Pertama kali saya mengenali nama kota Baghdad bukan melalui buku ilmu alam tetapi dari filem Hollywood - The Thief of Bahgdad . Filem ini sampai ke pangggung Ruby Theatre di pekan Kuala Klawang, Jelebu pada tahun 60'an. Dari pangung ini, saya juga berkenalan dengan Sergio Leone yang memperkenalkan saya dengan genre koboi spaghetti Western .

Di zaman itu, TV belum muncul lagi. Ianya sampai ke Jelebu (kawasan lembah bergunung-ganang) hanya selepas 1974. Jadi, pada hari Khamis malam Jumaat, tepat jam 7.30 malam, saya merapatkan telinga ke cencorong untuk mengikuti kisah-kisah dari Timur Tengah. Dari sini saya mendengari lagi nama kota Baghdad dan nama kota Damsyik. Siri panggung drama Radio Malaya ini selalunya membawakan naratif percintaan yang berlatarkan irama padang pasir.

Semua ini pada satu ketika dahulu, di mana gadis Melayu masih Melayu - genit, ranggi dan bergetah. Sarung kebaya berkain ketat dengan rambut terlepas si ikal mayang - belum dipagari budaya Badwi padang pasir. Di zaman itu, tidak pernah ditimbulkan apa itu Sunni dan apa itu Shiah. Pada hakikatnnya, tidak banyak yang mempersusahkan di zaman itu, untuk menjadi orang Melayu dan menjadi orang Islam.

Di Mesir pada zaman yang sama; Gammal Abdul Naseer dengan gerakan ' Free Officer ' telah berjaya merampas kuasa dari Raja Farouk pada 1952. Mesir menjadi sebuah republik. Kejayaan Naseer ini memangkin kemunculan semangat nasionalisma di pelbagai negara Arab yang dijajah kuasa imperialis barat. Ombak Nasser melanda Iraq. Pada 1958 sistem monarki ditumbangkan di Iraq melalui rampasan kuasa tentera.

Ketika Saddam Hussein berumur 20 tahun, dia mengangotai parti Arab Baath Socialist Party (ABSP) yang ditubuhkan di Damsyik pada awal 40'an oleh Micheal Aflaq dan Salah-al-Din al-Bitar - dua pemikir dan intelektual dari Syria. Falsafah induk parti ini ialah pan-Arabisma yang dicampuradukkan dengan sosialisma. Perkataan 'baath ' memberi makna pencerahan atau 'renaissance'.

Rampasan kuasa

Ketika berlakunya rampasan kuasa 1958 yang menjatuhkan monarki di Baghdad, Saddam hanyalah seorang aktivis muda Baath dan bukan dari puak yang merampas kuasa. Justeru, beliau dicari oleh mukhabarat (SB) - polis rahsia Iraq. Lalu beliau melarikan diri ke Kaherah.

Di Mesir, Saddam menyusun anak muda dan mahasiswa Iraq dalam gerakan pro-parti Baath . Apabila satu lagi rampasan kuasa berlaku pada 1963, Saddam pulang ke Iraq. Satu lagi rampasan kuasa berlaku pada ada Julai 1967 - kali ini dari kumpulan tentera yang bersimpati dengan Baath dan parti Komunis. Rampasan inilah yang membawa Saddam menduduki kerusi presiden.

Akhirnya saya sampai juga ke negara Thief of Baghdad ini. Pada 1975 saya menjadi tamu rasmi Kesatuan Kebangsaan Pelajar Iraq (National Union of Iraqi Students atau NUIS). Persatuan ini sebenarnya hanyalah anak syarikat kepada parti Baath.

Para pemimpin pelajarnya bukan anak muda - semuanya telah beranak-pinak. Nama saja persatuan pelajar, para pemimpinnya tidak pernah saya lihat memasuki dewan kuliah. Setiap ahli exconya dibekalkan dengan kereta Fiat buatan Itali. Mengapa tidak boleh - harga minyak telah melonjak naik semenjak tahun 1974.

Di Iraq, saya menginap di jalan al-Rasheed yang terletak di tengah-tengah kota Baghdad. Satu petang, Muhamad Zam Zam, penterjemah saya , seorang anak mahasiswa dari Palestin membawa saya melihat kesan pertempuran semasa berlakunya rampasan kuasa 1967. Di satu tembok di jalan al-Rasheed masih jelas kelihatan lagi deretan lubang peluru semasa tembak-menembak berlaku.

Musuh politik

Apa yang disurahkan kepada saya; pada malam itu, yang memainkan peranan penting ialah Saddam Hussein. Deretan lubang peluru di dinding itu adalah tembakan dari Saddam sendiri yang ketika itu berada di dalam sebuah kereta. Dia sedang memburu musuh politiknya. Sama ada surah ini sahih atau tidak, saya dapat memahami bahawa manusia Saddam ini bukan senang untuk ditumpaskan.

Pernah pada satu malam, Muhamad Zam Zam mengajak saya bertandang ke rumah seorang gedebe parti Baath . Gedebe ini, dengan budaya Arabnya, telah menyambut saya dengan mesra sebagai tetamu. Saya perhatikan gedebe ini sedang dikelilingi tujuh atau lapan orang macainya.

Sambil minum kopi, si gedebe Baath ini meminta pandangan saya tentang arus politik dunia. Beliau begitu tertarik dan pada masa yang sama, hairan dengan turun-naiknya Deng Tsiopeng di Tiongkok. Gedebe ini meminta saya memberi ceramah tak rssmi tentang situasi Asia Tenggara. Rupa-rupanya tujuh/lapan orang itu, semuanya ahli parti Baath dari beberapa cawangan kota Baghdad.

