Pada tahun 1975, Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Zulfikar Ali Bhutto (arwah) telah mengajukan slogan dalam bahasa Urdu - roti kapra makan - untuk pengundi di Pakistan. Slogan popular ini telah berjaya menobatkan Zulfikar sebagai presiden, walau pun akhirnya beliau mati ditali gantung. Slogan politik Zulfikar ini adalah asas kehidupan manusia; roti- makanan, kapra- pakaian, makan-tempat tinggal.

Dari awal lagi manusia telah cuba menyelesaikan tiga asas ini: yang akhirya menjana perkembangan tamadun manusia. Apabila perut telah diisi, tidur telah nyenyak di bantal dan badan telah dibaluti kapas yang memanaskan, manusia telah menerbus masuk ke satu tahap keselesaan hidup.

Keselesaan hidup ini telah memaksa manusia menimbulkan satu cabang fikiran - keindahan/estetika atau cara menilai keindahan. Estetika ini pula berubah mengikut asas perkembangan tamadun manusia itu sendiri.

Tidak ada nilai estetika yang menetap terus menerus. Estetika berkisar, berpusing dan berubah-ubah. Punca-punca ekonomi inilah yang menpengaruhi kemunculan atau pelupusan estetika.

Di Malaysia hari ini, kita telah melintasi asas yang paling asas ini. Setidak-tidaknya setiap warga telah ada makanan, ada pakaian dan ada ruang untuk tinggal. Justeru apabila kita berlegar di pusat membeli-belah atau di tempat warga kota berehat, berkumpul atau bekerja, tidak mengira di wilayah mana pun, kita akan melihat insan-insan obese - lelaki, perempuan dan anak-anak.

Ini salah satu bukti bahawa tamadun kita telah melintasi ruang 'roti'. Ke 'obese' ian ini akan menemukan kita dengan si pemakai baju kurung.

Dari mana datangnya baju kurung ini. Siapa perekanya. Apa sejarah yang memunculkan baju kurung ini. Bagaimana baju ini menjadi popular. Inilah persolan-persoalan akhir kurun ( fin de siecle ) - ha ha ha. Persoalan yang masih belum dapat ditemui jawapannya. Soalan muncul kerana kerana baju kurung dikatakan ada kaitan dengan 'estetika Melayu'.

Isteri Nakhoda

Mungkin baginilah sejarah baju kurung ini: Mengikut kata sahibul hikayat nama Melaka pun kian masyhurlah. Ramai pedagang dan santri yang datang ke Melaka. Pada ketikanya sampailah sebuah kapal dari negeri atas angin.

Kota Melaka pun gemparlah. Shahbandar Tun Mendelika Pendelika Akhir Zaman dengan segala kebesaran keluar datang menyambut. Kompang dipalu rebab digesek, lalu nahkoda, pedagang, saudagar, juragan dan anak-anak kapal sekeliannya dipersilakan masuk ke dalam kota Melaka.

Setelah nakhoda mengadap Sultan Melaka maka isi perut kapal pun dibukalah. Gemparlah orang Melaka melihat barang-barang yang tidak pernah dilihat - zamrud, akek, gading dan susuk dari negeri atas angin. Termasuk juga buah kurma, kismis dan daging unta kering.

Pedagang dan saudagar minyak urat dan minyak auta ini telah membawa seribu satu macam bahan dagangan yang tidak pernah dilihat orang Melaka, termasuk kain sutera dan kapas yang indah-indah. Jual-beli pun bermulalah.

Kota Melaka menjadi hiruk-piruk, riuh-rendah dengan gelak ketawa mak janda, anak gadis, jantan dan sida. Lalu bertukar emas, damar, timah dan tembaga. Yang diambil ialah kain kapas dan sutera. Mengikut orang yang empunya kisah, sang nakhoda kapal ini telah membawa seorang isteri yang gemuk gedempul lagi berisi. Giginya jongang menampakkan gusi, lagi putih kerana bersugi.

Maka mengintai-intailah gadis-gadis sunti kota Melaka yang ingin melihat perempuan dari atas angin. Ada yang bersampan ada yang berkolek cuba merapati ke buritan kapal. Ada ternampak ada yang kecewa. Yang melihat lalu membawa cerita isteri sang nakhoda saban hari duduk berkurung didalam kapal, tidak dibenarkan menjejak kaki ke bumi Melaka.

Pantun seloka

Sampai ketika musim beralih dan angin pun sampai. Maka kapal dagang ini pulanglah ke negeri asal. Apa yang tinggal hanyalah ingatan. Anak-anak gadis Melaka teringat terkenang akan isteri sang nakhoda yang gemuk gedempul lagi menawan. Lalu dibuat pantun dan seloka:

Isteri sang nakhoda

Gigi jongang bersugi pula

Badan dibalut kain sutera

Dari sekaki menjadi sahesta

Ada pula dua tiga orang anak-anak gadis Melaka sambil menari dan berseloka, cuba-cuba hendak memakai seperti pakaian isteri nakhoda. Maka semenjak itu ramailah tukang-tukang jahit mula mencuba membuat pakaian seperti baju isteri nakhoda. Sayangnya semua gadis dan perempuan di Melaka kurus comel langsing belaka. Pinggang ramping boleh dicekak. Leher tegak digalas buntil. Dada montok puting berseri.

Maka adalah mengikut kata yang empunya ceritera ada seorang mak bidan yang tinggal di hulu kampung. Mak bidan ini menjampi serapah, lalu menemui petua. Badan yang langsing boleh diubah mengikut potongan dan acuan.

Anak-anak gadis yang ingin memakai seperti isteri nakhoda, wajib dikurung satu purnama. Disuapkan makanan, direhatkan badan tidak dibenarkan bergerak berjalan. Untuk memendekkan ceritera, anak-anak gadis ini wajib dikurung agar badan menjadi tembam.

Setelah satu purnama, maka badan anak gadis ini akan naik dan dapatlah memakai seperti pakaian isteri sang nakhoda. Lalu dinamakan jenis pakaian ini baju kurung kerana yang boleh memakainya hanyalah mereka yang telah dikurung. Maka hingga ke hari ini, pakaian seperti isteri sang nakhoda Arab ini terus diingati sebagai baju kurung. Demikianlah asal-usul baju kurung mengikut kisah tuan yang empunya cerita adanya.

Ciptaan Yang Esa

Dari kisah ini, jelas bahawa estetika baju kurung ini bukan berakar umbi dari estetika Melayu tetapi muncul daripada pakaian isteri nakhoda Arab yang gemuk gedempol. Jika dikaji sejarah tenunan dan jahitan, akan ditemui bahawa tenunan dan sulaman memiliki nahu dan hukum-hukum tersendiri. Tubuh badan manusia adalah contoh kesempurnaan ciptaan Yang Esa. Tidak ada yang lebih sempurna daripada tubuh manusia.

Justeru, memakai atau meletakkan apa saja di badan adalah merayakan kesempurnaan ciptaan Yang Esa. Membuktikan kesempurnaan ciptaan Yang Esa ini mewajibkan si pemotong kain mengikut lenggok tubuh badan. Turun naik, kontour, dan likaran otot-otot di badan itu adalah nahu keindahan. Pakaian yang dilekatkan di badan wajib memiliki nilai estetik untuk merayakan nahu keindahan ciptaan Yang Esa. Disini lah timbulnya teori estetika pemakaian pakaian.

Semua budaya di dunia ini merayakan kehidupan, kecuali budaya isteri sang nakhoda Arab yang singgah di kota Melaka itu. Badan manusia ini wajib dilihat indah untuk dirayakan. Jika kita tidak jatuh cinta dengan badan kita sendiri, tidak mungkin orang lain akan mencintainya.

