Menjelang pilihanraya umum ke-11, Dong Jiao Zong, nama ringkasan bagi dua badan pendidikan bahasa Cina yang terpenting Persatuan Lembaga-lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia telah mengumumkan bahawa kali ini kedua-dua badan pendidikan itu akan mengambil sikap berkecuali.

Pengumum tersebut dengan pantas dialu-alukan oleh Presiden MCA Ong Ka Ting, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan media arus perdana dengan alasan "pendidikan tidak harus dipolitikkan", seolah-olah selama ini, pendidikan Cina telah dipolitikkan oleh Dong Jiao Zong.

Walhal mereka hanya menuntut hak perlembagaan dan hak asasi manusia setiap insan dan kaum untuk mempertahan dan memajukan bahasa, pendidikan ibunda serta kebudayaan semua kaum.

Untuk mencapai perjuangan mereka menjelang dan selepas kemerdekaan negara kita, Dong Jiao Zong pernah bekerjasama dengan MCA pada zaman Tunku Abdul Rahman dan Tan Cheng Lock. Masa itu, MCA sudah barang tentu tidak menuduh mereka mempolitikkan pendidikan dan meminta mereka supaya berkecuali.

Pada tahun 1982, beberapa pemimpin Dong Jiao Zong yang diketuai oleh Kerk Choo Ting telah menyertai parti Gerakan di bawah slogan "menyertai BN untuk membetulkan BN". Akhirnya seperti yang sering diejek oleh musuh politik mereka: bukan BN yang dibetulkan mereka , tetapi sebaliknya merekalah yang dibetulkan oleh BN!

Pada masa itu, Gerakan juga sudah barang tentu tidak menuduh pendidikan Cina telah dipolitikkan oleh Dong Jiao Zong. Pada 1990, seramai 27 pemimpin dan petugas Dong Jiao Zong yang diketuai bekas Presiden Dong Zong, Lim Fong Seng, menyertai DAP untuk menyokong konsep "Sistem Dua Parti/Barisan" yang dipelopori Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Persatuan-persatuan Cina Malaysia.

Tuntutan

Mulai saat itu, Dong Jiao Zong tiba-tiba dituduh mereka sebagai pro-pembangkang dan mempolitikkan pendidikan Cina. Kemuncaknya ialah peristiwa Suqiu di mana pemimpin Dong Jiao Zong telah dilabel sebagai komunis oleh Dr Mahathir Mohamad dan kononnya mereka telah "mengugut" BN untuk mempersetujui tuntutan yang mereka kemukakan menjelang pilihanraya umum ke-10.

Dr Mahathir amat marah dan menggertak bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan digunakan terhadap mereka. Amaran itu disusuli pula dengan tuntutan keras Pemuda Umno agar Suqiu mengetepikan beberapa tuntutan yang dianggap sebagai mencabar hak keistimewaan orang Melayu, atau menghadapi akibat buruk termasuk ancaman membakar Dewan Perhimpunan Cina Selangor ( gambar ).

Suqiu terpaksa tunduk untuk mengelak pemimpinnya ditahan di bawah ISA dan kemungkinan konfrontasi perkauman yang diapi-apikan oleh Pemuda Umno. Sejak itu, Dong Jiao Zong pun dipandang sebagai "duri dalam daging" yang kalau boleh, dipinggirkan dengan seberapa segera yang boleh, malah dicabut sama sekali supaya pengaruh 'anti-kerajaannya' dapat disekat atau dihakiskan.

Lantaran itu, Dong Jiao Zong pun semakin hari semakin dipencilkan oleh MCA, Gerakan dan persatuan-persatuan pimpinan masyarakat Cina yang prokerajaan. Urusan-urusan Kolej New Era dengan pihak-pihak berkuasa terbabit juga tidak licin.

Syarikat perniagaan pemimpin Dong Jiao Zong juga sering didatangi pegawai Jabatan Hasil Dalam Negeri. Pendek kata, mereka ditekan dan dianiaya secara terang-terangan atau secara halus oleh pihak-pihak berkuasa terbabit.

Sehinggakan, hasrat mereka untuk berjumpa Perdana Menteri baru negara kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan memorandum dan membincangkan masalah-masalah pendidikan bahasa Cina, juga tidak direstui. Kononnya semua masalah berkaitan pendidikan bahasa Cina hendaklah diselesaikan melalui saluran MCA atau Gerakan, dan Dong Jiao Zong yang pro-pembangkang, tidak dialu-alukan oleh parti-parti berkenaan.

Harapan

Dalam keadaan yang tertindas dan terdesak sepertimana yang tersebut di atas, pemimpin-pemimpin Dong Jiao Zong terpaksa tunduk sekali lagi untuk mengumumkan pendirian berkecuali agar dapat terlepas daripada dilema dituduh sebagai pro-pembangkang dan terus dipinggir dan dipencilkan.

Ditinjau dari realiti tersebut, pendirian berkecuali bermakna tiada sebarang tuntutan atau Suqiu kali ini. Dong Jiao Zong, seperti persatuan Cina yang lain, menaruh sepenuh harapan kepada Abdullah Ahmad Badawi.

Diharapkan, selepas BN mencapai kemenangan cemerlang, "gula-gula" akan diagihkan kepada pendidikan Cina. Hasrat mereka untuk berjumpa Perdana Menteri baru dapat ditunaikan, agar label mereka sebagai komunis dapat dibersihkan, perniagaan mereka tidak dikacau, urusan Kolej New Era dapat berjalan dengan licin, dan projek mempromosi Kolej New Era sebagai sebuah Kolej Universi nanti, juga akan mendapat direstui.

Kesemua ini hanya merupakan 'bertepuk sebelah tangan sahaja'. Namun, yang sudah pasti ialah hak persatuan untuk mengemukakan tuntutan mengikut lunas-lunas perlembagaan dan saluran-saluran demokrasi, telah dirampas.

Kes Dong Jiao Zong membuktikan persatuan di negara kita tidak mempunyai hak dan kebebasan untuk menentang dasar kerajaan. Mereka yang berbuat demikian, akan dituduh pro-pembangkang, anti-nasional, malah sebagai komunis, yang mengancam keselamatan negara, dan diugut akan ditahan di bawah ISA.

Kebebasan kita ialah kebebasan untuk menyokong BN, atau selebih-lebihnya kebebasan untuk berkecuali seperti Dong Jiao Zong. Justeru, Dong Jiao Zong rasanya tidak patut bergembira atas sorak-sorai mereka yang pro-kerajaan, kerana jangan-jangan "menang sorak kampung tergadai"!

Kini, BN sudah mencapai kemenangan besar. Adakah "gula-gula"yang diharap-harapkan oleh Dong Jiao Zong itu akan diagihkan kepada mereka sebagai ganjaran kerana berkecuali? Atau mereka terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk membuat tuntutan-tuntutan baru?