Kalau diibaratkan seorang penyanyi, perdana menteri baru kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (lebih mesra dengan panggilan Pak Lah) umpama sedang menyanyikan lagu lama dalam rentak baru. Kalau dalam era Tun Dr Mahathir Mohamad ia didendangkan dalam rentak joget, kini di zaman Pak Lah dengan tempo boria.

Begitulah nampaknya Pak Lah mengembar-gemburkan kembali isu rasuah, kerenah birokrasi dan etika perkhidmatan awam. Ini semua cerita lama. Pada awal zaman Dr Mahathir dulu gah dengan slogan Bersih, Cekap dan Amanah, Kepimpinan Melalui Teladan dan akhir sekali Malaysia Boleh.

Selama lebih dua dekad penuh dengan slogan tetapi rasuah tetap berterusan, kronisme dan nepotisme menjadi amalan dalam pentadbiran.

Ada pihak menganggap apa yang dilaung-laungkan oleh Pak Lah sebenarnya satu sindiran kepada Dr Mahathir. Mungkin benar, sebab kalau agenda itu sudah selesai atau tercapai matlamatnya, buat apa diungkit-ungkit balik sekarang, terutama sekali soal rasuah.

Ramai yang berpendapat, isu rasuah adalah kegagalan terbesar pentadbiran Dr Mahathir. Bekas perdana menteri itu meninggalkan kes Perwaja Steel, gejala korup dalam jabatan kerajaan, seperti kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyalahgunaan kuasa di negeri-negeri berhubung pemberian tanah, konsesi balak dan pengurniaan pingat.

Sekarang Pak Lah menanggung segala beban itu. Lantas beliau mahu semua kes yang sedang disiasat, diselesaikan dan pendakwaan dibuat jika ada bukti-bukti kukuh. Kita berharap Pak Lah mengotakan cakap-cakapnya. Beliau memang wajar diberi peluang.

Bebas beroperasi

Namun, bagi membuktikan kesungguhannya, beliau patut bertindak lebih jauh dan tegas. Pak Lah sepatutnya membersihkan dulu imej Badan Pencegah Rasuah (BPR). Kredibiliti agensi itu perlu dipulihkan.

Pertama, sekali BPR patut diperkasakan kuasanya. Ia hendaklah diberi kuasa untuk mendakwa orang yang disiasatnya. Ini amat penting bagi membolehkannya beroperasi secara bebas dan efektif. Apabila BPR bebas dan berkuasa, sebarang "cover-up" oleh mana-mana pihak boleh diminimakan.

Kedua, agensi ini perlu dirombak semula. Seorang "trouble shooter " yang berwibawa perlu mengetuai agensi ini. Dalam erti kata lain BPR perlu diberi nafas dan imej baru. Selagi imej "Pak Turut " tidak dibuang, selagi itulah rakyat akan memandang remeh terhadap agensi ini.

Begitu juga dengan isu kerenah birokrasi dan etika perkhidmatan awam. Pak Lah tidak boleh sekadar melaung-laungkan slogan "perkhidmatan mesra rakyat" dan menubuhkan Biro Pengaduan Awam serta menyediakan borang penilaian kepuasan pelanggan. Rakyat mahukan lebih daripada itu. Rakyat mahu melihat tindakan, bukannya janji-janji manis sahaja.

Kalau Pak Lah benar-benar serius mahu meningkatkan mutu kerja di kaunter perkhidmatan awam, status Biro Pengaduan Awam itu patut ditingkatkan. Naikkah tarafnya kepada sebuah 'Ombudsman'.

Mungkin kalau biro itu diberi lebih kuasa untuk menyiasat sendiri semua aduan salahlaku pegawai awam, rakyat akan lebih yakin dan responsif terhadap kerajaan. Selain itu, cadangan perdana menteri untuk menubuhkan Institut Etika Awam memang amat dialu-alukan.

Mesra rakyat

Kalau ia benar-benar akan berperanan untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan pentadbiran, wajarlah disegerakan penubuhannya. Tetapi kalau ia sekadar satu projek gajah putih yang akan membazirkan wang rakyat, lebih baik dilupakan sahaja idea itu.

Kita tidak mahu institut ini menjadi seperti Institut Tadbir Awam Negara (Intan) yang gah pada namanya tetapi terus gagal melahirkan pegawai awam yang peka dan mesra rakyat. Tidak dinafikan Pak Lah mewarisi sebuah negara yang maju dan berjaya dari segi ekonomi dan perindustrian.

Kalau Pak Lah mahu membezakan dirinya daripada Dr Mahathir, kalau beliau mahu keluar dari bayangan hitam yang mengekori bekas perdana menteri itu, inilah yang perlu dilakukannya. Buatlah apa yang Dr Mahathir amat keberatan untuk melakukannya dulu.

Namun kita akui semua itu bukannya tugas mudah, lebih-lebih lagi dalam keadaan kedudukan beliau dalam parti dan kerajaan yang belum begitu stabil. Mungkin setelah mendapat mandat baru dari rakyat dan ahli Umno, Pak Lah akan berasa lebih selesa untuk bertegas dan berkeras.

Sebelum menunjukkan taring sebenarnya, Pak Lah perlu mempunyai seorang timbalan yang selari idea dan sikap dengannya. Sebagaimana katanya, beliau perlukan seorang yang berwibawa dan boleh berkerja dengannya, bukannya seorang pembodek. Siapakan calon yang layak dan bertuah itu?

Tanpa satu "team" yang mahu berkerja bersama-sama dengannya, tidak mungkin Pak Lah boleh menjayakan cita-citanya. Perdana menteri Malaysia yang kelima ini memerlukan satu pasukan yang berkerja, bukannya individu-individu yang sibuk dengan "politiking".