Most Read
Most Commented
Read more like this

Ramai tok nujum politik kini meramal Datuk Mustapha Mohamed (Tok Pa) akan menjadi Menteri Besar Kelantan tidak lama lagi. Mereka yakin akan berlaku perubahan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan lompat melompat parti yang akan menguntungkan Umno.

Spekulasi ini timbul kerana para pemimpin Umno Kelantan nampaknya begitu "berahi untuk memikat" Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS supaya menyertai Umno.

Pemimpin baru Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin secara terang-terangan meminta para YB PAS supaya belot. Beliau mempelawa mereka menyertai Umno atas alasan untuk mengukuhkan kerajaan negeri dan membangunkan Kelantan. Demi kepentingan rakyat kononnya!

Perkembangan ini sebenarnya tidak memeranjatkan. Malah ia telah diduga dari awal lagi. Sehari selepas keputusan rasmi pengundian di DUN Kelantan diumumkan dengan PAS menewaskan Umno dengan "jaringan" 24-21, sudah ada wakil rakyat PAS mendakwa mereka telah dihubungi oleh orang tertentu supaya melompat parti bagi membolehkan Umno "merampas kuasa".

Dr Awang Adek Hussin ketika menghulurkan "jorannya" untuk mengail para YB PAS berkata, Umno cuma perlukan dua orang sahaja. Bagaimanapun sehingga hari ini para wakil rakyat PAS nampaknya masih setia pada parti dan Menteri Besar mereka, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Mursyidul Am Pas itu juga yakin semua 24 wakil rakyatnya tidak akan menerima pelawaan Umno itu.

Malah pada Ahad lalu seorang wakil rakyat PAS membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Kota Bharu mendakwa dirinya cuba dirasuah supaya meninggalkan parti itu.

Umpan

Pastinya laporan BPR itu akan menghangatkan lagi isu lompat melompat dan beli membeli wakil rakyat ini. Pastinya ramai yang tertanya-tanya apakah "umpan" yang dihulurkan oleh "orang tertentu" itu untuk memancing wakil rakyat PAS. Umpan cacing atau umpan udang galah? Atau mungkinkah mata kail yang digunakan dibuat daripada "emas" dan berumpankan "RM" berjuta-juta?

Hanya wakil rakyat berkenaan dan "orang tertentu" itu sahaja yang ada jawapannya. Kita hanya boleh bersembang, meneka, membuat spekulasi dan pastinya mengutuk perbuatan terkutuk itu.

Sebenarnya, gejala lompat melompat parti ini adalah suatu perbuatan politik keji. Ia adalah satu jenayah politik. Lebih sedekad yang lalu "jenayah" ini menghantui politik Sabah hingga memaksa kerajaan Parti Bersatu sabah (PBS) pimpinan Datuk Pairin Kitingan mengubal undang-undang melarang budaya politik lompat melompat parti.

Akhirnya DUN Sabah meluluskan undang-undang tersebut yang antara lain ia menggugurkan secara automatik taraf Adun Sabah yang melompat parti. Ini akan membolehkan pilihanraya kecil diadakan dan dapat mengelak pihak yang membeli YB berkenaan mendapat kerusi DUN berkenaan secara "pintu belakang".

Tindakan tersebut telah berjaya menstabilkan kerajaan PBS kerana selepas itu lawannya tidak boleh lagi membeli mana-mana wakil rakyat PBS sewenang-wenangnya. Kini didakwa pula kononnya kerajaan PAS pimpinan Tuan Guru Nik Aziz tidak stabil dan tidak berwibawa. Umno mendakwa mereka lebih layak memerintah walaupun telah ditolak oleh rakyart Kelantan dalam pilihanraya umum lalu.

Tok Pa mengwar-warkan dari segi undi popular, Umno mengatasi PAS dengan mendapat lebih 50 peratus walaupun PAS menguasai 24 kerusi DUN. Lantas beliau merasakan Umno sepatutnya yang memerintah Kelantan, bukannya PAS.

Kerajaan katak

Mungkin angka-angka yang dikumpulan oleh beliau itu betul tetapi hakikatnya sistem demokrasi Malaysia hanya mengambilkira majoriti di dalam DUN, bukannya undi popular.

Tok Pa perlu ingat ini bukannya pertandingan hiburan Akademi Fantasia atau anugerah bintang popular. Ini politik berdasarkan undi rakyat mengikut kawasan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya.

Oleh itu, sewajarnya Umno Kelantan menerima hakikat, akur dan hormatlah keputusan rakyat walaupun jauh di sudut hati, merintis menangis kerana ditewaskan oleh PAS secara "sudden death".

Tok Pa dan seluruh saf kepimpinan Umno Kelantan serta Umno di peringkat pusat sepatutnya menerima saranan Tuan Guru Nik Aziz supaya diadakan muzakarah antara PAS dan Umno Kelantan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk rakyat negeri itu, bukannya menggunakan taktik-taktik keji untuk mewujudkan "kerajaan katak" di Kelantan.

Hentikanlah pelawaan atau cubaan memancing para wakil rakyat PAS, sebaliknya kembalilah ke pangkal jalan untuk bersama-sama bekerja membangunkan negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Sepatutnya, selepas habis pilihanraya umum, semua pihak kembali ke bilik mesyuarat merangka gerak kerja untuk memakmurkan para pengundi, bukan terus "berpolitiking" untuk merebut kuasa.

Umno Kelantan patut merenung balik kata-kata mereka. Jika benar mahu melihat wujudnya sebuah kerajaan yang stabil dan berwibawa di Kelantan, janganlah dikacau para wakil rakyat PAS. Biarkan mereka berkerja menunaikan janji-janji masing-masing.

Keputusan rakyat

Sebuah kerajaan negeri Kelantan yang berkesan akan dapat diwujudkan kalau para pemimpin Umno memberi kerjasama dan menghormati keputusan rakyat.

Atau kalau dirasakan 24 kerusi DUN itu tidak mencukupi untuk mewujudkan kerajaan negeri yang stabil, apa kata kalau para wakil rakyat Umno pula melompat menyertai PAS untuk memberi majoriti dua pertiga kepada kerajaan Tuan Guru Nik Aziz?

Apa kata kalau Dr Awang Adek, Datuk Annuar Musa, Datuk Hashim Safin, YB Kamaruddin Mohd Nor, Dr. Shamsul Ikhwan Ashaari, YB Mohd Rosli Abdul Aziz serta Tok Pa sendiri masuk Pas? Tidakkah ini nampak lebih sopan, lebih ikhlas dan lebih berwibawa?

Pastinya tindakan tuan-tuan itu akan mengukuhkan lagi kerajaan Tuan Guru Nik Aziz dan dialu-alukan oleh rakyat Kelantan.

Kalau tidak sanggup melakukannya, eloklah semua pemimpin Umno dan "orang-orang tertentu" berhenti "meminang" para YB PAS.

Kalau para pemimpin Umno benar-benar yakin rakyat Kelantan telah kembali menerima parti Melayu terbesar itu, maka bersikap "gentlemanlah". Bersabarlah menunggu lima tahun lagi untuk merampas Kelantan secara demokratik dan bermaruah!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS