Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
Columns

Setelah membaca ruangan 'Bisik-bisik Mingguan" ( Mingguan Malaysia 4 Ogos 2002) yang berjudul 'Malaysia bukan China, bukan Taiwan', saya terpanggil untuk menulis ulasan ini untuk berbincang dengan penulis Awang Sulung.

Ulasan ini, selain daripada dihantar kepada Utusan Malaysia , ia juga dihantar kepada malaysiakini

Andainya ia tidak disiarkan oleh Utusan Malaysia (seperti nasib rencana saya 'Melayani Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) dengan minda terbuka' yang dikirimkan pada Mac tahun ini), sekurang-kurangnya ia akan dimuat dalam kolum saya di malaysiakini .

Bagaimanapun, saya yakin Awang Sulung tentu menggalakkan dialog yang membina, terutamanya mengenai isu yang agak kontroversil seperti pengajaran/pembelajaran matapelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Saya akan berterus-terang sepertimana Awang Sulung, tetapi tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak, atau berniat mengeruhkan lagi keadaan yang sudah dikeruhkan. Saya hanya ingin memaparkan pandangan saya dari perspektif yang berlainan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Pepatah ini sudah menjadi senjata stereotaip bagi penulis atau pembahas bumiputera ketika bertikai dengan bukan-bumiputera. Taktik mempersoalkan kesetiaan pihak lawan terhadap bumi (negara) ini, bertujuan untuk mematikan langkah lawan sebelum perbahasan bermula.

Kaum pendatang

Di negara ini, kesetiaan seolah-olah dimonopoli oleh bumiputera, Oleh itu, kesetiaan rakyat bukan bumiputera yang dianggap sebagai 'kaum asing/kaum pendatang' itu boleh dipersoalkan oleh mana-mana bumiputera pada bila-bila masa sahaja!

Namun sejarah negara kita membuktikan bahawa kesetiaan/patriotisme bukan sifat semulajadi yang boleh dimonopoli oleh mana-mana kaum. Umpamanya, dalam perjuangan anti-Jepun dan anti-British dahulu, kaum Cina dengan gigih bersama kaum lain, turut sama membela bumi ini dengan darah dan nyawa mereka. Pada masa yang sama, tali barut yang mengkhianati rakyat dan bumi ini, juga melampaui batasan kaum.

Dalam isu yang dipertikaikan, Awang Sulung menyokong penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik. Yang menentang pula mahukan bahasa ibunda masing-masing - bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil - terus digunakan sebagai bahasa pengantar seperti sediakala.

Bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil adalah bahasa utama rakyat negara ini, dengan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara ini. Manakala bahasa Inggeris pula adalah bahasa asing/bahasa antarabangsa.

Oleh itu, kalau mengikut kayu ukur pepatah bumi-langit, bukankah bahasa Melayu, bahasa Cina dan Bahasa Tamil lebih layak dijunjung berbanding dengan bahasa Inggeris? Tampaknya, Awang Sulung sangat marah kerana "tidak faham kenapa masih ada yang bermati-matian hendak mempertahankan sifat keCinaan di sekolah".

Jika tidak begitu emosional, boleh dianggap wajar juga sekiranya Sekolah Cina (SJKC) mahu mempertahankan ciri keCinaannya , seumpama Sekolah Kebangsaan dengan keMelayuannya dan SJKT dengan keIndiaannya.

Tidak bermaruah

Jika kita menerima pendidikan ibunda sebagai hak asasi setiap kaum, tidak kira ia kaum majoriti atau minoriti; jika kita menerima kepelbagaian kebudayaan sebagai satu aset, bukan liabiliti masyarakat kita; jika kita menerima dasar kesetaraan kaum, bukan dasar bumiputeraisme yang mendiskriminasikan kaum bukan-bumiputera; kenapa tiada sikap bertoleransi bila kaum Cina ingin mempertahankan 'keCinaan'nya, sesuatu tindakan yang wajar sekali sepertimana kaum Melayu cuba mempertahankan keMelayuannya?

Cina yang tidak menghargai keCinaannya, sepertimana Melayu yang tidak menghargai keMelayuannya, adalah kaum yang tidak bermaruah dan bertulang belakang.

Sesuatu negara dengan kaum-kaum yang tidak bermaruah dan bertulang belakang, tentu tidak dapat menghadapi cabaran globalisasi yang merupakan dominasi kuasa besar terhadap negara kecil, termasuk dominasi bahasa dan budaya.

Negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, China dan Korea Selatan - kerana menghargai bahasa ibunda masing-masing - tidak menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik. Namun mereka tetap menjadi negara maju yang berpengaruh.

Kata Awang Sulung, Melayu yang 'berisi' tidak takut sifat kemelayuannya terhakis. Begitu jugalah dengan Cina yang 'berisi'. Mengikut logik ini, maka orang Perancis, Jerman, Jepun, China dan Korea Selatan, tidak 'berisi' kerana terlalu menghargai bangsa ibunda masing-masing!

