Most Read
Most Commented
Read more like this

Penulis buku Inside Al-Qaeda: Global Network of Terror , Rohan Gunaratna telah menyerlahkan kebodohan, kegopohan dan sikap emosional para pemimpin Barisan Nasional (BN) bila melenting menuduhnya sebagai "kaki ampu" dan "bodoh".

Tanpa berfikir panjang, tanpa membaca isi kandungan buku itu, para pemimpin BN termasuk Timbalan Pengerusi dan Pengerusinya memarahi penulis berasal dari Sri Lanka itu.

Dengan berdasarkan laporan pasukan pemantau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang memetik kandungan buku itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan sidang akhbar membidas Rohan yang dituduh sebagai bodoh dan tidak bertanggungjawab.

Paling mengejutkan, wira Dunia Ketiga yang dianggap paling berani dan bijak, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang kembali dari lawatan ke India, Pakistan dan Arab Saudi turut melatah menuduh Rohan kaki ampu.

Kononnya Rohan mahu mengampu Barat dan Amerika tetapi beberapa hari kemudian Dr Mahathir menelan semula ludahnya bila beliau mengesahkan Rohan tidak menuduhkan BN mempunyai hubungan dengan al-Qaeda sebalik hanya mengaitkan BN dengan Moro Islamic Liberation Front (MILF).

Beliau mengakui hanya laporan pasukan pemantau PBB sahaja yang membuat kesimpulan itu. Dr Mahathir tidak meminta maaf pada Rohan dan ini adalah suatu yang amat memalukan kerana segala 'gempak' yang ditimbulkan oleh para pemimpin BN itu bukan sekadar satu kesilapan tetapi satu kebodohan.

Budaya BN

Tindakan tanpa siasat terlebih dahulu ini nampaknya sudah membudaya dalam BN dan kerajaan. Semuanya bertindak mengikut emosi dan sentimen. Ini amat memalukan rakyat dan negara, lebih-lebih lagi memandangkan bahawa Malaysia dianggap sebagai negara model di kalangan negara Dunia Ketiga.

Tindakan menuduh Rohan sebagai kaki ampu ialah suatu perbuatan yang tidak mencermin diri sendiri. Kalau benar penulis itu mengampu Amerika dan Barat, apa kurangnya kita? Mungkin kita lebih daripada Rohan kerana sanggup melakukan pelbagai tindakan termasuk menuduh dan menahan rakyat tanpa bukti atas 'kesalahan' menjadi militan Islam, menubuhkan Kumpulan Mujahidin Islam (KMM) dan mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dan Taliban.

Bila kita menuduh rakyat sendiri dengan pelbagai label ekstremis, fanatik dan taksub, ia menjadi suatu yang halal dan bijaksana tetapi bila PBB atau Rohan menuduh BN ada kaitan dengan rangkaian pengganas, semua orang melenting. Mengapa ada double standard ?

Tidak cukup dengan itu kita tunduk pada Amerika bila dengan mudahnya menyerah Mohamad Bilal kepada FBI untuk diterbangkan ke Amerika. Kita juga membenarkan Kuala Lumpur dijadikan pusat anti-keganasan di Asia Tenggara. Tidakkah semua ini menunjukkan kerajaan BN sebenarnya juga 'kaki ampu'?

Kerajaan BN tunduk dan mengampu Amerika. Mengapa dan untuk apa? Adakah kita telah ditekan dan digertak. Apa keuntungannya untuk rakyat negara ini. Adakah Malaysia dan Asia Tenggara akan menjadi lebih aman dengan adanya pusat latihan anti keganasan itu di sini?

Bagi rakyat yang rasional dan berjiwa merdeka, kalaupun langkah ini bukannya tanda ketakutan kerajaan BN pada ugutan atau tekanan Amerika, ia adalah satu langkah untuk mengampu Amerika dan untuk menunjukkan kepada 'Uncle Sam' bahawa Malaysia 'sekapal' dengan mereka dalam menangani isu keganasan.

Penjajahan Amerika

Diharapkan tindakan kita tunduk kepada desakan Amerika ini tidak menjadi langkah pertama kepada 'penjajahan' Amerika di negara ini. 'Uncle Sam' sudah mula mencengkam kukunya di Indonesia ekoran tragedi pengemboman di Bali dan kita harapkan ia tidak berleluasa ke negara ini.

Kalau benar Rohan mengampu Amerika dan Barat dalam bukunya, itu tidak memeranjatkan kerana beliau bukan beragama Islam. Tambahan pula beliau seorang individu yang bekerja dengan agensi yang dibiayai oleh dana Amerika.

Jadi wajarlah beliau mengampu 'idola' atau 'majikan'nya, tetapi apabila sebuah 'kerajaan Islam' seperti Malaysia melakukan perkara yang sama, ia suatu yang amat memalukan dan tidak wajar.

Seperkara lagi isu Rohan ini telah menyerlahkan kelalaian dan betapa kurangnya minat membaca di kalangan para pemimpin BN dan pihak berkuasa yang memantau bahan penerbitan di negara ini. Buku karya Rohan itu sudah lama berada di kedai-kedai buku di negara ini. Ini sudah lama menjadi bestseller tetapi Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak tahu apa isi kandungannya. Ia hanya menjadi suatu yang sensitif bila PBB mengeluarkan laporannya.

Sepatutnya jika benar kandungan buku itu memalukan negara, sudah lama KDN bertindak. Malangnya pihak berkuasa tidak ambil peduli. Mungkinkah para pegawai KDN sendiri tidak menyedari kewujudan buku ini di pasaran, jauh sekali untuk mengetahui apa isi kandungannya.

Kalau begitulah hakikatnya, eloklah diperkemaskan bahagian pemantauan dan penerbitan permit dan buku di KDN itu. Perbetulkan dulu kelemahan, kesilapan dan kebodohan sendiri sebelum menuding jari menyalahkan orang lain!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS