Pak Lah harus bangun di mana Dr Mahathir jatuh
Memang bijaksana apabila Prof Diraja Ungku Aziz memberi nasihat kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memulakan pengembaraannya dengan beg yang ringan, dan jangan menjadi penolak troli yang membawa beg-beg orang lain. (Wawancara,
Mingguan Malaysia
2 November 2003).
Beg-beg siapa lagi jika bukan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersara bulan lalu? Jika kita bersetuju, legasi Dr Mahathir dapat dibahagikan kepada dua kategori - kejayaan-kejayaan besar serta kesalahan-kesalahan serius - seperti analisa Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali. Maka kesalahan-kesalahan yang serius itu tak ubah sebagai bebanan politik yang diwarisi Abdullah.
Tidak dapat dinafikan, jika bukan kerana melakukan kesalahan-kesalahan serius sehingga dimarahi orang Melayu, sehingga ramai yang beralih sokongan mereka kepada parti-parti pembangkang, tentu Dr Mahahir tidak akan berundur "secara sukarela", atau dengan beralasankan analogi nasihat ibunya: "berhenti bila makan tengah sedap"!
Dengan perkataan lain, sifat "tidak mengaku kalah dan tidak mengaku salah" (kata-kata Tan Sri Musa Hitam), telah mentakdirkan Dr Mahathir tidak dapat berpatah balik untuk berkompromi dan memperbetulkan akibat daripada salahlaku-salahlaku dan dasar-dasar otokratnya.
Menurut Anwar Ibrahim: "Kelemahan paling ketara yang akhirnya memudaratkan prestasi kerjaya beliau (Dr Mahathir ) ialah transformasi daripada seorang demokrat menjadi otokrat, seorang pemimpin rakyat berlagak sebagai seorang maharaja, seorang pembicara mengenai etika dan keadilan berakhir dengan mewariskan sistem rasuah yang parah, terhakisnya hak rakyat dan tercemarnya badan kehakiman."

Tambah Anwar lagi: "Pokoknya terdapat pertembungan dahsyat di antara kelunakan bahasa membicara mengenai keadilan dalam tata dunia baru, tetapi memijak hak rakyat sendiri, memenjara pembangkang, membatalkan permit media bebas, dan menolak hukum di negara sendiri."
Perangi rasuah
Ujian pertama Abdullah ialah sama ada beliau berani berkerat rotan dan berpatah arang dengan salahlaku dan dasar otokrat tersebut dan kembali ke landasan demokrasi dan hak-hak asasi manusia di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia.
Memang sesuatu yang dialu-alukan apabila dalam mesyuarat Kabinet pertamanya, Abdullah telah mengisytiharkan "perang" terhadap rasuah menerusi perstrukturan semula operasi kerja dan peningkatan sistem penyampaian kerajaan.
Namun mengisytiharkan "perang" terhadap rasuah bukan sesuatu yang senang. Ia memerlukan tekad yang bulat dan bersedia untuk membayar harganya jika perlu. Apabila bekas Perdana Menteri China Zhu Rong-ji mengisytiharkan "perang" terhadap rasuah, beliau mengumumkan telah menyediakan seratus keranda - 99 untuk perasuah dan satu lagi untuk beliau sendiri!
Berkat tekad dan keberaniannya memerangi rasuah, beliau telah mencegah gejala rasuah yang kian berleluasa di China, sungguhpun masih belum dapat dibanteraskan sepenuhnya.
Pada hari Dr Mahathir berundur sebagai perdana menteri, Pemuda Barisan Alternatif telah membuat laporan polis di beberapa negeri mengenai puluhan kes dakwaan salahlaku sepanjang tempoh 22 tahun di bawah pimpinan Dr Mahathir.
Jika semua laporan polis itu tidak disiasat segera secara adil, saksama dan telus, manakala hasil siasatan diumumkan tanpa berselindung dan berprasangka, serta mereka yang terlibat didakwa mahkamah, maka keikhlasan Abdullah untuk memerangi rasuah tentu akan dianggap sebagai retorik kosong, tidak ubah sepertimana retorik kosong Dr Mahathir dahulu.
Hak rakyat
Selain itu, dalam 100 hari pertamanya sebagai perdana menteri, amatlah penting sama ada Abdullah akan berjaya membawa beberapa ekor "ikan yu"dari kalangan yang berpengaruh ke mahkamah. Jangan "ikan-ikan bilis"sahaja yang selalu menjadi sasaran untuk diperangi.