Oleh itu, memakai bahasa Inggeris untuk menggantikan bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil dalam pengajaran/pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah, mempunyai implikasi yang lebih teruk lagi.

Pesan Awang Sulung

Ia bermakna penafian kedudukan ketiga-tiga bahasa di negara kita itu sebagai bahasa moden, sehingga ianya tidak layak digunakan dalam pengajaran/pembelajaran Sains dan Matematik, walaupun di peringkat sekolah rendah sekalipun!

Jika kita warganegara yang bermaruah, dan "hidup sebagai rakyat Malaysia yang bersemangat Malaysia" seperti pesan Awang Sulung, hati kita tentu terguris memandangkan bahasa rakyat kita diinjak-injak dan dihina.

Awang Sulung mengingatkan kaum Cina bahawa Malaysia bukan Republik Rakyat China, bukan Taiwan (mungkin boleh ditambah bahawa Malaysia juga bukan India). Ini memang tidak dapat dinafikan. Namun beliau juga harus diingatkan bahawa Malaysia juga bukan British, bukan Amerika Syarikat!

Tanya Awang Sulung:"Terdapatkah kajian yang menunjukkan negara yang mengguna bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik tidak mencapai tahap pencapaian yang tinggi?"

Dalam rencana saya (Uji sebelum guna bahasa pengantar Inggeris, 20 Mei 2002 di malaysiakini ), telah mengutarakan beberapa laporan kajian mengenainya. Di sini memadailah untuk saya memetik dua contoh saja.

Yang pertama, pada tahun 1978, berasaskan kepada analisis pencapaian 23 sekolah Cina yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar matapelajaran Sains, maka Laporan Kajian Pendidikan Goh Keng Swee Singapura telah merumuskan bahawa tiada kemajuan dalam tahap penguasaan bahasa Inggeris, manakala pencapaian matapelajaran Sains telah merosot!

Pencapaian merosot

Yang kedua, pengalaman pahit Dong Jiao Zong dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik di Sekolah Menengah Cina Swasta, terutamanya pada tahun 60-an hingga tahun 70-an.

Matlamat mereka juga ialah untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris. Malangnya, pencapaian akademik pelajar mereka dalam matapelajaran Sains dan Matematik, terutamanya biologi, fizik dan kimia terus merosot, manakala tahap Inggeris mereka juga tidak meningkat.

Sekolah-sekolah ini - terutama di kawasan desa, di mana persekitaran untuk mempelajari bahasa Inggeris amat tidak menguntungkan - hampir terpaksa ditutup kerana kemerosotan pencapaian akademik dan kekurangan pelajar.

Hanya setelah mereka kembali menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, barulah tahap akademiknya meningkat dan sekolah-sekolah berkenaan berjaya mencapai perkembangan yang menggalakkan.

Ini bukan kerana bahasa Cina (Mandarin) lebih unggul sebagai bahasa pengantar, tetapi kerana sebagai bahasa ibunda ( bahasa Melayu untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dan bahasa Tamil untuk SJKT ), ia lebih mudah difahami pelajar sekolah rendah berbanding bahasa Inggeris yang begitu asing bagi mereka.

Sanggup berkorban

Jika pihak berkuasa terus berdegil hendak melaksanakannya mulai tahun depan, maka pelajar tingkatan satu SJKC dan SJKT, terpaksa menggunakan bahasa Inggeris yang langsung mereka tidak faham untuk mempelajari Sains -- satu lagi subjek baru bagi mereka. Tidakkah perbuatan seperti ini melampau sangat?

Pada masa yang sama, mereka juga mempelajari bahasa ibunda (bahasa Cina atau Tamil) dan bahasa Melayu.

Berdasarkan analisis tersebut, maka penentangan mereka bukanlah kerana prejudis, angkuh atau fanatik sesuatu kaum sepertimana yang disalahanggap oleh sesetengah penganalisis, termasuk Awang Sulung dan Dr. Jamilah Mustafa (Wawancara Mingguan Malaysia , 4 Ogos 2002).

Hairan sekali apabila Dr Jamilah Mustafa sanggup bertanya: "Kalau orang Melayu sanggup berkorban untuk membenarkan bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan, saya tidak nampak mengapa orang Cina tidak dapat berkorban di SJKC."

Soalan saya pula ialah: Kenapa pelajar Melayu harus dan sanggup dikorbankan? Kenapa Dr Jamilah Mustafa sampai hati mempertahankan suatu dasar pendidikan yang akan mengorbankan kepentingan pelajar Melayu? Dan Kenapa pula pelajar Cina dan India perlu dikorbankan bersama? Adakah kesemua ini masuk akal?


LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS