Pilihanraya hanyalah satu daripada beberapa methodologi di mana kuasa rakyat dapat didengar, dikumpul atau dipungut untuk diambil sebagai wadah daulah. Pilihanraya atau membuat pilihan melalui pengudian bukan bermakna demokrasi. Demokrasi membawa makna yang lebih luas.

Salah satu daripada jalur demokrasi membawa erti kebebasan untuk memikirkan, melakukan, berpersatuan dan menyebarkan pendapat. Memilih perwakilan melalui undian/angkat tangan untuk melihat pandangan ramai hanyalah satu jalur daripada demokrasi. Perjalanan proses sebelum membuat pilihan/undian itu sendiri wajib dilihat berjalan di lantai yang demokratik.

Di negara-negara kuku besi seperti Syria, Iraq, Cuba, Cina dan termasuk Malaysia, pilihanraya memang dijalankan sebagai satu ritual, tetapi ini bukan bermakna negara-negara ini mengamalkan proses demokrasi dalam urusan pilihanraya itu sendiri. Sebelum undi dibuang, ada beberapa hukum dan syarat yang akan mempelihatkan sama ada pengundian, pemungutan suara berjalan secara demokratik atau tidak.

Apabila Parlimen dibubarkan bermakna daulah itu tidak memiliki badan kuasa legislatif - kuasa untuk membuat undang-undang. Kuasa eksekutif - yang menjalankan perundangan- yang telah sedia ada masih wujud walau pun Parlimen telah dibubarkan. Kekosongan kuasa legislatif ini akan diambilalih oleh sebuah badan untuk mengendalikan pemilihan badan legislatif itu. Ini amalan demokrasi melalui Parlimen.

Di Malaysia, badan ini dipanggil Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), yang diwujudkan melalui Akta Parlimen. SPR adalah satu badan yang bebas, sama seperti Suhakam - memiliki tugas dan rujukan yang telah diluluskan oleh Parlimen.

Mengekalkan kuasa

Dalam negara-negara yang mengamalkan pemerintahan yang zalim dan autokratik, semua lembaga daulah, jentera dan alat daulah akan ditunggangi dan dimanipulasi oleh pemerintah sebelum proses pilihanraya dijalankan atau semasa pilihanraya sedang dijalankan. Ini untuk memastikan elit yang berkuasa, akan terus dapat meneruskan penguasan mereka (baca: terus dapat menguasai dan memiliki punca-punca ekonomi ).

Di Malaysia, SPR yang ditubuhkan mengikut Akta Parlimen, seharusnya berdiri tegak sebagai satu lembaga bebas. Tetapi ini tidak berlaku , SPR telah dijadikan 'baghal' atau kaldai tunggangan parti yang berkuasa: Umno. Ianya pula bagitu setia sekali dan dari masa ke semasa, telah dilihat oleh orang ramai, semakin berubah menjadi seekor hemma.

Contoh terbaru pem hemma an ialah apabila terbongkar 'rahsia' sulit bahawa anggota Puteri Umno telah diterima untuk menjadi kakitangan sementara SPR ini. Sama ada dibayar atau tidak bukanlah persoalannya. SPR yang seharusnya satu badan badan bebas untuk mengendalikan pilihanraya, kelihatan telah menyebelah parti yang berkuasa. Kalau ini bukan satu perangai seekor 'baghal', maka pastilah ianya perangai seekor hemma.

Proses peng hemma an SPR ini telah berjalan bagitu lama sehinggakan ada para pengundi yang lali dan terlupa untuk menilai kembali tugas dan tujuan badan ini ditubuhkan. Para pengundi dan orang ramai wajib terus dingatkan tentang jenayah-jenayah yang telah dilakukan oleh SPR, agar jenayah-jenayah ini terpaku dalam ingatan kolektif warga dan menjad nilai sepertimana penonton menilai RTM.

