Sesiapa yang membaca tajuk berita muka depan Utusan Malaysia dua hari berturut-turut pada 10 dan Jun 2004 yang berbunyi: "Kit Siang persoal negara Islam, Ketua Pembangkang juga pertikaikan mengapa ketua kerajaan harus orang Islam" dan satu lagi "Jangan bermain api, Kit Siang harus henti persoal Malaysia negara Islam - Hishammuddin" tentulah tercium sentimen agama/perkauman yang sengaja dicetuskan untuk tujuan membelasah Kit Siang.

Selain amaran Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein kepada Kit Siang supaya jangan bermain api kerana ia isu sensitif yang boleh memakan dirinya sendiri, Ketua Sekretariat Agama pergerakan tersebut, Ustaz Shamsul Najmi Shamsuddin pula membidas Kit Siang supaya berhati-hati apabila membuat sebarang kenyataan berkaitan agama Islam supaya jangan sampai mencemar maruah Islam dan menyemarakkan perpecahan.

Laporan Bernama terbabit menonjolkan dua perkara: pertama, Kit Siang mempersoalkan perisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam; dan kedua, mempertikaikan mengapa ketua kerajaan harus terdiri daripada kalangan orang Islam, sedangkan di negara lain yang mendukung demokrasi seperti India, perdana menterinya kini adalah daripada golongan kaum minoriti.

Maklumlah, mempersoalkan perisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam memang pendirian DAP bagi sekian lamanya, sama ada kita bersetuju dengan beliau atau tidak, ia adalah hak demokrasi masing-masing. Namun, tidak dapat dinafikan, jika kita mengikuti teks penuh ucapan beliau semasa membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja, jelas sekali ucapannya ialah:

" Seruan kepada seluruh warga Malaysia untuk menolak ekstremisme dengan beralih kepada jalan tengah pembinaan negara, dengan mempertahankan dan mendukung 'kontrak sosial' Perlembagaan Merdeka 1957, Perjanjian Malaysia 1963, Rukunegara 1970 dan Wawasan 2020 yang diisytiharkan pada tahun 1991, bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang demokratik, sekular dan berbilang agama di mana Islam ialah agama rasmi tetapi bukannya sebuah negara Islam."

Agama rasmi

Sekali lagi, kita boleh terima atau menolak pendapat beliau. Dalam ucapannya, Kit Siang telah mempaparkan beberapa fakta yang tidak dapat dinafikan, sungguhpun ada pihak enggan mengakuinya sebagai relevan:

* Nasihat Tunku kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam ucapannya di Wisma MCA pada 8 Februari 1983 selepas permohonan maaf secara terbuka Dr Mahathir Mohamad kepada Tunku, bahawa Malaysia tidak harus dijadikan sebuah negara Islam, kerana Malaysia telah diasaskan sebagai sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Seruan Tunku tersebut telah disokong secara terbuka oleh Timbalan Perdana Meteri ketika itu, Tan Sri Musa Hitam, dalam ucapan makan tengahari Koresponden Asing di Singapura dua hari kemudian.

Seruan Tunku ini juga disokong oleh Perdana Menteri yang ketiga, Tun Hussein Onn empat hari kemudian pada 12 Februari 1983, sempena harijadinya yang ke-61. Malahan lidah pengarang Utusan Malaysia pada 10 Feb 1983 yang bertajuk "Malaysia Negara Sekular"juga menyuarakan sokongan penuh kepada kenyataan Tunku tersebut.

Banyak negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) seperti Turki, Mali, Indonesia, Guinea, Niger dan Iraq, juga negara sekular bukan negara Islam seperti yang diandaikan oleh sesetengah pihak.

Saya memperturunkan fakta-fakta tersebut bukan untuk meyakinkan Umno agar ianya menerima negara kita sebagai sebuah negara sekular, tetapi hanya untuk menjelaskan bahawa mereka yang menganggap Malaysia ini negara sekular, tidak semestinya bertujuan untuk menyinggung perasaan orang Melayu atau mencemar maruah Islam dan menyemarakkan perpecahan.

Khamis lalu (17 Jun 2004) , dalam suatu dialog yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) dan Konrad Adrenuer Foundation (KAF), antara lain, Pengarah IKD, Saudara Khalid Jaafar, dan kolumnis Mingguan Malaysia , Astora Jabat, kedua-keduanya mengaku mereka rela tinggal di negara sekular yang menitikberatkan hak-hak asasi manusia dan nilai-nilai sejagat daripada tinggal di negara Islam seperti Afghanistan dan sebagainya yang melaksanakan politik teologi.

Main api

Dr Dzulkifli Ahmad yang mewakili parti PAS, tentu keberatan untuk menyetujui pendirian liberal dua panelis tersebut, namun beliau berdebat secara intelektual tanpa melibatkan sentimen agama yang berlebihan, jauh lagi menggunakan serangan peribadi atau gertakan "main api" atau "makan diri sendiri." Salah satu prinsip demokrasi ialah kita mempertahankan hak bersuara semua pihak, dan bersetuju untuk tidak bersetuju.

Jika ucapan seorang Ketua Pembangkang tidak dihadapi melalui dialog rasional atau perdebatan intelektual, tetapi digertak dengan sentimen agama, dan isu negara Islam dianggap sebagai isu sensitif yang pantang dipersoalkan, suasana itu lebih mirip dengan pemerintahan kuku besi daripada sistem demokrasi yang mempertahankan hak bersuara semua pihak terbabit, terutamanya parti pembangkang yang merupakan minoriti dalam Parlimen.

Jika kita mengikuti ucapan Kit Siang secara keseluruhan dan bersikap adil kepada beliau, patut diakui bahawa beliau tidak mencemar maruah orang Islam, tetapi hanya cuba mempertahankan hak dan kelayakan bukan-Islam menjadi ketua kerajaan, sungguhpun dalam realiti politik negara kita sekarang, ia adalah sesuatu yang mustahil.

Saya tidak tahu sama ada Kit Siang pernah berkata seperti yang dipetik oleh Bernama : "Jika pemerintahan dan pertahanan negara dipegang oleh orang Islam, adakah orang bukan Islam di Malaysia bukan manusia?"

Tidak dapat dinafikan ungkapan ini agak emosi. Jika Kit Siang pernah menuturkan ungkapan ini, ada baiknya beliau menariknya balik supaya isu ini tidak berlanjutan. Namun, saya juga tidak percaya Kit Siang begitu "bodoh", sehingga ingin memperjuangkan perlantikan bukan Islam sebagai Perdana Menteri seperti di India untuk membuktikan bukan Islam adalah manusia!

Kit Siang mencabar bekas Perdana Menteri Dr Mahathir untuk berdebat sama ada negara kita negara Islam atau negara sekular. Rasanya Dr Mahathir patut menggunakan peluang ini untuk membuktikan perisytiharan beliau pada tahun 2001 bahawa negara kita adalah negara Islam adalah wajar dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan kita.