Kita belum mendengar kehadiran gerakan 'ustaz independen' tetapi yang dituduh pro-pembangkang memang selalu didengar. Tidak ada ungkapan 'ahli akademik bebas' walau ada pun istilah, dan agak popular, ialah 'pendakwah bebas' atau 'penulis bebas'.

Jauh sekali istilah atau kelompok 'budayawan independen' atau 'artis independen'. Walau ada ungkapan intelektual awam namun, ia masih tidak popular dalam bahasa pertuturan kita sehari-hari. Istilah 'media independen' nampaknya lebih popular, dan berjaya menangkap wacana pro dan kontra, berbanding juzuk-juzuk lain intelektual awam.

Tetapi ada kelompok yang sedar perlunya ruang tersendiri yang agak mandiri untuk mengeluarkan pendapat dengan lebih bebas dari campur tangan kuasa politik negara atau tersepit di celah persaingan parti kerajaan lawan parti pembangkang.

Hari ini kelompok intelektual awam ustaz, ahli akademik, wartawan, seniman, sasterawan, aktivis sosial dan budayawan ditelan bulat-bulat oleh politik. Ruang berkarya (bersuara), berorganisasi dan malah ruang 'cari makan' dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.

Orang politik menjadi satu-satunya jaguh dan sangat mendominasi: perlu dipersembahkan kepada mereka versi-versi agama, seni, budaya, sastera, media dan kajian akademik yang menghiburkan mereka.

Tidak ada pergelutan terbuka, kecuali di kalangan segelintir wartawan, akibat tekanan politik yang mentradisi begitu lama dan juga kerana 'kemiskinan imaginasi' di kalangan intelektual awam itu sendiri.

Gambaran buruk

Satu contoh kemiskinan imaginasi, beberapa aktivis seni budaya yang tidak menyokong kerajaan akhirnya menyertai atau bekerja dengan pembangkang. Sampai di satu peringkat, mereka melutut di kaki kuasa pembangkang (misalnya di Kelantan atau Markaz Tarbiyyah PAS) semata-mata untuk membaca sajak atau mempersembahkan teater!

Langkah kumpulan kecil ini antara tokohnya penyajak Dinsman memberikan gambaran buruk serta serong (walau tidak salah) penyertaan kelompok intelektual awam ini, sama ada untuk mendapatkan kebebasan demokrasi serta mengkritik kerajaan dalam konteks hubungan intelektual awam-kuasa negara bagi jangka panjang.

Atau, semata-mata peralihan ruang cari makan dan political patronage baru daripada kerajaan kepada pembangkang?

Kegiatan pembangkang hari ini, sejak era reformasi 1998, populariti serta penerimaan masyarakat, kegiatan ekonominya dan kumpulan penyokongnya yang besar boleh memberikan semua asas untuk itu: sama ada pengiktirafan, dana, sistem sokongan dan ruang persembahan fizikal (dewan atau pentas).

Ia membolehkan wujud proses peralihan, atau perpindahan sokongan serta idea politik, daripada kerajaan kepada pembangkang. Khususnya pakatan pembangkang, berbeza sebelum ini, memasukkan idea-idea yang lebih besar (misalnya keadilan sosial, hak asasi dan demokrasi) dan juga disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat (gaya dan nilai hidupnya lebih rencam).

Gejala ini, Anwar Ibrahim dan krisis politik 1998, membuka ruang penyertaan yang lebih besar, hampir mewakili struktur serta strata sebenar rakyat Malaysia sebagaimana diacuankan oleh Barisan Nasional. Ini berbeza dengan isu, agenda, gaya hidup 'Islam' yang kaku seperti dibawa PAS.

Kehidupan baru

Sebelum ini, pembangkang tidak mempunyai daya penarik kepada golongan seniman budayawan. Mereka tidak dapat mempraktiskan kebiasaannya dalam ruang kerjaya dan ruang hidup lazim, kecuali meleburkan gaya hidup, dan juga cara fikir, seperti seorang aktivis politik pembangkang atau ustaz. Pendek kata penyertaan bersama PAS bermakna 'kehidupan baru' yang lebih 'insaf dan Islamik'.

Tetapi era reformasi tidak bersifat begini. Ia terbuka, longgar dan poros. Hishamuddin Rais dan teman-teman mudanya dengan gaya hidup yang 'sekular' boleh mempersembahkan teater Tok Ampoo, misalnya. Aktivis muda reformasi yang berambut panjang kerap bangun berdiri membaca sajak dan ada waktunya muncul dalam teater ringkas agit-prop (agitasi-propaganda).

Saya tidak senang gejala ini berpanjangan. Ia mematikan ruang awam untuk kelahiran kelompok independen demi kesuburan masyarakat madani yang belum kita kenali itu. Hubungan kelompok ini dengan kuasa negara selalunya bersifat 'hegemonik'.

