Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lebih dari sekali aku memberitahunya, betul, satu masa dahulu aku pernah beranggapan bahawa kalimah Allah adalah milik eksklusif umat Islam. Masa beredar, aku pun sedar. Apabila aku semakin menelaah aku mendapati alasan untuk mempunyakan kalimah tersebut untuk satu umat atau penganut agama tertentu kurang ada asasnya.

Ahad lalu, aku baru selesai mendengar ucapan Kassim Ahmad di Putrajaya dan menghantar Alex pulang ke UKM.

Panggilan masuk daripada Sharifah Sonia. Suaranya mendesak, “Ada ole-ole dari Kuching. Kalau mahu cepat, jom jumpa sekarang.”

Kami bertemu di Seri Kembangan, dan Sharifah Sonia, sengaja menjolok petang hangat dengan soalan berbara:

“Sejak bergelumang dalam hak asasi manusia, yang tidak berhak pun enta tolongkan ya? Ana paksa nak jumpa enta kerana ana hendak melakukan nahi mungkar. Ana nak enta menjadi Muslim sejati.”

Keningku bertemu. Kopi Somali pahit masih berasap aku letakkan kembali di atas meja.

“Apakah alasan bahawa Allah hanya berhak dipunyai umat Islam?”

Hak beragama

Temanku itu dengan lancar (mungkin lancang) menjawab, kerana terdapatnya ayat 171 dari surah An-Nisaa' berbunyi (terjemahannya):

“Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar sesungguhnya Al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripada-Nya.

“Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan '(Tuhan itu) tiga'. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhluk-Nya).”

Aku menerima ayat itu seratus peratus. Aku beriman dengan al-Quran. Namun aku juga sedang mengitar memusar logikanya. Begini, logika temanku itu adalah, oleh kerana Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan maka dengan sendirinya permintaan, tuntutan, dan hasrat umat Kristian untuk menggunakan kalimah Allah bagi merujuk ‘Tuhan’ ketika dalam khutbah, kitab suci dan juga pengajian mereka secara automatis tertolak.

Justeru menurutnya hak beragama masyarakat Kristian tergugur. Aku tidak berniat membahas konsep triniti di dalam Kristian kerana aku memikirkan itu tidak akan membuatkan Sharifah Sonia berfikir. Petang yang panas itu aku hanya mahu dia membuka pintu akalnya, bekerja untuk menggerakkan jentera otaknya.

Dalam benakku memikirkan, jika ayat itu digunakan untuk menolak penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, ayat apa pula akan digunakan oleh Sonia untuk menolak penggunaan kalimah Allah oleh umat Sikh?

Aku pernah menulis tentang kalimah Allah dalam sebuah esei yang agak panjang di Projek Dialog , judulnya “ Alien di Musytari Memohon Mengguna Kalimah Allah”.

Aku tidak bercadang menulis mengenai ini lagi. Namun demikian logika yang dimiliki oleh temanku itu wajarku sanggah. Logika seperti ini berbahaya untuk kemanusiaan. Logika seperti inilah yang mendorong manusia membunuh manusia lainnya atas dasar agama di belahan dunia lain.

Aku mengambil kesempatan menjelaskan; “Bukankah sebahagian besar umat Islam dari kelompok Asya`irah beranggapan Allah akan dapat dilihat suatu masa nanti (di akhirat), dan Allah turun dari langit ke bumi pada bulan atau tempoh tertentu, bahawa Allah bersemayam di Arasy? Kita pernah belajar mengenainya. Kita adalah lulusan syariah di peringkat ijazah sarjana muda. Enti masih beriman dengan itu semua?’

'Kau Muktazilah, aku Sunnah'

Dia masih tidak berkelip matanya. Terlihat ‘asap’ mengasak keluar dari pundak kepala. Aku menyambung:

“Jika ternyata Allah tidak boleh dilihat sampai bila pun, tidak menempati ruang apa pun, jadi Allah tidak turun ke bumi dan tidak naik ke langit, dan tidak memerlukan apa pun untuk menampung-Nya maka bolehkah dinyatakan bahawa dengan sendirinya penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian besar umat Islam dari kelompok Asya`irah bagi merujuk ‘Tuhan’ ketika dalam khutbah, teks agama dan juga pengajian mereka automatis ikut tertolak?

"Mengapa logika ini terpakai untuk Kristian dan tidak terpakai untuk enti ?"

Sebahagian besar umat Islam (di negara ini) menyatakan ketagihan untuk mengguna kalimah Allah oleh kelompok Kristian adalah salah kerana Allah di dalam al-Quran tidak seperti Allah yang difaham oleh umat Kristian.

