Tindakan susulan NAM diperlukan
Sidang Kemuncak Ke-13 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) berlangsung di Kuala Lumpur pada 20-25 Feb lalu, dan pelbagai pujian tentang kejayaannya disiarkan dalam media massa tempatan, terutama mengenai peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Tidak dapat dinafikan, sebagai tuan rumah dan seterusnya pengerusi NAM, Malaysia cukup memandang berat ketika membuat persediaan untuk mengadakan persidangan tersebut, apatah lagi ia akan disusuli mesyuarat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sejurus sebelum Dr Mahathir bersara Oktober depan.
Justeru itu, ini mungkin peluang terakhir dan tempat paling sesuai bagi Dr Mahathir mendapatkan pengesahan negara dunia ketiga dan negara Islam bahawa beliau adalah pemimpin mereka yang unggul, agar disanjung dan dikenang sebagai seorang pejuang berwibawa, selepas berundur dari arena politik Malaysia dan antarabangsa.
Namun, cabaran yang dihadapi Dr Mahathir juga besar kerana selepas 47 tahun, NAM yang ditubuhkan untuk menentang kolonialisme dan Imperialisme demi mempertahankan prinsip-prinsip asas NAM, termasuk tidak menggunakan kekerasan, menghormati kedaulatan, integriti wilayah dan kemerdekaan politik, sidang kini disindir sebagai "talk show" yang tidak disusuli tindakan berkesan bagi membawa sebarang perubahan positif.
Cabaran Malaysia, terutama Dr Mahathir selaku Pengerusi NAM selama tiga tahun mulai sekarang (beliau dilaporkan akan menyerahkan jawatan itu kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas beliau berundur), ialah sama ada beliau dapat memberi nafas baru kepada sidang kemuncak kali ini agar imej "talk show" itu dapat dikikiskan. Marilah kita mengimbas kembali NAM selepas Sidang Kemuncak Ke-13 yang baru lalu.
Dari segi strukturnya, kritikan Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe pada sidang pleno Sidang Kemuncak NAM baru-baru ini berasas sekali. Kata beliau, NAM patut memiliki sekretariat tetap bagi menyimpan rekod, melaksanakan semua keputusan sidang kemuncaknya. Jika kita serius mengenai pergerakan ini, maka kita perlu menanganinya secara serius. Kita tidak boleh terus menguruskan hal-ehwal pergerakan ini atas asas sementara (adhoc).

Forum antarabangsa
Nampaknya, cita-cita Menteri Luar kita, Datuk Seri Syed Hamid Albar lebih tinggi. Kata beliau, struktur NAM tidak semestinya dalam bentuk sekretariat tetap. Biro-biro penyelerasan NAM juga boleh ditubuhkan di New York, Geneva, Vienna atau Nairobi.
Manakala Troika NAM (badan tiga pengerusi semasa, yang lalu dan akan datang, terdiri daripada Malaysia, Afrika Selatan dan Cuba) hendaklah memainkan peranan berkesan dalam membantu Presiden NAM sebagai jurucakap pergerakan itu.
Sidang Kemuncak NAM kali ini dianggap oleh media arus perdana sebagai yang terbaik dan paling berjaya. Pada lahirnya ia memang hebat: selain dihadiri perwakilan 112 daripada 116 negara anggota, 2000 wakil media membuat liputan mengenai sidang kemuncak kali ini, 4 dokumen rasmi dihasilkan, termasuk Deklarasi Kuala Lumpur, Kenyataan Mengenai Iraq, Kenyataan Mengenai Palestin, dan Dokumen Akhir.
Dalam Deklarasi Kuala Lumpur, tema untuk menyuburkan semula NAM ditekankan melalui matlamat-matlamat untuk meningkatkan kesatuan NAM berasaskan kepada kepentingan bersama; mengukuhkan proses pelbagai hala dan sistem demokrasi dalam pentadbiran antarabangsa; menjadi lebih proaktif, bukan reaktif; meningkatkan kerjasama Selatan-Selatan dan hubungan lebih dinamik dan kerjasama dengan negara membangun.
Langkah-langkah ini akan didahului dengan mengkaji, menilai dan memperbaiki semula peranan NAM, dengan penekanan kepada menggunakan secara berkesan mesyuarat Menteri Luar NAM dan peranan pengerusi NAM sebagai jurucakap pergerakan, serta mengambil tindakan susulan bagi menrealisasikan keputusan yang dicapai dalam forum antarabangsa.
