“Kassim Ahmad membuatkan pembacanya berfikir. Tidak ramai pengarang di Malaysia sedemikian. Soal bersetuju atau tidak dengan beliau itu soal kedua. Yang penting karya Kassim membuatkan pembaca terkesima, berfikir panjang dan memperkatakannya untuk beberapa lama,” ujarku kepada pelajar tersebut.
“Anti hadis itu?” Soalnya mendadak kepadaku. Kelihatan memang itu yang wajib ditanya.
“Kalau hadis itu ternyata merapu dan bertentangan dengan al Quran, bukankah patut kita mendahulukan al-Quran?”
Pelajar itu mampir ke kamar kerja dan menanyai apakah kita memerlukan seorang sasterawan negara? Kelihatannya para auliya’ dalam sastera ini sudah maksum, menjelma sebagai dewa dewi, dan bangsawan yang tidak mencemar duli menjejak bumi. Dia merungut bahawa dia tidak mengenal sesetengah daripada mereka, khusus beberapa orang yang mutakhir. Di manakah mereka tatkala dia, aku dan anggota masyarakat lainnya berdepan dengan konflik demi konflik masyarakat yang sulit dirungkai?
Aku terlihat-lihat janggut Pak Samad ( kanan ) di retina mata. Bahkan wajah tuanya terisi kukuh. Pun kata pelajarku, seakan mencabar dan mendesakku untuk memberi suatu jawapan yang betul; dia membayangkan puisi-puisi A Samad Said di alam maya meski amat kritis, dan bernuansa politik tetapi masih jauh dari menyaran ubat atau bertujuan merawat penyakit masyarakat, apatah lagi ummah.
Mungkinkah ada seniman, sasterawan, individu pengarang yang telah didiskriminasi, atau dipinggir secara penuh terencana dan tidak diberi peluang untuk menyatakan penawar dengan cara mereka.
Mereka dicekam, dikecam, dikekang, diregang dan kemudian menghilang. Aku percaya setiap dekad atau setiap generasi sasterawan di Malaysia, akan ada paling kurang seorang akan terluka bukan oleh pertarungan yang sihat; dipenjurukan bukan oleh individu masyarakat yang kehausan petunjuk, dan kemudian dibobrok oleh kaum sasterawan sendiri secara amat bias sekali sehingga mereka kehilangan status dan berakibat kepada kita kehilangan belahan sejumlah wacana yang signifikan.
Sasterawan terhempuk gelaran
Ishak Haji Muhammad, Mohd Affandi Hassan, dan Kassim Ahmad adalah antara nama yang sering aku impikan supaya berada di titik sentral. Mereka tidak perlu diterima atau diyakini, tetapi mesti diberi kesempatan untuk membawa idea, pemikiran dan gagasan sendiri. Namun demikian kelihatannya mereka menempuh jalur sukar kerana kaum sasterawan dan pengarang di negara ini berada dalam lemparan dan lingkungan angan-angan, mereka berada di dalam kayangan dan tercungap-cungap melakukan onani fantasi dan naratif yang tidak membantu sama sekali masyarakat.
Oleh kerana itu aku percaya, masyarakat kerugian dan mendapati sastera tidak menjanjikan sesuatu yang utuh buat mereka menyelesaikan krisis harian. Sasterawan yang sepatutnya menjadi pemikir sudah terhempuk oleh gelaran dan terpupuk oleh kebahagiaan yang dicipta oleh sekumpulan elitis. Justeru, rintihan pelajarku itu ternyata benar sebahagian jika ditelusuri pada permukaan.
Kunjungan pelajar tersebut ternyata amat menggangguku yang sudah terpelanting jauh dari daerah tengah sastera yang sesak oleh sekian ramai pengarang baharu. Malah, aku sudah terlalu jauh dari wilayah pusat sastera. Aku berasa jauh. Kassim lebih jauh, mungkin.
Jikalau aku didekati oleh seorang produser filem dari Barat, dan diminta memilih karya siapakah yang akan aku angkat untuk dilakukan adaptasi; aku akan memilih salah sebuah karya Kassim Ahmad. Benar, Kassim. Aku mengangan-angankan Perchintaan di Kuala Lumpur diangkat ke layar perak.