Bolehkah dikatakan bahawa obsesi umat Islam kelompok Asya`irah untuk mengeksklusifkan kalimah Allah adalah salah kerana Allah di dalam al-Quran tidak seperti Allah yang berhak difaham dan ditafsir jika dirujuk kepada al-Quran dan akal sihat itu sendiri?

“Kau Muktazilah, sementara aku Ahlus Sunnah!” Sharifah Sonia hampir menempik.

Hilang sudah ana dan enta . Tangannya menggeletar, bibirnya bergetar; ternyata dia menahan amarah. ‘Asap’ berkepul-kepul. Spontan ada angka sembilan sembilan sembilan dalam kepala ini.

Aku membalas pantas, juga menelan kata rujuk ana - enti.

Sudahlah Son. Kita berdua pernah membaca al-Syahrastani sewaktu di tahun pertama universiti dahulu. Kau dan aku pun tahu istilah ahlus sunnah itu hanya terapung setelah al-Asy`ari berkecimpung dalam gerakan golongan al-Sifatiyyah dalam menetapkan sifat-sifat azali bagi Allah. Dia turun padang mendokong pendapat mereka dengan hujah-hujah ilmu kalam. Sejak itulah nama al-Sifatiyyah bertukar kepada al-Asy`ariyyah.

“Bila al-Baghdad melekatkan kata ‘jamaah’ maka itulah kau pun mendapat kata tersebut. Itu hanyalah satu wacana. Satu tafsiran. Satu fahaman. Satu aliran. Ia tidak bermakna wacana lain salah dan wacana itu sahaja betul. Janganlah kau ikut sama seperti orang lain mengata-ngata aku, sedangkan kau Son seorang ustazah dan terpelajar.”

Tak dapat dilihat

Bukanlah Muktazilah yang menetapkan Allah tidak dapat dilihat, ayat 143 surah Al-A'raaf menyatakan (terjemahannya):

“Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: 'Wahai Tuhanku! Perhatikanlah kepadaku (Dzat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu'.”

Allah berfirman:

"Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau itu tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku.

“Setelah Tuhannya ' tajalla' (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) 'tajalli-Nya' menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: 'Maha Suci Engkau (wahai Tuhan-Ku) aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku).'”

Dalam terjemahan Abdullah Yusuf Ali ke bahasa Inggeris, ayat ini berbunyi:

When Moses came to the place appointed by Us, and his Lord addressed him, He said: 'O my Lord! show (Thyself) to me, that I may look upon thee." Allah said: "By no means canst thou see Me (direct) But look upon the mount if it abide in its place, then shalt thou see Me.'

"When his Lord manifested His glory on the Mount, He made it as dust. And Moses fell down in a swoon. When he recovered his senses he said: "Glory be to Thee! to Thee I turn in repentance, and I am the first to believe."

Aku ingin menyedarkan Sharifah Sonia bahawa ayat 103, dari surah Al-An'aam juga menegaskan Allah tidak akan dapat dilihat, (terjemahannya):

“Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dialah yang Maha Halus (melayan hamba-hamba-Nya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.’

“Jika kau berpegang kepada ayat Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan untuk menafikan hak penggunaan kalimah Allah oleh umat Kristian, maka bayangkan jika ada aliran yang lebih besar, yang tiba-tiba menafikan hak penggunaan kalimah Allah oleh pengikut Asya`irah atas alasan yang kusebutkan tadi.”

Bertengkar

Petang yang panas berbahang itu aku memberitahu Sharifah Sonia bahawa Imam Jaafar as- Sadiq, oneng Rasulullah SAW mengatakan:

“Barang siapa menganggap Allah duduk di atas arasy bererti dia menganggap Allah berada di atas sesuatu. Ini bererti bahawa sesuatu yang menjadi tempat keberadaan Allah pastilah lebih kuat daripada Allah.

"Dan barang siapa menganggap Allah ada di suatu tempat, atau ada di atas sesuatu, atau ada suatu tempat yang tak ada Allah-nya, atau Dia menempati suatu ruang, bererti dia memandang Allah memiliki sifat-sifat khas yang ada sangkut-pautnya dengan makhluk-makhluk ciptaan-Nya, padahal Allah-lah Yang Menciptakan segala sesuatu.

"Allah tidak mungkin diukur atau dibandingkan dengan apa pun.

“Allah tak mungkin menyerupai manusia. Allah tidak absen dari mana pun. Allah juga tidak menempati suatu ruang khusus.”

Jika kenyataan logika ini dijadikan sandaran, maka umat Islam kelompok Asya`irah, seperti mana umat Kristian dan Sikh juga hilang kelayakan menggunakan kalimah Allah.

