Bahang pilihanraya umum makin dirasakan. Kini para wakil rakyat panas punggung memikirkan nasib masing-masing. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kalau senasib dengan sabut, dapatlah sepenggal lagi bergelar "YB", kalau jadi batu, terpaksalah dipanggil "bekas YB".

Namun di celah-celah kegelisahan para YB itu, ada juga menteri besar (MB) yang turut keresahan. Telah muncul spekulasi yang meramalkan beberapa orang MB akan digugurkan atau di bawah ke pusat. Bermula dengan spekulasi MB Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mahu bertanding kerusi parlimen, kemudian keluar berita mengenai MB Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim akan digantikan dengan tokoh lain.

Selepas itu disusuli pula kenyataan MB Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang berserah kepada keputusan pucuk pimpinan menentukan nasibnya. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain juga tidak terkecuali daripada dilanda khabar-khabar angin ini.

Spekulasi menjelang pilihanraya umum ini adalah perkara biasa. Ia mungkin dibuat oleh para penyokong atau musuh politik tokoh-tokoh berkenaan. Atau mungkin sengaja diadakan oleh tokoh berkenaan sendiri sebagai sebahagian daripada muslihat untuk melobi atau membuka mata pucuk pimpinan atau lebih tepat mata hati Pemangku Presiden Umno, mangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mungkin ada di antara pemimpin atau MB sudah tidak selesa berada di negeri mereka, lalu teringin untuk jadi menteri kabinet. Mungkin ada yang sekadar mahu "menguji saham " diri. Mahu melihat reaksi penyokong dan musuh politik mereka.

Spekulasi terhadap Ghani dan Shahidan bukanlah perkara baru. Sudah beberapa kali mereka dikatakan akan ditukar ganti. Politik di Johor sentiasa hangat dengan adanya persaingan antara Ghani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Syed Hamid Albar. Manakala di Perlis, politik Shahidan sentiasa dibayangi oleh Datuk Azmi Khalid. Oleh itu tidak mengejutkan apabila menjelang pilihanraya umum, cerita lama ini diulang tayang.

Masih baru

Namun tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba kerusi MB Pahang juga dikatakan akan bertukar tuan. Tidak semena-mena Adnan menegaskan beliau rela dibawa ke pusat atau dikekalkan di jawatannya sekarang atau digugurkan terus.

Kancah politik Umno di Pahang selama ini jauh daripada pergolakan. Walaupun ada spekulasi mengatakan wujud persaingan antara Tan Sri Khalil Yaakob dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, namun ia tidaklah sehebat mana. Tidaklah sampai mengorbankan pengaruh dan kedudukan Adnan.

Jadi mengapa pula Adnan terasa "pedas"? Beliau baru sahaja menerajui negeri Pahang. Kalau berdasarkan sejarah politik Malaysia, tempoh kurang daripada dua penggal dianggap "masih baru", belum wajar ditukar ganti.

Selama ini Adnan yang berasal dari Bentong itu dilihat tidak bermasalah. Hubungannya dengan Khalil dan Abdullah amat baik. Beliau juga tidak bermasalah dengan pihak istana. Hidup peribadinya juga bersih, bebas daripada sebarang skandal

Kalaupun ada sedikit cacat celanya, hanyalah sikap kerasnya sebagaimana yang ditunjukkannya pada hari penamaan calon pilihanraya kecil Sanggang pada tahun 2000 dulu di mana beliau membuat isyarat lucah dan menggoyang punggungnya di khalayak ramai. Namun itu sudah tidak menjadi isu lagi.

Tiada visi

Jadi apakah masalah sebenar Adnan? Kalau ditanya pada pemerhati politik di Pahang, satu-satunya masalah Adnan ialah prestasinya. Menurut mereka, ramai rakyat negeri itu khususnya anak-anak Pahang di sebelah Pahang Barat kecewa dengan prestasi Adnan.

Mereka membanding sumbangan Adnan kepada pembangunan negeri dengan prestasi MB-MB Pahang sebelum ini.Ternyata, bekas guru dari Bentong itu tidak banyak bezanya dengan bekas-bekas MB Pahang sebelumnya.

Adnan juga dilihat gagal membangunkan negeri Pahang. Negeri yang kaya dengan hutan balak ini tidak banyak berubah. Masih seperti dulu, ketinggalan dari segi perindustrian walaupun ia bersempadan dengan Selangor dan Lebuhraya KL-Karak sudah lama wujud. Beliau dicop sebagai MB yang tiada visi.

Anak-anak Pahang di Bentong, Raub dan Kuala Lipis sebenarnya meletakkan harapan tinggi pada Adnan kerana beliau adalah MB Pahang yang pertama datangnya dari daerah Pahang Barat. Sekurang-kurangnya mereka berharap daerah Bentong ditukar wajah menjadi kawasan

perindustrian kerana ia berhampiran dengan Lembah Kelang. Hanya 35 minit jika berkereta dari Plaza tol Gombak ke Bentong!

Namun, Bentong tetap tidak berubah. Malah kawasan perindustrian yang ada di tepi lebuhraya di persimpangan jalan ke Kuala Lipis-Kuantan bukannya semakin maju, sebaliknya semakin mundur. Secara logiknya Bentong atau Karak sepatutnya sudah dibangunkan seperti Nilai atau Senawang kerana terletak berhampiran Kuala Lumpur. Mengapa ini tidak berlaku? Apa masalahnya?

Adnan sepatutnya sudah lama mengambil inisiatif menjadikan daerah kelahirannya sebuah kawasan perindustrian termaju di Pahang. Adakah beliau menunggu Lebuhraya Pantai Timur siap, baru mahu mengorak langkah?

Pak Turut

Kalau ditakdirkan karier politik Adnan berakhir tahun depan, beliau akan dikenang oleh rakyat Pahang kerana peristiwa pada hari penamaan calon pilihanraya kecil Sanggang kerana tiada satu jasa atau mercu tanda pembangunan yang ditinggalkannya.

Berdasarkan prestasi inilah, maka ditiup spekulasi Adnan mungkin akan ditukar ke pusat. Namun itu semua hanya spekulasi yang dibisikkan oleh anak-anak Pahang yang kecewa dengan Adnan. Pucuk pimpinan mungkin berfikiran lain.

Mungkin Abdullah berpuas hati dengan pencapaian MB Pahang itu. Dalam politik Malaysia selalunya rekod kerja dan moral tidak begitu penting, yang lebih diutamakan ialah kesediaan untuk menjadi " Pak Turut"!

Begitulah bahang pilihanraya yang menyelubungi kalangan MB kita. Ada yang yakin mereka akan terus dikekalkan dan ada yang tidak senang duduk kerana takut digugurkan.

Namun yang menjadi tanda tanya besar bagi para pemerhati politik tanahair sekarang bukannya nasib Ghani, Shahidan atau Adnan tetapi Tan Sri Mohd Isa Samad. Beliau sudah lima penggal menjadi MB Negeri Sembilan. Tidakkah itu sudah terlalu lama?