Sewaktu berlangsungnya Festival Filem London pada musim sejuk bulan November tahun 1988, saya sempat menonton sebuah filem dari Georgia, sebahagian wilayah daripada republik Union of Socialist Soviet Republic (USSR). Filem Repentence atau Bertaubat itu adalah sebuah filem surreal buatan Tengiz Abuladze, pengarah veteran dari Georgia.

Sewaktu ditayangkan di kota London, filem ini masih belum dibenarkan diputar di Soviet Union. Tukang sunting - seperti Lembaga Penafis Filem (LPF) kita yang menjaga moral - melihat filem ini sebagai satu kritikan terhadap regim Soviet Union.

Ceritanya begini: Ada seorang lelaki berbadan besar dan bermisai tebal telah mati, lalu mayatnya ditanamkan. Setelah upacara pengkebumian selesai, tiba-tiba muncul seorang perempuan tani tua menggali kubur ini. Mayat lelaki bermisai ini bangun kembali dan menakut/menggemparkan orang kampung.

Mayat ini ditanamkan semula. Dan sekali lagi, si perempuan tua ini menggali kubur ini. Mayat lelaki bermisai tebal ini muncul kembali ke dalam kampung. Penduduk menjadi ketakutan dan akhirnya, upacara dilakukan agar mayat ini tidak akan bangun kembali untuk selama-lamanya.

Setelah filem ini diputar, pengarahnya telah mengadakan sedikit perbincangaan. Saya turut hadir untuk mendengar dari mulut pengarah ini sendiri. Mayat yang bermisai tebal adalah 'hantu' Stalin yang terus menghantui Soviet Union walaupun telah lama dikebumikan. Kaum tani dan orang kampung itu adalah rakyat Soviet Union yang terus takut apabila melihat si Misai Tebal muncul walaupun telah menjadi mayat.

Manusia Stalin atau imej Stalin yang bermisai tebal ini membawa makna yang amat menggerunkan untuk rakyat Soviet Union. Di zaman regim Stalin, ribuan rakyat yang dituduh 'anti-revolusi' telah dihantar ke Gulag ( macam kem Kamunting) di Siberia, satu daerah yang dipenuhi oleh gurun salji.

Tuduhan politik

Stalin juga telah merekakarya pelbagai tuduhan politik terhadap sesiapa saja yang dianggap berpotensi untuk mecairkankan kuasanya. Tuduhan politik utama, selain menentang garis revolusi, ialah tuduhan menjadi agen Barat (baca agen Amerika), yang merupakan musuh ketat USSR.

Ramai yang kehilangan nyawa, hilang kebebasan, hilang kaum keluarga dan sahabat handai sewaktu zaman pemerinthan Stalin. Kamarade seperjuangan Stalin, pembina Tentera Merah USSR, Leon Trotsky bukan saja dihalau dari Soviet Union tetapi akhirnay dibunuh oleh polis rashia atas arahan Stalin.

Di zaman Stalin juga, kekuatan daulah Soviet Union bergantung kuat kepada beberapa pasukan polis rashia yang mengawal dan menindas arus demokrasi di Soviet Union. Semua ini jelas terbongkar selepas tembok Berlin runtuh dan USSR menjadi arwah.

Saya, seorang budak kampung sering mendengar surah dari para perawi yang kurang sahih, kononnya ada orang Melayu kita yang menuntut ilmu batin atau ilmu hitam dan kemudian gagal untuk menurunkan ilmu saka ini kepada anak cucu cicit.

Apabila si pengamal ilmu ini dalam keadaan nazak, nyawanya amat susah tercabut untuk pergi ke alam baka. Ada juga surah yang didengar bagaimana mayat datang kembali berligar-ligar di keliling rumah/kampung kerana ingin mencari si penyambung dan pewaris ilmu saka ini.

Labun dan surah-surah ini sering saya dengar di kedai-kedai kopi di kampung. Nampaknya mitos dari Georgia ini tidak jauh berbeza dari mitos orang Melayu kita. Dalam dunia pasca Astro dan pascamoden hari ini, di mana hidup manusia sedang di McDonald kan, surah-surah seperti ini wajib dibaca sebagai satu metapora untuk dilihat keindahan naratifnya dalam konteks budaya politik hari ini.

Kronisma

Minggu ini adalah hari-hari 'nazak' untuk Mahathir Mohamad. Ilmu saka yang dimilikinya - kronisma, rasuah, penyalahgunaa kuasa dan kezaliman - masih lagi berkeliaran dan sedang mencari-cari pengamal baru. Ilmu-ilmu hitam hantu raya yang diamalkan telah meninggalkan pelbagai kesan terhadap kita semua sebagai warga.

Susuk-susuk yang selama ini dipakainya seperti mahkamah, undang-undang dan polis rahsia. telah berjaya 'mengindahkan' mukanya. Tanpa susuk-susuk ini, mukanya akan kelihatan sembab dan berkerepot.

Di bawah keserian dan keindahan cahaya muka ini, tersimpan sifat yang zalim dan petualang kebebasan yang anti-demokrasi. Dalam dunia budaya Melayu, hantu raya, toyol, pontianak dan segala bentuk hantu yang menjelma melalui ilmu hitam wujud berasaskan ketakutan kita sendiri.