“Habis siapa yang berhak ke atas Allah?”

Aku ingin meredakan marah Sharifah Sonia, aku membujuk:

“Sudahlah Son, Allah adalah Tuhan yang Maha Mencipta. Manusia, dengan segenap limitasi, keterhadan dan keterbatasan akan memikirkan dengan penuh bingung tentang Allah. Manusia; Asya`irah, Syiah, Muktazilah termasuk juga manusia; Kristian, Sikh, Yahudi, Hindu akan mencipta konsep-konsep dan pemahaman sendiri-sendiri mengenai Tuhan.

"Benar salahnya konsep itu akan sering dipertengkarkan sampai kiamat. Ia tidak mendatangkan hasil yang banyak melainkan untuk orang yang menggunakan akal.

“Di akhirnya, yang jelas adalah Allah adalah Tuhan untuk semua kerana Allah adalah Tuhan, Yang Maha Menciptakan. Bagaimana ia disembah dan bagaimana dirujuk adalah perihal lain pula. Tentu setiap umat dan penganut agama akan mempunyai tanggapan dan pemahaman bahawa konsep mereka terbaik dan paling benar, bahawa kaedah penyembahan mereka adalah yang lurus. Itu sudah melampaui bab yang lain.

"Bertengkar mengenainya sangat meletihkan sekali. Tetapi hakikat bahawa Allah Menciptakan kita semua tidak tersangkal dan terpungkir lagi. Tidak ada yang dapat memadam hakikat ini. Kita berpegang pada fakta itu memadailah.”

Kawah berapi Sharifah Sonia

Petang itu aku merasai ledakan kawah berapi Sharifah Sonia. Ole-ole yang ingin diberi terlupakan (mungkin dia membatalkan hasrat pemberian di saat akhir). Bagai gunung berapi melemparkan lahar, teman lama itu meneriak-neriak sehingga pengunjung lain di kafe kopi yang sedang menikmati ahad yang berdebu tercangak-cangak memandang kami.

Malam itu juga aku mendapati Sharifah Sonia sudah mengeluarkan aku dari senarai temannya di Facebook. Tentu dia sudah mendaftar masuk dalam kumpulan anti Faisal Tehrani.

Manusia, memang aneh. Memang suka melakukan kerosakan dan menumpah darah. Setiap manusia, secara individu mempunyai satu atau lebih kumpulan yang berhubungan dengan dirinya. Kumpulan itu adalah berdasar ras, agama, kelas dan bermacam-macam lagi.

Individu atau insan dilayani oleh Allah dengan rahman dan rahim . Allah juga menuntut supaya formula atau pendekatan tersebut digunakan sesama kita.

Akan tetapi, apabila manusia melebihkan identiti kumpulan mengatasi nilainya sebagai seorang individu di situlah iblis yang berikrar menyesatkan dapat menyucuk jarum. Ia masuk, iblis melontarkan bermacam-macam sarana sehingga manusia saling berbalahan. Berlakulah penindasan, penganiayaan, penafian hak dan seribu satu diskriminasi.

Manusia secara berkumpulan lantas menjadi panas dan kumpulan manusia panas yang paling dominan akan menindas kumpulan manusia yang lebih kecil. Ia berlaku berulang kali bermacam zaman, di bermacam rantau dan tempat. Demikian ‘psycho-politics’ mengambil ruang dan membakar manusia secara kumpulan.

Anak kecilku pernah bertanya, siapakah tuhan Ultraman?

“Jika Ultraman itu makhluk yang hidup dan benar-benar wujud, ya, Ultraman pun adalah ciptaan Allah dan Allah adalah Tuhannya. Jika bangsa Ultraman itu kemudian mencipta-cipta satu konsep, wacana dan tafsiran tertentu mengenai Ultraman maka akan ada sebuah agama, atau mazhab ultramaniyyah.

"Betapa sesat pun mazhab atau agama ultramaniyyah tersebut menurut sudut pandang bangsa figura aksi yang lain, katakanlah Spiderman; bahawa Allah adalah Tuhan untuk Ultraman (dan Spiderman) tidak dapat dinafikan.”

Anak kecilku hanya memandang kosong pada peneranganku. Mata comelnya tidak berkelip.

Aku menyambung:

“Mujurlah Ultraman dan Spiderman bukan makhluk hidup. Jika mereka benar wujud dan hidup, bertambah sesaklah dunia dengan keberagaman agama. Dan bertambah banyaklah masalah yang perlu ditangani.

"Bayangkan bangsa Ultraman dan Spiderman bergasak untuk membuktikan salah satunya lebih benar. Bayangkan, fuh... tidakkah itu meletihkan?"


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS