Sekali lagi pada 31 Ogos ini, Malaysia akan menyambut apa yang dipanggil Hari Kebangsaan. Entah berapa kali hari terakhir bulan Ogos ini telah ditukar nama. Satu ketika dulu, di akhir tahun lima puluhan, 31 Ogos ini dipanggil Hari Merdeka, kemudian entah bila pula di panggil Hari Malaysia, kemudian dialih pula menjadi Hari Kebangsaan.
Jelas, nama hari akhir bulan Ogos ini boleh bertukar ganti, macam nama kelab disco - bila sambutan pelanggan ke atas kelab itu semakin merosot - diganti dengan nama baru - dengan harapan pelanggan akan berkerumun kembali.
Hairan ibni takjub, entah apa yang di KE-kan dan entah apa pula yang di BANGSA-kan oleh Hari Kebangsaan pada akhir bulan Ogos ini.
Huha huha, bulan Ogos telah bermula agak awal, satu ritual tahunan, bermula bilamana warga akan dihadapkan, dihantui, dininabobokan oleh media cetak dan eletronik, mungkin dengan tujuan agar warga tidak terlupa bahawa bulan Ogos ini bukan diakhiri dengan 30 haribulan tetapi ada 31 hari dalam bulan Ogos.
Lalu, si Mamat Pembesar Suara, Mamat Kaki Bodek, Juru-Juru Salak dan Professor-Professor Kangkong dari institusi pengajian tinggi akan mengeluarkan beberapa tulisan yang isinya sama saja seperti pernah ditulis dalam bulan Ogos sepuluh tahun dulu.
Di media cetak, ritual ini pula akan 'dilawakkan' dengan 'bentuk seni' ayat yang terpotong-potong yang tanpa segan silu dinobatkan sebagai sajak. Akhbar-akhbar mingguan cukup ghairah untuk mengeluar ayat-ayat terpotong ini. Malah pasti ada si penulis yang telah bersedia mengasah pena bersilat gagah berani menulis seawal bulan Januari lagi dengan harapan 'bentuk seni' ini akan disiarkan pada bulan Ogos.