Cerpen ini harus sekali dibaca pasca laporan akhbar dengan judul “Apa lagi orang Cina mahu?” ( kiri ) atau tawaran tampar RM500 seorang perempuan Cina. Memang mesti. Cerpen cinta itu membabarkan kisah Kim Lian dan Rahim yang putus cinta mereka di tengah jalan kerana anasir ekstrim kanan dari kumpulan Melayu dan Cina. Padahal kedua-duanya hanyalah pasangan kekasih yang ingin mengecap kebahagiaan. Puak yang membantah percintaan mereka sehingga kedua-duanya terbunuh menjadikan alasan bahawa mereka adalah pembela maruah kaum.
Bahawa kebudayaan bangsa mereka akan tercemar saat terjadi pergaulan dan percampuran keduanya. Demikian tersepitnya manusia yang ingin bercinta oleh kegilaan, kefanatikan dan kemelampauan kaum dan agama. Memang ada kesejajaran antara cerpen ringkas itu dengan “Romeo and Juliet” tetapi apabila ia diungkap dalam konteks Malaysia, ia menjadi bertambah tragis.
Aku memikir, bukankah anasir keras seperti ini masih wujud dalam bentuk-bentuk yang berulangan sebagai menjati agama, sebagai memperkasa kaum, sebagai memulihara isme, atau sebagai membantah penodaan Melayu yang kononnya supreme ?
Aku memandang ke luar jendela.
Langit keruh dan azan asar sayup memanggil untuk semua, baik mereka dalam khidmat atau mereka dalam dosa. Salah satu ‘dosa’ Kassim Ahmad mungkin kerana ia ingin memeri semula peranan seorang ilmuwan di tengah masyarakat.
Kunci fikir
Dalam cerpen-cerpennya yang berjudul “Satu Cherita Biasa”, “Pertemuan” dan “Pengarang”, antara lain Kassim mengajak dengan halus para cendekiawan, siswa dan seniman untuk melakukan perubahan dalam masyarakat; kata kunci Kassim mudah – berfikir.
Aku menjelaskan kepada pelajar tersebut, “Saya menghargai Kassim. Dalam ramai-ramai orang menulis puisi tentang iman, saya hanya menyanjung Iqbal, Rumi dan Kassim.”
Pelajarku menjadi kaget. “Kassim menulis puisi tentang iman? Apa bunyinya?”
Aku pantas mencapai kumpulan “Kemarau di Lembah” dan membaca dengan suara perlahan.
Tuhan
atas nama kau
telah mereka rebutkan kekasihku
karena aku orang keluaran.
Tuhan
inilah keimanan anakmu
tigabelas abad beragama
aku tidak ingin berdosa.
Tuhan
aku tidak minta untuk mati
hidup menggelumang noda
aku tidak terima.
“Indah.” Kata pelajarku itu.
Aku dapat melihat dalam cepu kepalanya sedang bekerja meratah bait-bait “Tuhan, inilah keimanan anakmu”.
Bait itu terasa seru. Serasa mendebarkan. Dan aku menambah, “Dikarang pada tahun 1960.”
Perangai haiwan
Dalam hal menilai semula hadis-hadis, terdapat banyak kritikan Kassim terhadap tradisi hadis itu ternampak benar. Bahawa merujuk al-Quran itu lebih utama dari terikut-ikut sunnah (hadis) yang belum tentu benar (meski didakwa sahih) latarnya sebagai punca kejahilan dan kejatuhan umat.
Jenuhnya kajian Kassim hanya sempit terkongkong dalam dunia Syafie. Dia menyatakan di awal kajiannya bahawa Syafie digunakan sebagai kerangka. Kajian beliau wajar mengambil kira poin kumpulan lain dari Syafie yang menyaran supaya al-Quran dibaca dengan tradisi ahlul bait atau keluarga Nabi Muhammad SAW yang sungguh-sungguh tahu isi al-Quran itu.
Kassim, atau Syafie tidak mempunyai kemampuan merungkai mukjizat Nabi Muhammad SAW itu tanpa menyandar kepada warisan ahli keluarga baginda yang sudah dilantik menjadi penjaga, pemelihara dan penyimpan rahsia al-Quran supaya ia kekal relevan, benar, subur dan valid mengikut zaman. Andaikan Kassim di lanjut usia, dia pun jatuh menilik tradisi Ja’fari yang disentuhnya sambil lalu sahaja dalam Hadith: Satu Penilaian Semula itu. Barangkali sahaja Kassim akan mendapat jawapan atau keputusan berbeza. Aku berpandangan yang percampuran dua bahan kimia yang betul dalam satu radas yang munasabah memungkinkan keputusan yang lain dari sebelumnya.