Lalu kita kembali kepada baju kurung. Baju ini pada awalnya mungkin ada memiliki sedikit nilai estetika. Estetika ini pun boleh dipersoalkan. Mereka yang tidak terlatih dalam ilmu tenunan/jahitan juga dapat melihat bagaimana senangnya kain sarung yang dipadankan dengan baju kurung direka. Ianya hanyalah penyambungan kain yang terputus. Kain yang melengkapi baju kurung dijahit tanpa mengukur potongan pinggang, punggung atau kaki.

Pada tahun 80-an, Jean Paul Gaultier pernah merayakan fesyen kain sarung. Pereka fesyen yang mereka coli Madonna ini telah memperketatkan kain sarung dan mempelbagaikan 'top'nya. Model Naomi Campell dan Cindy Crawford kelihatan 'chic' dan 'elegant' bergaya dengan kain sarung rekaan Jean Paul Gultier. Memang ada upaya untuk memberi tafsiran baru terhadap baju kurung seperti baju kurung Kedah, tetapi usaha ini menemui kegagalan.

Hari ini baju kurung telah beralih peranan dan sedang dijadikan satu perkakas untuk menyurukkan obesiti. Badan-badan yang gempal dan gedebab telah boleh berselindung di sebalik baju kurung. Perempuan dan gadis Melayu yang dahulunya langsing, ramping, cun dan bergetah, kini telah mengabaikan dan tidak merayakan keindahan tubuh badan mereka. Obesiti yang menjadi lumrah kini dapat dilindungi dengan memakai baju kurung.

Wanita dikurung

Kebaya labuh, kebaya pendek, celana tidak lagi di tangga carta teratas. Potongan baju kebaya dengan kain batik lepas kelihatan 'chic' dan berestetik. Kebaya yang dipotong dan ditenun mengikut kontour badan untuk menjadikan si pemakai 'chic' dan 'elegant' amat jarang kelihatan. Rekaan baju kebaya adalah sumbangan tamadun Melayu kepada fesyen dunia.

Lihatlah Ibu Mega, walaupun sadikit gempal, tetapi masih dilihat elegan dengan kebayanya. Apakah akan sampai fatwa satu waktu nanti di mana para pramaguri akan diwajibkan berselindung di sebalik baju kurung dan meninggalkan baju kebaya untuk menampilkan nilai Ketimuran.

Kaum feminis dan perjuang hak asasi perempuan wajib menilai kembali konsep dan penggunaan baju kurung. Dari kajian pilologi, perkataan k-u-r-u-n-g itu membawa konotasi menindas. Yang dikurung ialah tubuh badan wanita dari dirayakan keindahannya. Baju kurung sebenarnya sedang mengurung perempuan dan anak gadis dari agiliti pergerakan bebas.

Baju kurung ini boleh disamakan seperti di zaman Manchu dahulu di mana perempuan Tiongkok kuno telah diikat kakinya agar terus terkurung di dalam rumah. Justeru baju kurung wajib dilihat sebagai satu unsur anti-feminis.

Kita telah melintasi slogan roti kapra makan. Apa saja yang dilihat tidak merayakan keindahan, wajib dilawan dan dimakamkan seperti Zufikar Ali Bhutoo. Kita wajib terus berfikir tentang estetika dan keindahan untuk memurtabatkan lagi nilai kita sebagai insan dan merayakan tubuh badan kita sebagai tanda kesempurnaan ciptaan Yang Esa.

Keindahan yang ingin sama-sama kita terokai, wajib turut sama dapat membebaskan mereka yang dikurung. Perempuan dan gadis-gadis Rubens yang gempal yang boleh kita temui di museum La Louvre Paris atau di Pudu Raya, tidak seharusnya dikurung oleh baju kurung. Rayakan keindahan tubuh badan. Rayakan semua yang indah dan cantik.