Ribut media berlaku lagi. Kali ini selepas berlakunya dua kejadian rogol dan bunuh terhadap dua kanak-kanak - Hasirawati Saridi dan Nurul Huda Abdul Ghani. Nurul Huda dirogol dan liwat bergilir-gilir dan dicekik secara kejam dan ganas.

Tragedi gila ini melibatkan tiga penjenayah dewasa, termasuk seorang pengawal keselamatan di pondok kawalan pencawang TNB di Gelang Patah Johor pada 17 Januari lalu.

Ribut media kali ini lebih beremosi dan mendesak, kerana kejadian buas itu amat menyayat hati dan membawa implikasi yang cukup membimbangkan terhadap keselamatan kaum wanita dan kanak-kanak yang amat memerlukan perlindungan.

Jika 'pondok kawalan' juga boleh menjadi tempat berlakunya jenayah, dan 'pengawal keselamatan' menjadi'perogol' dan 'pembunuh', maka di mana lagi tempat yang selamat? Dan siapa lagi yang akan menjaga keselamatan kaum wanita dan anak-anak kita?

Mengikut kajian, kebanyakan kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak yang tidak dilaporkan (mungkin 10 kali ganda kes yang dilaporkan kepada polis) mungkin berlaku di rumah, di mana penjenayah/mangsanya adalah di kalangan ahli keluarga (kes sumbang mahram yang melibatkan abang, bapa, datuk, dan sanak saudara yang lain) atau jiran dan kawan'rapat', malah 'mesra' dengan si mangsa.

Dengan lain perkataan, rumah sendiri pun juga tidak selamat manakala ahli keluarga, jiran dan kawan juga tidak boleh dipercayai. Rasanya mitos 'nilai-nilai Timur', termasuk 'nilai-nilai kekeluargaan' yang sering kita banggakan - jika pun masih wujud lagi - nampaknya begitu rapuh sekali.

Nilai kekeluargaan

Ini bermakna jawapan undang-undang seperti dicadangkan sebat di di khalayak ramai, mengasi perogol bersiri, malah hukuman mati, jelas tidak mencukupi dan keberkesanannya juga boleh diragui.

Yang patut dititikberatkan sekaligus ialah jawapan sosial yang membabitkan pendidikan agama/akhlak yang merangkumi sikap dan pandangan kehidupan seseorang individu dan pelbagai nilai kerohanian yang patut dipupuk. Manakala tradisi positif nilai kekeluargaan dan kejiranan/perkampungan yang sedia ada, juga harus dipulih atau diperkuatkan.

Ramai yang mendesak supaya bahan-bahan lucah dibendung dan dilarang. Namun, selain membendung bahan-bahan lucah (yang sukar sekali dibendung dan dilarang dalam zaman IT ini), ruang yang lebih besar, serta galakan dan sokongan perlu diberikan terhadap pelbagai kegiatan dan aktiviti olahraga, seni dan budaya, untuk golongan dan badan-badan berkaitan.

Berdasarkan perangkaan polis, sebanyak 1,217 kes rogol dicatatkan pada tahun 2000 manakala 1,368 kes lagi pada 2001. Ini diikuti dengan 1,431 pada 2002 dan 1,479 pada 2003. Jumlah kes tersebut bukan saja terus meningkat , tetapi ciri-ciri berikut juga memerlukan perhatian khas :

(1) 60 hingga 67 peratus mangsa berumur 16 ke bawah.

(2) Majoriti mangsa (purata 65 peratus) adalah orang Melayu.

(3) Kebanyakan perogol/mangsa adalah penganggur dan penagih, tetapi ramai juga peniaga, buruh, penuntut, pemandu dan pengawal keselamatan, yang terbabit.

Menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Md Zain, hampir 90 peratus penjenayah yang sedang menjalani hukuman di penjara dan majoriti penagih dadah, mempunyai ciri-ciri personaliti antisosial.

Salah didik

Mereka digolong sebagai 'kelompok psikopatik atau antisosial' yang 'manipulatif' (pandai menipu dan mengambil kesempatan) dan 'impulsif' (membuat sesuatu menurut hati tanpa memikir panjang akan akibatnya). (sila rujuk kepada Wawancara Mingguan Malaysia pada 25 Januari 2004)

Manusia yang berkelakuan sumbaleweng (perversive) ini mungkin dipengaruhi dan didorong oleh faktor-faktor salah didikan atau 'role model' negatif, persekitaran yang tidak kondusif, serta unsur-unsur genetik atau biologi.

Oleh itu, mereka memerlukan sokongan keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa yang terbabit dari segi keprihatinan, rawatan , pemulihan dan pemantauan.

Namun, hingga sekarang, perogol/penjenayah yang dipenjara atau penagih dadah yang dihantar ke pusat serenti untuk menjalani program pemulihan, tidak mendapat perhatian, rawatan dan pemulihan yang diperlukan. Lantaran itu, program-program terbabit boleh dikatakan sudah gagal atau terbukti tidak berkesan.

Dalam latarbelakang dan gambaran yang sedemikian, langkah-langkah untuk mengatasi kejadian rogol dan membunuh kanak-kanak, serta kemelut sosial yang lain, seperti rasuah, gangsterisme, rompakan dan samun, melepak, lumba haram dan sebagainya, bukanlah melalui jawapan undang-undang yang lebih berat sahaja, tetapi aspek sosial-budaya juga hendaklah dititikberatkan.

Kemelut-kemelut sosial juga tidak harus ditangani mengikuti kepentingan politik sempit kepartian yang sering mengabaikan kepentingan sosial pada keseluruhannya. Selain parti pemerintah, parti pembangkang dan badan bukan-kerajaan, komuniti terbabit, kesemuanya hendaklah dibenarkan melibatkan diri dalam program memerangi kemelut sosial berkenaan yang kian menular dan menjadi semakin serius itu, termasuk kes rogol dan membunuh kanak-kanak.

Rasanya, manifesto pilihanraya umum semua parti juga harus meliputi dasar dan program sosial-budaya yang konkrit, demi mengatasi kemelut sosial yang semakin hari semakin serius itu, dan bukan setakat dasar-dasar politik yang abstrak dan molok-molok sahaja.