Semasa kami sedang bersembang, tiba-tiba muncul sebuah kereta jip. Tiga anak muda turun dari kereta ini. Mereka terus menurunkan tiga kotak besar. Kami semua bergegas ke halaman rumah untuk membantu mereka. Bila kotak kayu ini dibuka, saya melihat didalamnya senjata kalashnikov yang masih terbungkus.

Melihat kotak kayu ini, saya teringatkan filem-filem spaghetti Western bikinan Sergio Leone. Dalam naratif filem koboi ini, kotak seperti inilah yang menjadi object of desire - yang menjadi rebutan antara Clint Eastwood dengan Lee Van Cleef. Saya mengenali kalashnikov kerana sebelum ke Baghdad, saya turut sama dalam kancah perang saudara di Beirut. Tetapi saya belum pernah terlihat kalashnikov sampai 'segar dari gudang' - terbalut rapi sebagai barangan eksport.

Kalashnikov

ini kemudiannya di agih-agihkan kepada semua yang berada di sana. Barulah saya sedar bahawa ahli Baath dalam rumah tadi sedang menunggu ketibaan senjata ini. Mereka membawa pulang tiga empat laras seorang untuk diagihkan di kawasan masing-masing.

Teori Mao

Ketika itu, saya teringatkan teori Mao tentang perang rakyat. Mengikut pandangan Mao, parti wajib meyakini rakyat. Rakyat wajib pula diberi senjata untuk mempertahankan revolusi. Kelihatan parti Baath di Iraq, dengan bagitu yakin, sedang mempraktikkan teori Mao ini. Parti ini berani memberikan senjata kepada ahlinya. Yang mendapat senjata bukan soldadu yang terlatih tetapi rakyat biasa.

Justeru, hari ini apa yang saya baca mengenai Iraq tidak menghairankan. Sikap pan-Arabisma dan nasionalisma rakyat Iraq cukup kuat. ABSP telah menanamkan semangat ini sejak berpuluh tahun. Rakyat terdidik untuk menghayati bahawa awal wahid mereka adalah Arab, kedua, barulah menjadi rakyat Iraq. Garis ini diterima semua mazhab dan agama di Iraq.

Pemerhatian dan pengalaman saya di Iraq memperkuatkan keyakinan saya bahawa perang gerila yang berlaku hari ini, walau pun dipropagandakan sebagai 'tidak tersusun', adalah berbentuk perang rakyat klasik jangka panjang. Senjata kalashnikov yang 20 tahun dahulu, telah diagih-agihkan dan kini sedang menunggu sasaran.

Che Geuvera pernah menulis di bawah tajuk One Two Three Vietnam yang berlatarkan perang Vietnam pada tahun 60-an. Sebagai ketua gerila yang berpengalaman, Geuvera melihat kuasa imperialis Amerika hanya boleh ditumbangkan jika lebih banyak medan perang dibuka.

Medan tempur

Kini, dengan terbukanya dua medan tempur - Iraq dan Afganistan - pasti ianya akan menimbulkan krisis politik dan ekonomi untuk Amerika sendiri. Pada awalannya, seperti di Vietnam, politikus Amerika dan pemodal akan menyokong pencerobohan itu. Telaga minyak adalah tarikan paling menggairahkan. Telaga minyak di padang pasir lebih menarik dan lebih menguntungkan dari telaga minyak Vietnam yang perlu diselami di lautan.

Iraq hari ini seperti gulai lemak ikan cili padi yang tersedia di meja tetapi masih belum diketahui suhu mana kepedasanya nanti. Apabila perang berpanjangan dan beg mayat dihantar setiap hari, kerusi Presiden Bush sendiri akan tergugat. Amerika tidak memiliki kesanggupan dan kudrat untuk menghadapai perang rakyat yang berpanjangan.

Semasa perang Vietnam bermula, saya masih belum bersunat. Jadi saya tidak dapat melihat bagaimana ianya bermula, berkembang dan meledak. Tetapi dari apa yang saya baca dari tulisan wartawan veteran perang Vietnam dan tulisan ilmiah dari intelektual/pemikir Eropah dan Amerika sendiri; ciri dan pola Vietnam telah muncul kembali.

Presiden Bush kini sedang mengelabah untuk mewujudkan Iraq yang dikendalikan oleh rakyat Iraq. Ini samalah seperti dasar Presiden Nixon -Vietnamization - di mana rakyat Vietnam akan berperang dengan rakyat Vietnam sendiri.

Polis dan tentera Iraq yang baru, sedang disusun. Mungkin pilihanraya akan diadakan secepat mungkin. Tuan Ahmad Chalabi sedang bersedia untuk dilantik menjadi Nguyen Van Thieu. Pasti ramai lagi yang siap siaga untuk menjadi balaci dan gurkha Amerika.

Kini, sama ada weapons of mass destruction' wujud atau tidak, bukan persoalannya. Sama ada Saddam Hussein seorang pemimpin yang zalim, tidak penting lagi. Suasana dan hukum politik telah berubah. Apabila negara diceroboh, maka akan terbentuk dua kumpulan - yang belot dan yang patriotik.

Hari ini saya tidak perlu lagi merapatkan telinga ke cencorong. Saya melayari alam siber untuk mendengar irama padang pasir dan rentetan tembakan kalashnikov .

Di dalam filem A Fistful of Dollars, ada babak di mana seorang Cina tua pembuat keranda, bagitu sibuk bekerja dan menghitung keuntungannya. Hari ini di Washinton DC, syarikat pembuat beg mayat memperbaharui kontraknya dengan Pantagon. Dan saya ingin bertanya siapa yang sebenarnya Thief of Baghdad ini.