Aduhaiii..rupa-rupa ramai orang kenamaan tidak membayar saman trafik yang bertimbun-timbun banyaknya. Mereka ini adalah orang politik termasuk Menteri Besar dan Ketua Menteri. Mereka adalah orang yang berdegar-degar bercakap mengenai undang-undang dan disiplin untuk mematuhinya. Malangnya mereka sendiri cakap tidak serupa bikin!

Yang peliknya dan amat memalukan ialah selama ini mereka terlepas atau senjaga "tidak disentuh" oleh pihak berkuasa walapun sudah beberapa kali operasi mencari dan menangkap orang yang tidak membayar saman dilakukan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam mengumpul 26 saman bernilai RM2,990. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali disaman 11 kali dan seorang ahli Exco kerajaan negeri Pulau Pinang menerima saman bernilai RM22,000.

"Saya akan membayar semua sama trafik itu," kata Ali.

"Jumlah semua saman itu RM830. Mungkin ada diskaun kerana saya bayar semua dalam tunai," kata Tajol Rosli pula.

"Ahli Exco itu duduk sahaja dan tidak pemandu yang memandu kereta, jadi beliau tidak sedar kereta itu dipandu laju," kata Tan Cheng Liang, wakil rakyat Barisan Nasional kawasan Jawi, Pulau Pinang ketika mengulas laporan terdapat ahli exco negeri itu yang mempunyai saman trafik yang banyak.

Tiba-tiba sahaja isu saman trafik VIP muncul. Tidak diketahui apa sebab dan agendanya namun ia jelas menunjukkan kalau tiada pendedahan akhbar dibuat mengenainya, pasti mereka ini akan terus tidur nyenyak di atas timbunan kertas saman mereka.

Undang undang buta

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberikan reaksi yang sangat positif. Beliau menegaskan bahawa semua saman trafik mesti dibayar. Katanya tiada siapa di negara ini yang boleh terlepas daripada undang-undang.

Isu ini sepatutnya amat memalukan pihak polis. Rakyat langsung tidak menyangka dalam keghairahan pihak polis menahan pemandu yang tidak membayar saman sedikit masa dulu, rupa-rupanya ada orang yang terlepas daripada operasi itu.

Rakyat diaibkan, ditahan, digari dan diperlakukan seperti penjenayah semata-mata kerana kesalahan trafik sedangkan ada "VIP" yang suka melanggar peraturan jalanraya lepas bebas.

Orang ramai terpaksa beratur panjang dibalai polis Jalan Bandar Kuala Lumpur untuk melunaskan saman mereka tetapi para VIP itu enak-enak memandu laju. Sepatut pihak berkuasa menjalankan tugas tanpa memilih bulu. Undang-undang itu buta, sepatutnya mereka juga ditahan dan digari sebagaimana rakyat biasa.

Kemunculan beberapa orang Menteri Besar dan Ketua Menteri mengakui kesalahan trafik masing-masing mungkin "titisan air di lautan". Mungkin ada ramai lagi orang politik serta VIP korporat yang mempunyai senarai saman yang panjang tidak didedahkan. Pihak polis harus bertindak tegas ke atas mereka. Mungkin operasi khas untuk mencari dan menahan VIP yang ingkar peraturan trafik ini perlu dilakukan segera.

Memang mudah bagi "VIP" menjawab: "Saya tidak tahu kereta di saman, ini bukan kereta saya, tapi kereta kerajaan." Jawapan itu jelas menunjukkan sikap bongkak dan tidak bertanggung jawab mereka. Sepatutnya selaku pemimpin mereka menunjukkan contoh yang baik, bukannya culas dan merasakan diri mereka mengatasi undang-undang.

Isu had laju

Pihak polis pula perlu lebih professional dalam menjalankan tugas. Slogan "mesra, cepat dan betul" jangan sekadar tinggal slogan sahaja. Tiada siapa mengatasi undang-undang di negara ini.

Seperkara lagi, di tengah-tengah kehangatan isu ini ada "VIP" yang berani mencadangkan supaya had laju di lebuhraya dinaikkan daripada 110 kilometer kepada 160 kilometer bagi kereta mewah. Beliau mencari jalan mudah untuk memastikan dirinya tidak disaman pada masa depan. Apa istimewa sangatkah kereta mewah? Kebalkah kereta mewah daripada kemalangan maut?

Tolonglah jangan terlalu mementingksan diri sendiri sahaja kerana kemalangan dan maut tidak mengenal mangsa. Apa perasaan anda jika kereta mewah anda yang laju bertembung dengan kereta murah yang bergerak perlahan? Siapa yang teraniya? Janganlah mementingkan diri sendiri sahaja!

Kita perlu ingat sama ada lebuhraya, jalanraya atau jalan kampung, semuanya bukan litar F1. Kalau benar-benar mahu memandu laju, litar Sepang yang jarang-jarang digunakan itu boleh dimenfaatkan.

Walau apapun, moral dari isu saman VIP ini ialah bila menguatkuasakan undang-undang, janganlah pilih bulu atau pilih kasih!