Deringan telefon itu bertalu, aku terganggu. Jarang sekali aku mengambil nombor tidak kukenali. Akan tetapi di luar hujan menggila, gelap membukat dan aku menerka sesuatu yang buruk, atau nestapa di hujung talian. Mujur, yang menelefonku adalah seorang pemuda yang belum kukenal. Usianya 30 tahun genap dan dia pulang bercuti.
Dia ingin bertemu. Katanya, dia mencariku sejak beberapa tahun, membaca, memikir dan dia sekarang seorang ateis yang sudah menghuni kota New York. Tentunya dia bukan serigala dari kota tersebut. Ia cuma melakukan beberapa kerja seni seperti bertelanjang untuk lakaran seniman, berlakon dan membuat jenaka; ringkasnya ia masih berjuang untuk mendapat sesuap roti.
Dia memberitahuku, namanya Rusli, sepertinya watak dalam novel Ateis karya Achdiat K Mihardja. Kemudian dia tertawa, lantas aku mengesani ia bergurau. Sebagai menyambut senda tersebut aku pantas mengatakan, aku bukan Hasan. Makanya tidak ada sesiapa akan menjadi korban kepercayaan.
Aku jarang menemu orang yang tidak kukenal. Terlalu musuh di luar sana membiak, mungkin ia menjadi setan dalam halimunan; namun di luar hujan menggila, gelap membukat dan aku menerka sesuatu yang buruk. Sungguh ia tidaklah buruk, dia hanya seorang pemuda rupawan yang ingin berdialog.
Ia malah menjauh kata dialog, kerana katanya dialog sudah diseleweng menjadi debat mencekam. Aku menyetujui untuk duduk sekali, berbual kataku demi mengganti kata dialog.
Kami pun bertemu. Malam memanjat. Dia selesa di Bangsar, tetapi mengalah kerana aku memberitahu aku tidak selalu keluar malam dan hanya akan bertemu jika betul mahu mampir ke Sentul.
Dia lelaki Melayu. Tidak Islam katanya. Sudah lama sekali menjadi ateis. Ia tidak lagi mempercayai Tuhan, ia benci sekali dengan agama. Yang ia maksudkan adalah, institusi agama yang menjarah nasib dan takdir manusia. Demikian ia meluat dengan agama ia mengganti tiap nama ustaz dengan gelar setan di hadapan.
Pengalaman jeran New York
Aku tidak bertanya mengapa ia memilih menjadi ateis. Aku menghormati pilihan insan. Aku dan dia dibekal akal. Dan kami akan bertanggungjawab dengan neraca pilihan masing-masing. Jadi, bermula dengan hormat aku pun berbual dengannya. Terjadi soal jawab yang panjang, sedang malam di luar memanjat kami berdua.
Bual kami awal menelusuri beberapa karyaku yang pernah dibaca. Ia juga meminta aku menandatangani beberapa buah buku. Kemudian ia menceritakan pengalaman jeran dan pengalaman menawan di kota New York. Aku berkhayal akan kisah yang ia sampaikan. Pada titik tertentu aku berasa kagum kerana kemampuannya mengatasi pelbagai rintangan.
Sampai pada intinya, pemuda ateis pun bertanya: “Oleh kerana abang seorang yang masih mengimani Tuhan maka beritahulah saya mengapa selalu penzalim dan pendosa itu terlepas dari celaka, hidup dalam bahagia dan terlihat senang sentiasa.”
Aku memikir, menurutku selalu seorang pendosa itu akan digugah Allah dengan peringatan, persis genta loceng yang menggema mengkhabarkan ia telah melakukan dosa sehingga ada detik dalam hati untuk ia tersedik mengakui bahawa apa yang ia lakukan adalah kejahatan.
Kadang peringatan itu datang dalam bentuk teman yang menasihat atau reaksi peribadi, cetusan nurani bahawa yang ia lakukan adalah sesuatu yang salah. Ini, ujarku adalah nikmat bahawa ia petanda Tuhan masih kasih dan kerana itu Tuhan mendatangkan teguran supaya dapat kembali ke jalan yang sesuai.
