Ketua pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz melatah apabila dicucuk oleh bekas-bekas ahli Puteri Umno. Beliau mengingatkan "budak-budak" bekas ahli Puteri Umno jangan bercita-cita tinggi. Katanya, duduk diam-diam saja, sekurang-kurang untuk tiga tahun akan datang!

Alahai "Mak Dah" (sekadar meminjam gelaran yang diberikan oleh Senyum Kambing), mengapa begitu cepat menggelabah apabila diacah oleh "budak-budak setahun jagung" itu? Nampaknya semakin ramai pemimpin Umno yang takutkan bayang-bayang sendiri. Takut kehilangan kuasa, seolah-olah mahu mati di pejabat Umno!

Kalau sebelum ini sindrom takutkan persaingan atau pertandingan menguasai bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, namun kini teraju-teraju utama Umno, Pergerakan Pemuda dan Wanitanya, turut dijangkiti penyakit itu. Dalam Umno induk dan sayap-sayapnya, kecuali Puteri Umno, ketetapan telah dibuat awal-awal lagi untuk tidak mempertandingkan jawatan-jawatan utamanya.

Dan tidak cukup dengan sekatan di peringkat tertinggi itu, Wanita Umno pergi lebih jauh, mahu melarang bekas-bekas ahli Puteri Umno menonjolkan diri dalam pergerakan Wanita. Bekas ahli Puteri yang kini menganggotai Wanita, dinasihatkan jangan mencabar Ketua Wanita bahagian. Kononnya untuk menjaga keharmornian dan kestabilan parti.

Soalnya sekarang wajarkah larangan atau dalam bahasa yang lebih lembut, "nasihat" itu dikeluarkan dan dipatuhi kalau ahli-ahli di peringkat akar umbi sendiri yang mencalonkan bakas-bekas ahli Puteri Umno itu.

Umpamanya, wajar dan bijaksanakah Haliza Abdullah yang setakat ini mencapat 49 pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Batu Pahat, menarik diri semata-mata untuk mematuhi "nasihat" Mak Dah. Patutkah beliau mengabaikan suara akar umbi yang mahukan perubahan pucuk pimpinan di Wanita bahagian tersebut?

Calon baru

Dipercayai, perkembangan di Batu Pahat itu bukan satu kes terpencil. Khabarnya banyak lagi bahagian Umno yang mahukan perubahan pucuk pimpinan. Banyak ahli-ahli Wanita mahu personaliti, corak dan cara kepimpinan yang baru. Antara bahagian Wanita yang disebut-sebut akan mencalonkan bekas ahli Puteri untuk mencabar penyandang atau calon-calon baru dari Wanita ialah di Bukit Bintang dan Kota Kinbalu.

Pemerhati politik melihat perkembangan ini sebagai suatu yang sihat. Mengapa perlu takutkan cabaran dari pemimpin-pemimpin muda dan professional dari Puteri Umno itu? Bukankah salah satu tujuan Puteri ditubuhkan ialah untuk melahirkan pemimpin pelapis? Mengapa mesti dicantas tunas-tunas yang baru tumbuh dan bercita-cita tinggi itu?

Kalau bakat kepimpinan mereka tidak dikembangkan dalam Wanita Umno, ke mana lagi mereka mahu pergi? Pemimpin Wanita Umno, termasuk Mak Dah sendiri, perlu ingat zaman selesa dan duduk bersembang kosong sudah berakhir. Ini zaman globalisasi, zaman demokrasi dan zaman Islam hadari. Era baru ini menuntut perubahan, kewibawaan dan kebijaksnaan.

Semua orang perlu bersedia untuk mencabar dan dicabar. Semua orang, tidak kira budak mentah atau makcik, perlu diberi peluang kalau mereka berbakat, berkelayakan dan berpengaruh untuk memimpin. Lebih-lebih lagi kalau ahli-ahli parti sendiri yang mencalonkannya.

Begitu juga Ketua Wanita cawangan, bahagian, ahli-ahli exco pergerakan itu serta naib ketua dan ketuanya, mesti bersedia untuk dicabar apabila tiba masanya. Sebenarnya sikap "anti-demokrasi" Mak Dah itu telah mendatangkan kesan buruk terhadap dirinya sendiri. Beliau telah menyerlahkan sikap lamanya yang tidak begitu menyenangi kewujudan Puteri Umno.

Menjadi rahsia umum ketika cadangan penubuhan Puteri Umno diutarakan dua tahun lalu, Mak Dah tidak begitu selesa dengannya.. Untuk sekian lamanya beliau sentiasa sinis terhadap Puteri dan ketuanya.

Hakis pengaruh

Oleh itu, sikap dan tindakan terkini Mak Dah "menasihatkan" ahli-ahli Puteri yang menawarkan pilihan kepada ahli-ahli Wanita Umno di bahagian-bahagian, supaya jangan ghairah berebut jawatan, telah dibaca sebagai satu kebimbangan terhadap pengikisan pengaruhnya di dalam pergerakan itu.

Mak Dah disimpulkan sebagai takut untuk dikelilingi oleh bekas-bekas ahli Puteri yang sebahagian besarnya adalah penyokong-penyokong Datuk Azalina Othman Said. Mak Dah dan para penyokongnya sedar, kalau kepimpinan di bahagian-bahagian perlahan-lahan diduduki oleh bekas-bekas ahli Puteri, lambat laun kepimpinan di peringkat Pusat akan juga dikuasai oleh bekas-bekas ahli Puteri.

Inilah yang ditakuti oleh Mak Dah dan konco-konconya. Mereka bimbang akhirnya Azalina akan bertanding untuk merebut jawatan Ketua Wanita Umno. Memang diakui setakat ini tiada tokoh lain yang layak untuk mencabar Mak Dah, selain dari Azalina. Datuk Shahrizat Abdul Jalil tidak mungkin melakukannya kerana beliau tidak mahu "lawan tauke" .

Oleh itu, kemunculan bekas-bekas ahli Puteri dalam Wanita Umno diandaikan sebagai langkah awal Azalina untuk menguasai Wanita Umno. Bekas-bekas ahli Puteri itu dilihat sebagai proksi Menteri Belia dan Sukan berkenaan.

Sama ada andaian itu benar atau tidak, tidak penting. Ini kerana hakikatnya, Azalina tidak mempunyai pilihan lain. Beliau tidak boleh selama-lamanya berada di luar Wanita Umno. Selepas tidak layak lagi menerajui Puteri, beliau perlukan platform lain. Kerusi ahli Majlis Tertinggi Umno sahaja tidak memadai.

Oleh itu Mak Dah atau Shahrizat memang patut berasa takut kerana Azalina kemungkinan besar akan mencabarnya tiga tahun dari sekarang. Itulah hukum politik dan itulah demokrasi namanya!