13 Mei, Barisan Nasional terus menggunakan ISA untuk tujuan yang sama hingga sekarang.
Demikianlah halnya kenapa BN bermatian-matian tidak mahu melepaskan ISA yang terkutuk itu, kerana tanpa ISA, BN padahal tidak berdaya untuk menghadapi pembangkang dalam saingan politik secara adil!
Rujukan:
- Koh Swe Yong. Forty years under ISA . 1999.
LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.
