Beberapa ketika sebelum Harakah ditukar syarat permitnya pada Februari 2000, sebuah tulisan Hishamuddin Rais disunting dengan cara yang tidak beretika. Perkataan "Karl Marx" di awal tulisan itu dipadam dan diganti dengan perkataan "pemikir."
Suntingan itu tidak dimaklumkan kepada penerbit asal dan juga tidak mendapat persetujuan penulisnya. Tetapi isu pokok di sini, bukan soal keizinan penulis atau penerbit asal, tetapi kenapa nama pemikir besar dunia itu dipotong? Apa justifikasinya dan bagaimana justifikasi suntingan itu mencerminkan sejenis sikap tertentu dalam kelompok Islam atau Harakah ?
Tanpa membabitkan PAS atau Harakah umumnya, saya bimbang suntingan itu seolah-olah mengkuduskan organ rasmi parti Islam itu lebih daripada al-Quran! Sekurang-kurangnya dalam kitab suci itu, disebut juga watak-watak jahat dan keji sebagai musuh nabi-nabi dan orang beriman. Namrud, Firaun, Haman dan syaitan tidak pula disunting.
Ironinya, tulisan Hishamuddin itu mengupas dasar PAS di Terengganu dan Kelantan dengan nada memuji, bukan negatif. "Justeru kita harus melihat dasar kerja lima hari seminggu yang dijalankan oleh kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu adalah dasar buruh yang positif," tulis bekas pemimpin pelajar 1974 itu dalam 'Dasar buruh PAS progresif', asalnya diterbitkan dalam ruangannya 'Dotmai' di akhbar web Malaysiakini.com .
Ia tidak kena mengena langsung dengan Marxisme atau komunisme. Tulisan itu mengupas soal berburuh dengan hak pekerja, santai dan keburukan dasar kerajaan Barisan Nasional yang tidak menguntungkan pekerja.
"Ia (dasar PAS di dua negeri itu) adalah satu dasar sosial yang baik untuk kebajikan kaum buruh dan pekerja. Ini bermakna kaum buruh dan pekerja mempunyai masa yang lebih banyak untuk bersama keluarga, anak, suami, isteri dan kekasih," tulisnya lagi, mengupas pelaksanaan manifesto PAS yang memberikan cuti bekerja selama dua hari, Jumaat dan Sabtu, selepas kemenangan dalam pilihanraya umum 1999.
Membela Harakah
Jarang penulis ini, kini dipenjarakan di kem Kamunting, ingin memihak tidak tentu arah kepada pembangkang atau PAS. Dan jarang pula Harakah ingin menerbitkan tulisan-tulisan aktivis reformasi yang penuh warna itu. Hishamuddin akan mengkritik siapa sahaja dan apa sahaja yang difikirnya wajar, termasuk pembangkang atau reformasi.
Ironinya lagi, selepas suntingan yang hodoh itu, Hishamuddin dihadapkan pula ke mahkamah kerana membela Harakah bulan berikutnya. Beliau, bersama kumpulan reformasi dan pemimpin pembangkang, mengadakan perhimpunan di Masjid Negara sebagai membantah tindakan kerajaan menarik balik permit terbit lapan kali sebulan kepada dua kali sahaja, seperti hari ini.
Sebab itu, saya berasa agak "cemas bercampur rimas" apabila Hishamuddin, dalam notanya dari penjara, mengajak kita "membidani kelahiran masyarakat sivil".
"Anak-anak muda akan terus mengumpul pengalaman. Anak-anak muda telah membuat pilihan agar mereka dapat membidani kelahiran masyarakat sivil yang demokratik," katanya, teks itu dibacakan oleh seorang anak saudaranya, ketika pelancaran buku
Pilihanraya atau pilihan jalanraya
) minggu lepas.
Buku yang menghimpunkan tulisan-tulisan Hishamuddin di akhbar web itu turut memuatkan teks asal yang telah disunting oleh Harakah (lihat halaman 22-24 buku ini).
Kecemasan dan kerimasan saya itu datangnya daripada sikap masyarakat kita yang fobia, fanatik, anti-intelektual serta tidak demokratik dalam menangani perbezaan idea. Sentiasa ada mereka yang berkuasa, sama ada politik atau agama, tidak sabar berhujah dengan ilmu dan akal; lalu menggunakan tekanan bersifat politik untuk memusnahkan pertentangan pendapat.