Dalam bidang kehakiman, umpamanya, kes Anwar Ibrahim merupakan legasi angkara Dr Mahathir yang begitu menonjol sekali yang menunjukkan bagaimana terhakisnya hak rakyat dan tercemarnya badan kehakiman negara kita.
Jika Abdullah tidak berani mengembalikan keadilan kehakiman kepada Anwar, dengan menegah mana-mana pihak campurtangan dalam proses kehakimannya, manakala ISA dan undang-undang anti-demokrasi yang lain dimansuhkan, maka segala usaha beliau untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara, tentu sia-sia sahaja.
Lebih penting lagi ialah Abdullah sewajarnya mengambil iktibar daripada kegagalan Dr Mahathir. Beliau patut bangun di mana Dr Mahathir jatuh. Jangan jatuh untuk kali kedua kerana mahu mempertahankan dasar yang jelas sudah gagal.
Dalam hubungan ini, ungkapan sinis Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz mungkin ada logiknya yang tersendiri: "Lebih banyak bercakap tentang memartabatkan Melayu akan jadi martabak Melayu. Lagi kita sibuk cerita tentang ketuanan Melayu, lagi kita menjadi hamba orang."(Wawancara, Mingguan Malaysia , 9 November 2003)
Perpaduan tulen
Jika Abdullah ingin menjadi perdana menteri untuk seluruh rakyat Malaysia, bukan untuk orang Melayu saja, dan jika beliau benar-benar menghargai dan memperjuangkan perpaduan tulen pelbagai kaum, maka prasyaratnya ialah beliau hendaklah menghentikan segera pembahagian kaum di negara kita menjadi tuan-hamba atau bumiputera-bukan bumiputera.
Membenarkan mana-mana kaum untuk menghambakan kaum yang lain untuk memperlihatkan kedudukan ketuanannya, atau membenarkan pelbagai kaum dalam negara kita untuk merebut kedudukan tuan atau hamba menghamba antara satu sama lain, sudah barang tentu merupakan punca perpecahan kaum, dan akan memudaratkan keamanan dan kesejahteraan negara kita.
Dalam wawancara Pak Ungku yang disebut di awal rencana ini, beliau dengan tepat berhujah bahawa karier Dr Mahathir bermula pada 13 Mei 1969, kerana rusuhan kaum itulah menimbulkan idea kepada beliau untuk menulis buku The Malay Dilemma .
Dengan lain perkataan, karier Dr Mahathir ialah untuk menyelesaikan dilema orang Melayu mengikut pendirian beliau. Sebaliknya, kata Pak Ungku, orang Melayu moden sekarang menghadapi lebih daripada satu dilema, mungkin dua atau tiga dilema.
Antara lain Pak Ungku telah mengenalpasti golongan kapitalis Melayu sebagai bersifat tamak, yang merupakan janagerak dunia korporat. Sifat ini mungkin bertentangan dengan ajaran Islam yang mementingkan akhirat dan fardu kifayah.
Kunci penyelesaian
Salah satu jasa Dr Mahathir yang selalu disebut-sebutkan ialah bagaimana beliau berjaya mewujudkan suatu golongan kelas menengah Melayu, tetapi malangnya, menurut Pak Ungku, mereka sudah jadi seperti 'kacang lupakan kulit'.
Lebih menghampakan Dr Mahathir ialah golongan tersebut terlalu bergantung kepada bantuan/sokongan kerajaan, sehingga kehilangan dayasaing yang merupakan unsur terpenting dalam era globalisasi sekarang.
Dari segi ini, karier utama Dr Mahathir tidak begitu berjaya seperti yang diwar-warkan. Jika Abdullah ingin berjaya di mana Dr Mahathir gagal, beliau perlu mengenalpasti punca kegagalan tersebut dan mencari penyelesaian yang munasabah.
Nampaknya, kunci penyelesaian sewajarnya terletak pada dasar bukan perkauman yang berasaskan nilai-nilai keadilan sosial yang lebih liberal, demokratik dan progresif.
Pendek kata, Abdullah harus berhati-hati supaya tidak memainkan peranan sebagai penolak troli yang membawa beg-beg Dr Mahathir yang akan menjadi bebanan kepada beliau dan kerajaan. Sepertimana kata Pak Ungku, Abdullah harus mengembara dengan beg sendiri yang ringan!