Adalah hamba telah mendengar kisah ini dari datuk hamba yang telah mendengar kisah ini dari datuk kepada datuk hamba. Maka bukanlah niat hamba melabunkan kisah ini untuk mencari dana dan laba. Bukan bertujuan untuk berdada dan berbangga. Jauh sekali untuk mencari dosa dan pahala.
Adalah niat hamba agar kisah ini akan diturunkan dari cucu kepada cicit kepada cucu kepada cicit. Hendaknya dapat kita jadikan kisah sebagai kisah tiang pasak negara. Kisah menjadi teladan penunjuk jalan di masa hadapan.
Mengikut tuan empunya ceritera adalah satu keluarga lima beranak yang hidup di hujung Kampung Lidah Bercabang di negeri Entah Berantah. Sang ayah dipanggil Long Libon, isteri dipanggil Mek Jitun. Dua anak lelaki bernama - Pidun dan Kitam. Anak bongsu seorang anak dara sunti yang cantik lagi menawan, berambut ikal mayang. Tumit putih lagi melepak. Sekali tersenyum seurat kembang. Nama diberi Pelesit Sundal Malam.
Maka ramailah orang bertanya kepada hamba kenapa Pelesit Sundal Malam nama diberi. Maka kepada si bijak bestari yang bertanya jawapan hamba hanya satu. Hamba ini hanya pembawa kisah. Mendengar dari Tok Perawi dari Tok Perawai. Sahih mereka sahihlah hamba. Kenapa nama diberi hamba tidak tahu apa sejarah apa salasilah.
Adalah dikisahkan kehidupan keluarga Libon dan Jitun ini amat susah. Menumpang di tanah orang. Sang Ayah, ibu anak beranak bekerja mengambil upah. Musim padi mengambil upah mengubah benih. Musim menuai membanting padi. Musim hujan memasang lukah. Musim kering mengambil upah memanjat kepala. Ke hutan mencari manau. Ke bukit mencari rotan. Ke gunung mencari damar.
Adalah mengikut tuan empunya hikayat, maka pada satu ketika yang ditetapkan, pada hari yang tertulis maka awan putih pun mulalah berkumpul-kumpul untuk menjadi awan hitam. Kilat memanah sabung menyabung. Halilintar memecah bumi. Katak terus berlagu memanggil hujan. Kera di hutan pindah ke gunung. Inilah tanda musim tengkujuh akan sampai.
Musim tengkujuh ini adalah musim rezeki untuk Long Libon. Jala telah dianyam. Lukah telah disimpai. Tiga beranak pun turunlah ke paya dan danau untuk memasang lukah memasang bubu. Semilang dan puyu berlari-larian. Haruan dan keli bermandi manda. Inilah masa yang dinanti nanti.
Dalam hujan lebat sebegini ketika raja di Istana enak beradu, ketika tok penghulu sedang berurut. Ketika anak dara menyikat rambut. Ketika inilah Jantan Tiga Beranak ini berhempas menebar jala memasang lukah.
Pada saat dan ketikanya seperti telah ditakdirkan, seperti telah tersurat dalam kitab. Tetiba jala Long Libon tersangkut. Maka turunlah Pidon dan Kitam ke dalam sungai mencari sebab angkara. Si ayah menunggu dengan sabar. Hati sedih lagilah pilu jika jala terkoyak lagi. Benang amat mahal. Timah amatlah susah dicari.
Tetiba muncul Pidon dari dalam sungai terhungap-hungap. Kemudian muncul pula Kitam. Kedua-dua kelihatan menggigil takut. Budak jantan ini menggeletar bukan kerana sejuk. Mereka telah terlihat sesuatu di dalam sungai. Long Libon bertanya angkara. Apakah telah terlihat buaya putih atau ternampak Puteri Duyong. Sang anak menggeleng kepala tidak bersuara. Tetiba kedua-duanya terkencing dalam seluar.
Long Libon tak mahu jalanya koyak rabak. Inilah sahaja harta peninggalan ayah. Inilah harta penyambung hidup. Maka Long Libon terus masuk ke air dan menyelam. Pidon dan Kitam berpelukan sambil mata memandang ke dalam sungai.
Begitulah kisah yang hamba dengar. Semenjak petang jala tersangkut kehidupan keluarga Long Libon mula berubah. Semuanya berubah. Orang mula berkisah tentang Long Libon yang menjadi Mat Koyo. Bukan saja dapat membeli tanah kampung yang mereka tumpang malah Long Libon AKA Mat Koyo telah membeli tanah sawah dan tanah getah. Kalau dulu Pidon dan Kitam hanya memiliki dua seluar dan dua kemeja. Kini anak jantan dua orang ini telah kenal dengan Hugo Boss dan Jermyn Street. Malah Mek Jiton juga telah mula memakai gigi bersumbi emas.
Pelesit Sundal Malam mengikut tuan yang empunya kisah telah dua kali menjemput Vidal Sassoon untuk datang mendandan rambut. Kini Si Sundal Malam telah mula belajar mengaji. Mengikuti kisahnya cucu kepada cucu kepada cicit Abdullah Munshi dari Bandar Hilir Melaka telah dijemput datang untuk menjadi guru mengajar di rumah Long Libon.
Hanya Long Libon tidak berubah. Kain sarungnya masih bertampal-tampal. Bajunya masih baju yang lama. Sesekali kelihatan dia memakai selipar Jepun kalau tidak Long Libon sentiasa berkaki ayam. Hanya satu perubahan yang jelas. Kalau dahulu Long Libon hanya menggulung rokok pucuk dengan tembakau. Kini Long Libon telah pandai menggulung kertas Rizla dengan tembakau Drum.