Agak ganjil juga aktivis reformasi ini. Hishamuddin melaungkan seruan itu ketika beliau terpenjara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya bimbang apabila beliau dibebaskan dari kem Kamunting, beliau masuk pula ke penjara masyarakat kita yang tidak toleran ini.
Kulit buku Goenawan Mohamad
Nasib Goenawan Mohamad, penulis tersohor Indonesia dan penggerak utama majalah Tempo , juga sama. Kulit bukunya Setelah revolusi tak ada lagi yang terdapat foto kecil sabit (lambang komunis) dan kepala Marx ditampal dengan gambar lain.
Sedangkan buku itu tidak kena mengena dengan Marx, Marxisme atau komunisme. Buku itu tentang idea. Peminat Goenawan di sini tentu tahu cara penulis itu mengupas idea-ideanya. Goenawan adalah pencatat, seperti umumnya wartawan, yang tidak berideologi apa-apa (setakat yang saya tahu) kecuali menuntut ruang berfikir yang kritis dan madani.
Judul buku itu diambil daripada tulisannya "Marxisme, postmodernisme, ketika tak ada lagi revolusi" (halaman 153-176). Ia membahaskan kemelut alam fikir aliran Marxisme dan pascamodenisme pada tahun 1993, ketika tulisan itu dihasilkan. Wajarlah kulit depan buku Goenawan itu memuatkan foto Karl Marx dan sabit serta tukul.
Tetapi apabila buku ini sampai di Malaysia, foto sedemikian tidak ada lagi. Reka bentuk asal itu telah diganti dengan foto objek manusia (warna hitam) yang sedang mendepakan tangan, sementara di depannya terbentang luas lapangan bergaris-garis ke kaki langit (yang gelap).
Reka bentuk kulit asal direka boleh Gilang Rahadian dan Dede Riana.
(Saya tidak pasti bilakah penerbit atau pengedar itu membuangnya. Dengan kata lain, apakah wujud dua edisi kulit buku itu, satu untuk edaran di negara ini dan satu lagi untuk Indonesia. Tetapi saya tidak fikir penerbit asal di Jakarta, Alvabet, membuang imej komunisme itu. Tetapi jika itu memang niat mereka, tindakan memadamkan imej Marx ini masih menarik kita fikirkan.)
Penyunting fobia, fanatik
Suntingan Harakah itu dan kulit buku Goenawan itu, pada hemat saya, membayangkan kecetekan kita yang sangat ketara terhadap debat ideologi serta falsafah yang dibawa oleh Marx dan mazhab Marxisme.
Karl Marx ialah tokoh besar dunia, sekurang-kurangnya dalam abad ke-20 lalu. Karya-karyanya diterjemahkan kepada lebih 20 bahasa dan lebih 300 pengarang terkenal daripada pelbagai bidang ilmu mengupas sudut-sudut pandangannya, sama ada bersetuju atau tidak.
Banyak buku teks politik, ekonomi, falsafah atau umumnya sains sosial di kampus-kampus tempatan menyebut namanya. Malah, buku-buku tentang Islam juga memuatkan nama itu. Seorang pemikir yang cukup besar pengaruhnya di kalangan sarjana dan pengikut politik kiri sepanjang abad ke-20 tiba-tiba dengan mudah diremeh (atau diharamkan) oleh penyunting yang fobia serta fanatik.
Sungguh komedi dan absurd (meminjam istilah Hishamuddin).
Kecuaian seorang dua dalam sidang pengarang organ rasmi PAS itu mudah sahaja mencemarkan sebuah parti besar lagi berpengaruh itu. Tetapi jika suntingan ini datangnya daripada suatu akidah parti, nampaknya Hishamuddin Rais harus berfikir semula tentang membidani idea-ideanya: bersenggama lagi belum, apatah membidaninya!
FATHI ARIS OMAR, pernah bertugas bersama Malaysiakini.com, kini wartawan bebas. 'Tiada Noktah' cuba mengungkapkan isu-isu yang saling bergabung jalin antara media, wartawan, buku, penerbitan, teknologi maklumat dan sosio-politik negara kita. Penulis boleh dihubungi di [email protected]