Kemunculan hubungan yang lebih rapat kelompok Dinsman dengan PAS, pada hemat saya, satu lagi bentuk hubungan hegemonik, kalau pun mereka tidak berminat menjadi ahli politik. Mereka tidak dapat keluar dari satu sistem pergantungan politik. Kalau tidak ke kanan, terpaksa meraih simpati ke kiri (pembangkang).

Selalunya, sebelum ini, kelompok ini rapat atau bergerak dalam sistem berkerajaan. Persatuan Penulis Nasional (Pena) misalnya dengan Barisan Nasional.

Mereka cukup gembira dengan sebidang tanah dan sebuah rumah buruk berhampiran Istana Negara sehingga semua isu dan perkara tidak lebih jauh dari dinding rumah itu dan pagarnya. Ketika menentang penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains baru-baru ini, di sinilah mereka berlubuk.

Percaturan politik

Banyak lagi isu besar negara, yang harus ditangani oleh kelompok intelektual awam ini, harus dibataskan, didiamkan atau diuruskan di peringkat peribadi sahaja (seolah-olah isu di atas katil) kerana ingin menjaga ruang fizikal anugerah kuasa negara itu. Apa kurangnya kelompok Dinsman ini terhadap kuasa pembangkang jika hubungan ini masih hegemonik, tidak independen?

Memang tidak ada idea di kalangan sasterawan-wartawan yang berjuang untuk kemerdekaan negara ini, misalnya A Samad Ismail atau A Samad Said, untuk menuntut ruang independen ini.

Selepas kemerdekaan, mereka tersedut dalam percaturan politik negara atau berdiam diri (terpinggir). Mereka menjadi sebahagian kelas establishment sebagaimana Lekra (Lembaga Kesenian Rakyat) menikam Manikebu (Manifesto Kebudayaan) demi mempertahankan semangat Soekarnoisme dalam 1960-an pemerintahan presiden pertama Indonesia itu.

Banyak negara mengalami proses penyedutan intelektual ini ke dalam sfera politik establishment apabila pembangkang menguasai negara. Mereka berperanan sama sahaja dengan kelompok yang mereka gantikan.

Sesetengahnya dikooptasi seperti Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), sampai sukar mengkritik kerajaan berhubung penutupan penerbitan bebas seperti Eksklusif atau Detik .

Hubungan kelompok intelektual awam yang melepaskan diri daripada BN kepada Barisan Alternatif (BA) ini dibimbangkan sangat akan mengulangi kecelakaan ini, akibat tiada ruang independen. Akan ada mereka yang rapat dengan BA hari ini, apabila kepentingan politik bercanggah, untuk berlagak seperti Pena dan NUJ, pasti! Oleh itu banyak pula isu-isu baru terabai dan ramai pula mangsa politiknya.

Berkongsi kuasa

Politik BN kuat pengaruhnya, membentuk rangka berfikir, gelagat dan apa yang disebut 'tradisi'. Semua orang khususnya pembangkang dan aktivisnya faham ragam politik hari ini, sama ada jenis halal atau jenis tidak bermoral. Yang penting ialah berkongsi sedikit kuasa, keselesaan hidup dan 'ruang'.

Sampai di satu tahap, kita terlupa amalan demokrasi kita yang 'lebih baik', dari beberapa sisi, beberapa dekad silam, sama ada dalam politik berparti, media, usahawan-ahli politik, universiti-negara dan hubungan badan bukan kerajaan (NGO)-negara.

Kita sering mendengar, jika tokoh politik A menguasai kepimpinan negara atau kementerian tertentu, maka orangnya yang mendapat manfaat daripada kenaikan itu. Sementara musuh politiknya pula terpaksa dipinggirkan dengan mendadak, tiada persoalan meritokrasi, profesionalisme atau nilai demokrasi, yang wujud kronisme atau manfaat akibat political patronage .

Kesan ini melimpah ke dalam ruang kelompok intelektual awam itu sendiri, kenaikan pangkat di universiti atau organisasi media misalnya.

Selama ini kita belum melihat skala besar peralihan kronisme ini kerana pembangkang tidak pernah menguasai negara. Tetapi modelnya jelas dalam soal jatuh bangun kumpulan atau pemimpin tertentu dalam BN. Di Terengganu, selepas dikuasai PAS, sedikit sebanyak trend ini wujud.

Ada kecenderungan di kalangan kita untuk menganggap tradisi buruk tertentu itu sudah 'biasa' dan kita harus bersamanya untuk terus 'hidup'. Politik di negara kita sentiasa mengenai kuasa dan kepentingan kelompok, bukan tentang demokrasi dan rakyat. Inilah kebimbangannya apabila kelompok intelektual awam disedut dalam ruang politik partisan, tidak lagi mandiri dan bebas.