Alangkah beruntungnya rakyat Indonesia, mereka kini berpeluang untuk memilih sendiri siapa presiden negara mereka. Pada tahun depan, buat julung-julung kalinya pilihanraya presiden akan diadakan di negara itu.
Sebelum ini presiden negara ditentukan oleh parti politik yang menguasai Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) atau parlimen negara itu.
Pemilihan presiden oleh rakyat menerusi satu proses pilihanraya ini dianggap sebagai salah satu daripada produk reformasi politik yang berlaku di negara itu sejak tahun 1998. Dengan perginya Suharto, demokrasi semakin subur dan matang di negara itu, walaupun dari aspek lain, terutamanya ekonomi, Indonesia masih ketinggalan.
Tetapi itu bukan persoalannya di sini. Apa yang dibicarakan ialah pelaksanaan demokrasi yang semakin luas dan telus. Berbeza dengan negara kita, demokrasi disinonimkan dengan proses pilihanraya umum lima tahun sekali. Itulah ertinya demokrasi di Malaysia!
Kita akan disogok dengan hujah demokrasi terpimpin ala-Malaysia ini jauh lebih baik daripada demokrasi ala-Amerika, ala-Britain atau ala-India atau ala-Indonesia. Jika hujah itu dipertikaikan, kita akan dimomokkan dengan takrif "demokrasi adalah demonstrasi jalanan ".