Nampaknya, peranan dan langkah-langkah konkrit untuk menyuburkan semula NAM masih belum dikenal pasti dan disusun sebagai program atau projek konkrit untuk dilaksanakan.
Tiada kesan
Dalam Kenyataan Mengenai Iraq umpamanya, NAM antara lain, melahirkan rasa bimbang mengenai situasi berbahaya dan semakin buruk berikutan ancaman perang terhadap Iraq; membantah peperangan dan yakin serangan ke atas Iraq akan menggugat seluruh rantau.
NAM juga mengulangi komitmen untuk berusaha mencapai penyelesaian secara damai dalam isu Iraq serta menekankan kesinambungan usaha itu, berdasarkan tindakan multilateral sebagai membantah tindakan unilateral. Ia juga menyeru Iraq supaya terus aktif mematuhi resolusi 1441 dan semua resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mungkin, yang lebih penting lagi ialah tindakan susulan yang proaktif. Tanpanya, semua deklarasi dan kenyataan itu hanya tinggal kertas-kertas bertulis yang tidak dapat membawa apa-apa perubahan.
NAM umpamanya, dijemput Iraq ke negara itu bagi melihat sendiri bahawa Baghdad mematuhi Ketetapan PBB berhubungan pelucutan senjata pemusnah. Dr Mahathir berpendapat Troika NAM tidak perlu ke sana, kerana percaya bahawa Iraq memang tidak mempunyai senjata pemusnah. Bagaimanapun, ia tidak memberi sebarang kesan.
Sikap yang lebih munasabah, mungkin bukan dengan mudah membuat kesimpulan percaya atau tidak percaya, tetapi terlebih dahulu mendengar dan menghalusi maklumat kedua-dua pihak yang bercanggah pendapat, lalu membuat siasatan dan rumusan berasaskan maklumat yang dikumpul melalui saluran negara anggota. Proses ini memang sukar dan memerlukan banyak kerja dan dan komitmen yang mendalam.
Andainya NAM telah mencapai kesimpulan bahawa Iraq tidak mempunyai senjata pemusnah berasaskan maklumat yang dapat dipercayai dan dilengkapi bukti kukuh, masakan suara NAM yang mewakili 116 negara anggota boleh dianggap "tidak akan memberi sebarang kesan"? Jika NAM sendiri tidak menghargai kekuatannya, bagaimanakah orang lain dapat menghargainya?
Realiti politik
Tentang cadangan untuk menghantar jawatankuasa siasatan ke Palestin bagi menyiasat jenayah yang dilakukan Israel di wilayah itu, umpamanya, Dr Mahathir tidak menganggap Israel akan membenarkan jawatankuasa NAM itu ke sana. Kenapa sebelum mencuba, sudah mengaku tidak boleh?
Jika tindakan susulan yang konkrit tidak dapat diambil, serangan Amerika dan sekutunya ke atas Iraq tentu tidak dapat dielakkan. Bagitu juga halnya dengan isu Palestin, siapakah yang mampu untuk "mengharamkan" pertumpahan darah di antara Israel dan rakyat Palestin?
Ada cadangan supaya Dr Mahathir, selaku pengerusi NAM dan mesyuarat tidak rasmi OIC, menulis surat kepada anggota Majlis Keselamatan PBB serta Kesatuan Eropah (EU), menggesa mereka membantah serangan ke atas Iraq. Dr Mahathir akur tetapi tidak meyakini keberkesanannya - surat terbabit mungkin dibuang ke tong sampah, mungkin dijawab untuk menyakinkan negara anggota NAM bahawa apa yang mereka buat adalah betul.
Dr Mahathir juga sangsi terhadap penggunaan "senjata minyak" yang dianggap sebagai "senjata bermata dua" yang mungkin lebih memudaratkan negara anggota NAM, kerana jika harga minyak naik, banyak negara di Selatan yang terpaksa menanggung keperitannya, terutama negara yang tidak mempunyai sumber minyak.
Dan seruan Dr Mahathir untuk menyekat dominasi dolar AS juga sukar dilakukan sepertimana seruan mengharamkan peperangan, orde baru dunia dibentuk dan sebagainya. Keberaniannya mungkin dikagumi, tetapi keberkesanannya untuk menghadapi krisis mendesak, seperti krisis Iraq dan isu Palestin, adalah menghampakan.
Tidakkah semua ini juga lebih bersifat "talk show" daripada strategi atau cara penyelesaian yang dapat dilaksanakan? Oleh itu, nampaknya masalah relevannya NAM masih boleh terus dipertikaikan sungguhpun banyak negara anggota NAM cuba mempertahankannya dalam realiti politik terkini.