Pada pilihanraya tahun 1999, SPR telah melakukan tiga jenayah besar. Pertama: seramai lebih daripada 600,000 pengundi baru telah dinafikan hak mereka untuk mengundi. Kedua: SPR telah menolak teknik mencalit dakwat hitam sebagai tanda telah mengundi sebagai jalan pintas untuk membasmi pengundi hantu. Ketiga: SPR gagal menolak undi pos yang tidak diyakini prosesnya. Jawapan dan alasan-alasan daripada SPR semuanya tidak dapat diterima akal insan yang waras.

Tempoh berkempen

Mari kita bersama melihat kembali sedikit sejarah pilihanraya untuk membuktikan bagaimana proses pilihanraya di negara kita ini semakin lama semakin terbukti ianya tidak berlandaskan demokrasi. Di zaman Tengku (Abdul Rahman Putra Alhaj) tiga pilihanraya umum diadakan dan tempoh berkempen yang dibenarkan oleh SPR lebih daripada satu bulan.

Di Era Tun Razak (Hussein) satu pilihanraya telah diadakan dan dibenarkan berkempen selama 16 hari. Satu pilihanraya di era Tun Hussein (Onn) tempoh berkempen selama 26 hari. Dan lima pilihanraya di bawah (Dr) Mahathir Mohamad bermula dengan pilihanraya 1982 di mana tempoh berkempen dibenarkan selama 15 hari, kemudian merosot hingga kepada 10 hari. Akhirnya pada pilhanraya umum 1999, masa berkempen hanya diberi selama 9 hari.

Tindak-tanduk dan perangai SPR ini terus menghakisi keyakinan pengundi dan orang ramai tentang keupayaannya menjalankan tugasnya sebagai satu badan yang bebas. Pengundi dan orang ramai melihat semakin jelas bahawa SPR adalah badan yang digunakan oleh Umno untuk mengolah persetujuan - manufacturing of consent - warga.

Kes skandal Puteri-Umno-nak-kerja-dengan-SPR amat malu, lagi memalukan. Jika kes ini berlaku di negara-negara selain daripada Isreal dan Malaysia, pasti akan diwujudkan satu Suruhanjaya Diraja untuk menilai kembali peranan SPR.

Justeru untuk meredakan kritikan dan cuba membasuh hanyir Umno di badannya, SPR telah mewar-warkan bahawa dalam pilihanaraya yang akan datang, rapat umum untuk berkempen akan dibenarkan. Ini hanyalah satu sandiwara agar kredibiliti SPR sebagai tunggangan Umno dapat dipulihkan.

Kredibiliti terhakis

Kenyataan 'boleh-mengadakan-rapat-umum ' seolah-olah dilihat sebagai satu rahmat yang telah diberikan oleh SPR kepada rakyat. Ini salah. Hak untuk berkumpul, berpersatuan dan berkempen telah termaktub di dalam perlembagaan sebagai hak asasi warga. Tidak ada sesuatu yang baru di dalam kenyataan SPR itu. Hak asasi telah wujud dan tidak perlu dijual-beli.

Tuntutan pelbagai pihak agar (Tan Sri) Abdul Rashid Abdul Rahman, pengerusi SPR meletak jawatan, agak kurang tepat. Ini bukan kesalahan satu individu. Yang patut dibedahselidik di sini ialah badan SPR itu sendiri. Kenapa SPR kini menjadi tunggangan Umno. Bagaimana badan ini yang berwibawa di zaman Tengku, kini telah terhakis kredibilitinya di zaman Mahathir.

Lalu persoalan timbul apakah pilihanraya di Malaysiaa yang dikendalikan olih SPR ini demokratik dan boleh dipercayai. Jawabnya: Pilihanraya di Malaysia tidak demokratik dan tidak boleh dipercayai.