Akan tetapi, insan juga diberi akal dan nafsu. Justeru ia memilih untuk melakukan maksiat berterusan, atau kejahatan semaksimal mungkin sambil menyatakan pembangkangan terhadap gejala iman maka ia ibarat seorang yang melintas gaung yang dalam dan setelah tiba di hujung ia membakar jambatan lalu tidak memaling lagi.
Ia ingin terus bergerak dan bergelumang, ia ingin terus mara menempuh gaung-gaung yang lain. Ia telah membuang hidayah. Ia tidak ingin berpatah balik. Untuk insan seperti ini, ia akan terus zalim, akan terus jahat, malah dari insan ia sudah berubah menjadi setan. Sesuai dengan pilihan yang ia sendiri ambil, ia akan diazab tentunya tetapi tidak di sini.
Pengajaran surah Hud
Ia dibiar melakukan kezaliman semaksimal mungkin supaya dapat dihukum setimpal dengan apa yang ia lakukan. Segala-galanya ditangguhkan. Dalam banyak keadaan, jika yang melakukannya seorang penguasa; kezaliman pemimpin itu didokong orang banyak. Sehingga ia berasa kezaliman itu sesuatu yang lurus dan adil.
Aku menceritakan perihal Mutawakkil, ketika ia memerintahkan supaya setiap perbincangan tentang akal dilarang, supaya masalah tentang agama yang melibatkan hukum-hakam dikawal selia dengan alasan daya memikir adalah berbahaya, dan membawa kepada serba ketidaktahuan. Umat Islam ketika itu kelihatannya berterima kasih kepada Mutawakkil, dengan anggapan ia seorang raja yang bertanggungjawab membela agama.
Sejarah mencatat ia seorang raja zalim tetapi orang memilih untuk bersyukur kerana ia zalim. Ia membawa seluruh umat kepada kemelesetan ilmu, kehilangan rasio, dan hilangnya keadilan sosial Islam, tetapi, dirai oleh sebahagian besar sebagai menepati selera kelompok terbesar ketika itu.
Pemuda ateis itu kurang berpuas hati dengan jawapan yang kuberikan, ia kemudian meminta aku memberikan jawapan mengapakah Tuhan yang telah berjanji untuk memberi rezeki kepada semua makhluk masih membiar sebahagian umat manusia terseksa menderita kebuluran? Tidakkah Tuhan tidak menepati janjinya bahawa rezeki setiap makhluk telah terjamin?
Di luar hujan kembali menggila, gelap membukat dan kami terbenam menggilir teh tarik beberapa gelas. Dia menarik asap rokok keras dan mendesak aku membayar tiap kemusykilan yang ia hamburkan.
Aku memberitahu pemuda ateis, benar dalam ayat 6 surah Hud, Allah sudah memberi jaminan bahawa tidak ada suatu binatang melata pun di muka bumi ini melainkan Allah memberikan ia rezeki. Akan tetapi pertama, jaminan rezeki bukanlah bermaksud ia akan dihantar di hadapan muka pintu atau disuap ke dalam mulut manusia yang berakal dan diberi kecerdasan.
Yang dimaksudkan dengan rezeki ialah ia wujud setimpal dengan usaha supaya rezeki itu terbuka mencurah ke pangkuan.
Mengetik gitar di Broadway
“Sudahkah kamu melupakan Maryam yang di saat sarat menanti kelahiran Isa ia mengengsot ke pohon kurma di Baitul Laham dan Allah memerintahkan Maryam yang sedang dalam kesakitan itu supaya menggoyang pangkal pohon kurma agar buahnya jatuh.”
Aku memberitahu pemuda ateis, benar dalam ayat 6 surah Hud, Allah sudah memberi jaminan bahawa tidak ada suatu binatang melata pun di muka bumi ini melainkan Allah memberikan ia rezeki. Akan tetapi kedua, Allah juga menetapkan prinsip-prinsip keadilan haruslah dipenuhi dalam kalangan manusia sebagai syarat jaminan rezeki untuk semua.