Maka orang-orang Lidah Bercabang terus bergosip. Ada yang berkisah bahawa Mat Koyo telah menang loteri. Ada yang berkisah bagaimana Mat Koyo terjumpa harta Karun. Ada juga yang berkisah bahawa Pelesit Sundal Malam kini telah menjadi awek kepada ketua Pemuda.
Setiap kisah ini sambung menyambung. Bercambah dan bertambah. Ada orang kampung yang berani bersumpah laknat di Masjid. Mamat ini mengaku ternampak Pelesit Sundal Malam bersama dengan seorang Datuk Seri sedang minum cendol di belakang Panggung Rex Ipoh. Tidak ada siapa yang dapat buktikan tentang kisah cendol ini kerana dalam kampung ini tak ada siapa yang pernah ke Ipoh. Jauh sekali nak tahu di mana letaknya Panggung Rex. Tak tahu mana yang benar dan mana yang lebung. Nampaknya di mana babak yang tak seronok ditambah dengan Aji-No-Moto untuk menyedapkan cerita.
Hairan memang menghairankan. Bagaimana satu keluarga miskin kini telah hidup bukan sahaja mewah. Malah telah melintasi keupayaan tok penghulu.
Hamba yang mendengar kisah ini merasa tidak puas hati. Maka minggu lalu hamba sendiri telah pergi berjumpa Long Libon untuk mendapatkan kisah sebenar. Memang susah untuk sampai ke Kampung Lidah Bercabang ini. Setiap kali hamba bertanya arah rumah Long Libon setiap kali hamba dapat jawapan yang berlainan. Maka tahulah hamba kenapa nama kampung ini Lidah Bercabang.
Tujuh hari tujuh malam hamba menapak mencari dari kampung ke kampung, dari rumah ke rumah akhirnya hamba berjaya juga. Long Libon kelihatan sihat segak dan sasa. Mek Jitun lemah lembut berbudi bahasa tidak bersumbi emas. Manakala Kitam dan Pidun tidak sombong dan tidak riak. Tidak memakai Hugo Boss. Hamba dengan segala sopan dijemput naik ke rumah. Ketika melangkah tangga mata hamba terlintas nampak anak dara sunti Pelesit Sundal Malam.
Dipendekkan kisah yang panjang hamba dengan sopan bertanya tentang apa sebenarnya kisah jala tersangkut. Empat beranak yang duduk bersila di depan hamba terus ketawa. Ini menjadikan hamba lebih hairan. Di saat genting ini muncul Pelesit Sundal Malam membawa dulang minuman petang. Mata hamba mencuri pandang. Dalam hati hamba berkata, mustahil anak dara sesopan ini akan menjadi awek ketua pemuda atau betina simpanan datuk seri.
Soalan hamba tergantung tidak berjawab. Kejantanan hamba kini diganggu oleh Pelesit Sundal Malam. Hamba tak tahu bagaimana hendak menyambung cerita. Hamba rasa diri hamba sedang terperangkap oleh keluarga Long Libon. Hamba merasa tekanan datang tapi hamba tak tahu dari mana tekanan ini datang.
Tetiba hujan pun turun. Petir sabung menyabung. Halilintar memecah bumi. Masa dan ketika seperti inilah jala Long Libon tersangkut dalam sungai. Suasana ini menjadikan hamba bertambah gelisah. Hamba ingin meminta diri tetapi mustahil dalam hujan yang lebat ini hamba boleh menapak pulang. Sungai semakin sebak. Tanah berair dan berlumpur. Maka tidak dapat tidak hamba wajib menunggu.
Mata hamba memandang hujan yang turun mencurah hamba. Tetiba terdengar Long Libon bersuara. Mata hamba beralih ke muka Long Libon.
"Begini kisahnya. Kau tahu kisah Badang? Pernah kau dengar kisah Badang dan muntah hantu?"
Hamba tersentak. Hamba tahu benar kisah si Badang ini. Ketika si Badang ini jadi berita ‘hot', majalah Times telah meminta hamba membuat laporan berita. Memang susah untuk mencari Badang. Hamba dapat bantuan Wahid Satay. Si Wahid ini secara rahsia telah berjaya bertemu Si Badang ketika Wahid berlakon memainkan watak Badang. Hamba terfikir jika kisah Long Libon ini sama setaraf dengan kisah Badang maka ianya akan pasti dapat liputan CNN.
"Tuan hamba ini datang dari jauh. Nak bertanya kisah kami sekeluarga? Kami tak ada apa rahsia", Long Libon memecah kesunyian.
" Betul, tak ada apa yang nak kami sorokan." tambah sang isteri.
"Tuan hamba tahu Zahid Hemidi menteri dalam negeri? Tuan hamba dah baca laporan audit negara? Tuan hamba tahu apa terjadi dengan pistol dan senjata polis yang hilang? Tuan hamba tahu apa terjadi kepada jet enjin yang hilang?"
Hamba terperanjat besar kerana hamba hanya bertanya tentang jala tersangkut. Kenapa soalan hamba dijawab pula dengan pelbagai jenis soalan. Hujan di luar semakin ligat.
"Tuan hamba bermalamlah di sini. Tunggu hujan reda. Lepas makan malam ini kita sambung kembali cerita ini ".