Pilihanraya yang tidak demokratik dan tidak boleh dipercayai ini, diperkukuhkan lagi oleh saranan Menteri Besar Terangganu (Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang) untuk menjemput badan dari luar negara untuk memantau pilihanraya di sini. Secepat kilat, juak-juak dan kaki bodek Umno menyambut saranan Haji Hadi ini dengan menuduh beliau sebagai warga yang tidak patriotik. Sama ada Haji Hadi patriotik atau tidak, itu bukan persoalannya.

Yang ditimbulkan di sini ialah rakyat dan pengundi tidak ada keyakinan terhadap SPR itu sendiri. Tingkahlaku, perangai dan apa yang dibuat oleh SPR, semuanya memihak kepada Umno. Undang-undang pilihanraya yang dimunculkan bukan untuk memperluas ruang demokrasi tetapi untuk menyempitkan ruang yang telah sedia sempit.

Memantau SPR

Peraturan-peraturan baru termasuklah persempadanan semula, semuanya dilakukan untuk memastikan Umno terus berkuasa. SPR di bawah kerajaan yang zalim susah untuk dijadikan satu badan yang non-partisan. Menjemput pemantau dari luar negara adalah tidak salah. Malah para pengundi akan mengalu-alukan kedatangan badan/lembaga ini untuk memantau SPR itu sendiri dan pilihanraya yang dijalankannya.

Pemantauan dari luar negara bukan sesuatu yang pelik atau baru. Pilihanraya di Indonesia, Vietnam, Kamboja, Afrika Selatan, Ghana dan Philipina semuanya telah dipantau oleh pelbagai badan/lembaga kerajaan dan bukan kerajaan dari luar negara.

Ini dilakukan untuk memastikan bahawa pilihanraya tersebut berjalan di landasan demokratik. Ini tidak menjadikan Nelson Mandela, Cory Aguino, Megawati kurang patriotik, malah mereka dilihat lebih telus, jujur dan lebih demokratik. Hanya mereka yang berniat jahat sahaja yang akan menolak pemantauan dari luar negara.

Demokrasi bukan bermakna mengundi parti ini atau partai itu. Mengundi lima tahun sekali dari pukul 8 pagi hingga 5 petang bukan proses demokrasi. Proses pilihanraya yang dijalankan di Malaysia di bawah SPR ini, bukan proses demokrasi tetapi satu proses penipuan untuk merampas kuasa dari pengundi.

Telah jelas di dalam kerangka SPR yang wujud hari ini, partai yang bukan memerintah tidak berkemungkinan untuk dapat mendirikan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara telus dan adil. Masanya telah sampai untuk rakyat mengambil langkah tindakan untuk memantau SPR dan memantau pilihanraya itu sendiri.

Tidak diperlekeh

Suasana globalisi telah memungkinkan kita sebagai rakyat untuk mendapat sokongan dan dukungan dari para demokrat, bukan saja dari rantau Asean tetapi dari seluruh dunia.

Para demokrat seluruh dunia memiliki pandangan dunia yang sama; mereka ingin menghulurkan tangan dan membantu kita menghapuskan kezaliman dan menegakkan hak asasi manusia. Arus global hak asasi manusia ini wajib kita sambut dan rayakan di Malaysia.

Sebuah lembaga untuk memantau SPR dan pilihanraya yang dijalankan oleh SPR, wajib ditubuhkan. Lembaga ini ditubuhkan oleh rakyat, dibiayai oleh rakyat dan untuk kegunaan rakyat. Ianya bukan satu lembaga yang dibayar gaji oleh Umno.

Lembaga baru ini merujuk kepada tuntutan rakyat bukan kepada tuntutan mereka yang berkuasa. Lembaga baru ini wajib bekerjasama dengan semua parti, semua badan dari dalam dan luar negara.

Tujuan badan ini ialah untuk memastikan ruang demokrasi akan terbuka dan pilihanraya di Malaysia betul-betul jujur, telus dan adil supaya rakyat tidak terus diperlekeh dan ditipu.