Oleh kerana itu aku sering membiar sesiapa pun, Kassim atau pelajarku tersebut melakukan eksperimen, uji kaji, telaah di makmal agama. Aku menggalakkan sesiapa sahaja menilai apa pun. Manusia malah wajar menilai alam dan Tuhan ketika mencari-Nya, maka sekadar menilai hadis yang disangkakan tidak tuntas untuk menjadi rujukan menyelesai masalah ummah ternyata wajar diizinkan. Jangan kita lupa Nabi Ibrahim sendiri mencari penciptanya sebelum bertemu jua.
Lebih baik seorang pencuba itu berpuas hati dengan ujian-ujian yang dia lakukan sendiri dari dia disogok oleh hasil ujian dari sebuah institusi; katakanlah Jabatan Kemajuan Agama Islam, Dewan Ulama dan institusi masjid yang sangat memaksakan. Lama kelamaan orang bosan dengan agama kerana disuruh itu ini dan tidak dibenar mempersoalkan. Bukanlah semua manusia tidak mahu mengguna akal.
Terdapat sebilangan manusia menolak taklid dan memikirkan membuta setia adalah perangai haiwan. Mereka sentiasa memikir dan mencari kebenaran menerusi akal pemberian Tuhan. Akal diberi untuk mencari-Nya bukan dibonsai untuk dikurung dalam satu taman yang indah.
Karya terlarang
Berfikir sangat penting. Di negara ini berfikir adalah kesalahan. Sekolah melarang berfikir. Masjid melarang berfikir. Mufti melarang berfikir. Suratkhabar melarang berfikir. Sasterawan melarang berfikir. Menteri melarang berfikir. Majikan melarang berfikir. Justeru, aku berfikir jika ada seseorang dalam kalangan kita mengajak berfikir (walau ia tidak disetujui) dia harus diraikan kerana dalam proses menolak dirinya dia akan membuatkan kita berfikir.
Sasterawan atau sarjana seperti inilah yang digeruni pemerintah, agamawan, status quo kerana dia mengajak manusia berbeza. Perbezaan tidak semestinya menyimpang. Perbezaaan boleh sahaja terjadi kerana pemikiran telah mencapai tahap tidak mampu berada di wilayah yang sama lantas mencari jalan lain yang diguna untuk merentas jalan yang mungkin teras rumit dan panjang sebelumnya.
Hujung minggu ini, sekumpulan pemikir, pengekor sastera dan penyanjung Kassim Ahmad akan berhimpun di Putrajaya. Buat segelintir mereka, Kassim adalah maula. Menurut mereka pendapat Maulana Kassim ini wajar ditekuni dan diberi peluang untuk berkembang. Menurutku, jasa dan sumbangan Kassim amat jelas. Dia telah mendorong dan membuatkan orang berfikir.
Dia bukan sejenis sasterawan beku, atau bisu. Kita telah memiliki ramai sasterawan yang seperti itu. Malah mereka sudah pun dinegarakan sebagai sasterawan. Kassim lain. Dia tidak ternoda oleh wacana aliran perdana yang memestikan manusia mengikut dan menurut satu hala tuju menuju satu jihat yang ditentukan semata-mata. Dia melawan dan bertanya. Hebat.
Dia bertanya dan melawan. Dia mahu bangsanya keluar dari dunia selesa. Itu kan suatu sumbangan? Itu kerja pemikir. Itu tugas ahli ilmu. Meskipun aku tidak bersetuju semuanya apa yang dikata, tetapi Kassim adalah Kassim dan dia telah menunjukkanku dan kamu, bagaimana caranya menentang agamawan palsu dan birokrat agama yang jahat.
Intipati atau abstrak kerja-kerja Kassim itu terserlah dalam puisi hebohnya berjudul “Sidang Ruh” dan aku paling ingat bait-bait akhirnya yang demikian membakar waktu aku di tahun-tahun awal di Universiti Malaya; hari ini ia seakan-akan dituju kepada semua agamawan kangkung.
Nanti akan padamlah dengan sendirinya
lampu dari menara tinggi
karena dibawahnya orang kian mabuk
dan Tuhan sudah mati.
Untuk itu, untuk gerakan berfikirnya, maka Kassim Ahmad wajar mendapat standing ovation dan karya beliau yang terlarang mesti dibenarkan semula beredar dan dibaca. Bersetuju atau tidak perkara kedua, tetapi dia telah menggerakkan kenderaan akal kita untuk berfungsi. Itu memanglah luar biasa, tidak terbantah lagi.