Jika masyarakat itu sendiri tidak dapat menjamin keadilan untuk diri mereka sendiri maka pembahagian rezeki secara adil tidak tertunai. Masyarakat yang mengganda usaha dan upaya akan beroleh rezeki dengan adil tetapi masyarakat yang membiar kezaliman menakluk mereka hanya akan mendapat apa yang mereka berhak dapat; mungkin ia seikat kangkung mungkin ia sekadar secebis roti.
“Tidakkah kamu sendiri memberitahu saya yang untuk hidup di kota pancaroba New York kamu harus mengetik gitar di luar Broadway supaya ada simpatisan menabur syiling dan kamu dapat membeli sebuku dua roti dari kedai Subway? Itu dapat terjadi dalam komuniti yang masih adil. Bayangkan jika terjadi dalam kalangan masyarakat yang mana hak-hak untuk mencari rezeki seperti mengetik gitar pun disangkal dan dinafi, tidakkah itu membuatkan kamu keputusan punca?”
Aku memberitahu pemuda ateis, benar dalam ayat 6 surah Hud, Allah sudah memberi jaminan bahawa tidak ada suatu binatang melata pun di muka bumi ini melainkan Allah memberikan ia rezeki. Akan tetapi ketiga, sumber rezeki itu harus dicapai dengan akal dan kreativiti. Setiap manusia berbakat untuk hidup berdikari saat ia tahu mengguna akal.
Jika ia ternyata gagal menerokai sepenuhnya bakat dan keupayaan akalnya secara penuh maka ia akan tertinggal.
Aku memberitahu pemuda ateis, sesungguhnya daerah-daerah kecil di benua Afrika itu sesungguhnya diketahui kaya sumber tetapi masih dilanda kebuluran kerana ternyata ada segelintir manusia jahat melakukan kerosakan di muka bumi dan tidak ditegah oleh sebahagian manusia yang lebih ramai.
Era Mutawakkil
Faktor-faktor kerosakan itulah yang menjerumus benua tersebut dalam kekelaman dan terhinjak oleh tirani. Begitulah era Mutawakkil menjadi tanda kepada penginstitusian Islam, demi memenuhi selera penjahat dan penzalim. Ia berterusan sehingga Islam menjadi alat untuk mempertahan status quo.
Bahawa sungguh, bumi bertuahku ini tidak sesekali terkecuali. Manusia di bumi ini, biar ia Islam atau bukan boleh sahaja suatu hari mendatang akan menjadi sangat susah dan terhentak lalu hidup dalam kelaparan jika ia tidak bertindak menggunakan akal, tidak menggerakkan keupayaan dan gagal menghidupkan bakat dan kreativiti.
Terputus makan badani gara-gara kezaliman penguasa, dan kemuflisan makan rohani gara-gara yang sama akan berterusan jika tiada tindak kuat melawan daripada Muslim yang menggunakan akal.
Allah telah menjamin, tetapi manusia harus siap memenuh tiap ruang supaya jaminan itu dapat dituai dan berhasil.
Di luar hujan menggila, gelap membukat dan kami berpisah tatkala malam kian larut. Ia menjabat tanganku, ia memberitahu dengan tegas dan matanya berkaca saat ia menuturkannya, “Saya masih seorang ateis selepas perbualan ini, tetapi saya akan pulang untuk memikir, dan mungkin saya akan memanggil abang lagi. Harap sudi bertemu lagi seperti ini.”
Aku angguk bersetuju dan kemudian aku bertanya, “Apa namamu?”
“Isa”. Ia membalas dalam tersipu.
Aku tersenyum, “Jadi bukanlah Rusli seperti dalam roman Ateis itu.”
Dia tertawa dan aku memetik bait dari ghazal Rumi yang penuh jenaka:
“Aku mabuk dan engkau gila – siapa yang akan membawa kita pulang ke rumah? Bukankah sudah kukatakan kepadamu; minumlah kurang dari dua, tiga gelas?”