Seperti surah yang telah saya dengar di kedai kopi, orang kampung biasanya tahu siapa hantu raya itu. Tahu di mana rumahnya dan tahu bagaimana hartanya dibuat dan tahu di mana hartanya tersimpan.

Penduduk kampung juga mengenal siapa kroni hantu raya ini. Orang kampung dengan segala kesopanan budi bahasa Melayu, akan menyimpan perasaan. Mereka akan memerhatikan tingkah laku hantu raya ini. Walaupun dipagari pelbagai ilmu hitam dan susuk, orang kampung tahu masanya akan sampai juga apabila si hantu raya akan jatuh nazak.

Dalam surah yang saya dengar dari perawi yang kurang sahih, apabila hantu raya menjadi nazak dan enggan menutup nafasnya, maka anak isteri akan membuka bumbung rumah, akan membakar kemenyan atau mencari sesuatu benda yang pelik-pelik yang mungkin akan muncul di sekitar kawasan rumah.

Buka bumbung

Mungkin seekor cicak muncul di bumbung rumah. Atau seekor ular muncul di tepi perigi - semua ini adalah tanda-tanda dari ilmu hitam yang sedang mencari si penerima saka dan pengamal baru.

Dalam keadaan nazak, kaum keluarga akan berusaha untuk menpercepatkan 'kematian'. Tikar, bantal dan kain sarong kepunyaan hantu raya akan dihanyutkan ke dalam sungai. Ini dengan harapan agar ilmu hitam ini akan turut sama hanyut belayar.

Biasanya, nazak hantu raya berlangsung berhari-hari. Keadaan nazak ini amat menyusahkan kaum keluarga. Ritual membuka bumbung rumah ini amat memalukan. Ia adalah ritual penting untuk menghalau hantu raya, dan ritual ini diketahui maknanya oleh semua orang kampung. Bila saja bumbung dibuka, maka jelas terbukti si nazak ini sebenarnya ialah seekor hantu raya.

Ritual kenazakan Mahathir Mohamad bermula di persidangan agung Umno tahun lepas. Ertinya, nazak Mahathir ini telah hampir satu tahun. Walaupun tidak ada bumbung istana di Putrajaya yang dibuka tetapi ritual bersemah ini sedang berjalan terus. Ilmu hitam yang dipakai oleh hantu raya ini terpkasa disemah satu persatu.

Penyemahan ini sedang berjalan dan disusun satu persatu. Ancak telah banyak dipasang. Kemenyan bodek telah dibakar saban hari oleh media. Rempah-rampai ditaburkan oleh RTM untuk memastikan yang nazak ini akan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Para bomoh pimpinan Umno terkumat-kamit menjampi serapah agar ia akan ke alam baka secepat mungkin.

Ilmu hitam saka ini masih berkeliaran. Susuk-susuk pendinding kuasanya masih wujud. Siapa bakal pewaris saka ini masih belum jelas kelihatan. Dia pernah bersabda bahawa jika mengikut hatinya penggantinya ialah klon dirinya sendiri.

Pemasong

Kalau dalam filem surreal Repentance itu, akhirnya orang kampung berpakat dan mayat si misai tebal itu dibaringkan dan hatinya ditusuk dengan sebatang kayu salib yang tajam. Ritual ini samalah seperti ritual untuk mematikan Count Dracula , vampire penghisap darah yang sukakan darah gadis sunti. Tengiz Abuladze telah menggunakan mitos dari Translavania ini untuk menamatkan ketakutan rakyat Soviet Union daripada hantu Stalin.

Berbanding dengan mitos Dracula ini, bomoh Melayu kita lebih bijak, bersopan dan ritualnya dipenuhi dengan humor. Mengikut surah yang saya dengar, ada seorang bomoh dari negeri Pahang yang telah mendapat ilmu hasil pertapaan tentang cara terbaik untuk melupuskan hantu raya.

Caranya begini: pertama ambil benih jagung dan kemudian biji jagung ini digoreng tetapi tidak hangus. Bawa hantu raya ini ke dalam hutan dan suruh hantu raya ini menanam biji-biji jagung ini. Dan beri arahan pada hantu raya ini untuk menjaga ladang jagung ini sehingga ianya berbuah.

Sampai kiamat pun benih jagung ini tidak akan tumbuh dan hantu raya ini dengan setia akan terus tinggal di dalam hutan ini. Orang kampung akan selamat. Ini humor perubatan bomoh Melayu...

Walaupun upacara dan langkah yang paling selamat untuk warga daripada diganggu hantu raya ialah memasongnya. Pemasongan hantu raya ini pasti akan menakutkan sesiapa yang bakal menerima saka peninggalan hantu raya ini.

Saka ilmu hitam tentang rasuah, kronisma dan salahguna kuasa pasti ada orang yang akan tertarik hati untuk mewarisnya. Sementara nazak akan berakhir marilah kita bergembira membuat sebuah pantun untuk anak cucu cicit kita yang akan datang.

Hantu raya disematkan Tun

Kaleh ke kanan tunjuk ke kiri

Bab diakhiri serangkap pantun

Rakyat tegak pemasong gari