Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kembali kita membicarakan tentang Prof Hamka dan ayahnya Haji Rasul. Pada siri yang lepas kita lihat bagaimana semangat ayahnya yang bangkit menghadapi penyelewengan Tarikat Naqsyabandi di tempat mereka.

Ini bukan bererti Hamka ataupun ayahnya menolak tasawuf, namun ilmu tasawuf yang diterima ialah yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah yang bebas dari karut marut yang tiada asalnya dari dua sumber yang agung itu.

Hal ini disebut oleh Hamka: “..yang penting ertinya untuk menentukan persimpangan jalan di antara tasawuf yang asli menurut sunah, dengan tasawuf yang sudah bercampur aduk dengan perbuatan yang membawa kepada wasilah, iaitu mengadakan perantaraan di antara seorang hamba dengan Tuhannya, dengan tasawuf yang tetap berpegang pada pangkalan Tauhid, iaitu mengadap Tuhan secara langsung, tidak melalui perantaraan.” (Prof Hamka, Ayahku , m/s 114. Selangor: Pustaka Dini 2007)

Ayahnya juga membetulkan amalan masyarakat Padang ketika itu berkaitan pengurusan jenazah. Amalan kenduri arwah yang menjadi adat masyarakat Melayu di sana dibantah oleh ayahnya Tuan Rasul seperti yang dicatatkan oleh Prof Hamka tentang peristiwa kematian datuknya.

Kata Prof Hamka: “Sebagai anak yang mencintai ayah, beliau turut bersama saudara-saudaranya yang lain memandikan ayahnya, bersama-sama juga adik ayahnya (amminya). Tetapi setelah penghulu-penghulu dan ulama-ulama, tuanku-tuanku dan lebai-lebai di seluruh Danau memutuskan hendak mengadakan kenduri kerana kematian itu, beliau menyatakan pendirian yang tegas, bahawa kenduri kerana kematian adalah haram dalam agama, wahsyah namanya. Sama hukum dengan meratap.

"Yang berasal dari agama hanyalah jika orang pergi menjenguk kematian membawa makanan untuk orang yang tengah ditimpa dukacita itu, sebaiknya makanan dimasak. Fatwa ini dilancarkannya di suraunya di Muara Pauh” (Ibid m/s 117).

Dalam suasana yang penuh semangat dan melalui pelbagai rintangan, Hamba membesar sebagai anak seorang dai yang berusaha melakukan islah dalam masyarakatnya.

Semangat ayah

Semangat perjuangan ayahnya menyerap masuk ke dalam jiwanya. Ini dapat kita lihat apabila Prof Hamka menceritakan pengalaman ayahnya dengan penuh semangat.

Umpamanya, ketika Prof Hamka bercerita bagaimana ‘ulama-ulama tua’ (istilah digunakan Hamka) menentang kedatangan ayahnya ke Tanah Melayu pada tahun 1916.

Kedatangan ayahnya ditentang oleh mufti-mufti Tanah Melayu. Hamka memetik kata-kata ayahnya:

“Menjadi mufti dalam kerajaan-kerajaan Melayu itu sangatlah megahnya. Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri. Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah, dan kalau beliau ingin hendak kahwin bismillah.”

Seterusnya Prof Hamka mengulas: “Sebelum beliau datang telah keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti- pen) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, wahabi, kaum muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari mazhab Syafie”. (Ibid m/s 160)

Prof Hamka juga menceritakan bagaimana beliau nekad seperti ayahnya:

“Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafie.

“Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya.

“Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafie akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa... alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!” (Ibid m/s 162).

Cabaran

Gerakan pembaharuan yang dibawa oleh Prof Hamka dan tokoh-tokoh pembaharuan Nusantara yang lain pasti menimbul keadaan yang tidak selesa golongan agama yang setia ada dan yang mereka yang ingin mempertahankan status quo dalam masyarakat. Maka, pelbagai tuduhan mula dilemparkan kepada gerakan pembaharuan dan usaha-usaha tajdid yang mereka jalankan. Bermula dengan gelaran ‘kaum muda, wahabi, sesat, tidak hormat ulama, menghina mazhab Syafiedan lain-lain lagi.

Prof Hamka telah menjawab fitnah-fitnah yang dilontarkan. Dengan tegas Prof Hamka membalas tohmahan-tohmahan itu, antaranya beliau berkata:

“Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha.

“Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam Kerajaan Turki. Bukunya ‘ Shawahidul haq ’ penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan… kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua”.

Katanya lagi:

“Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah! Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak.

“Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu. Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin (kelompok sufi - pen) ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya-muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau inipun tidak pula lepas daripada serangan.

“Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda.”

Kata Hamka lagi:

“Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali dan memang mazhab Hanbali terkenal mazhab yang keras mempertahankan sunah.

“Dan yang berpengaruh memperbaharui faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.” (Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, 76-77. Selangor: Pustaka Dini 2009).

Tidak hormat ulama

Antara fitnah yang dikenakan ke atas gerakan pembaharuan Indonesia dan juga di Tanah Melayu ketika itu ialah tuduhan bahawa golongan pembaharuan tidak hormati ulama.

Prof Hamka menjawab: “Kadangkala dikatakan Kaum Muda tidak hormat kepada ulama. Padahal yang mereka katakan ulama itu bukanlah Imam Malik atau Imam Syafie, tetapi beberapa pegawai kerajaan yang memakai serban dan jubah. Dan beliau pun merasakan dirinya ulama kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah” (Ibid m/s 66)

Golongan yang menentang usaha pembaharuan cuba memberikan gambaran salah kepada masyarakat awam kononnya golongan pembaharuan itu menghina al-Imam al-Syafie. Padahal yang disebut oleh golongan pembaharuan ialah kembali kepada teks asal al-Imam al-Syafie untuk melihat sejauh manakah benarnya dakwaan kononnya amalan setempat itu berasaskan pendapat al-Imam al-Syafie.

Di samping golongan pembaharuan mengajak melihat Islam lebih luas dari kerangka satu mazhab sahaja, sebaliknya mengambil manfaat ilmu dari tokoh-tokoh ulama muktabar dari pelbagai latar mazhab. Apa yang ditekankan oleh golongan pembaharuan ialah usaha berdamping dengan dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah yang dibincangkan oleh imam-imam yang besar. Ini dibimbangi oleh ‘kaum tua’ takut-takut amalan dan pendapat mereka akan disangkal oleh masyarakat. Maka, isu tidak menghormati ulama pun ditimbulkan.

Prof Hamka menjawab:

“Kedua, kata orang kami tidak menghormati ulama... hal ini saya huraikan dengan saksama, kaum muda amat hormat kepada: ulama. Kaum-muda insaf bahawa pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, manakan sampaikan ke tangan kita kalau bukan lantaran ulama. Kami sangat patuh kepada ulama ikutan kita keempat-empatnya: Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal.

“Demikian cinta hormati kami kepada beliau-beliau sehingga kalau ada ulama yang menjadi pengawal di luar yang mencuba-cuba menghalangi kami buat bertemu dengan pendapat-pendapat beliau-beliau, kami sirwak (memalukan) apa ulama lain itu, dan kami berkata kepinggirlah engkau! Kami hendak bertemu dengan beliau keempat-empatnya (imam empat) menyuruh kami meneruskan perjalanan ke atas, ke hulu agama: kepada al-Kitab dan as-sunnah dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh orang yang terdekat kepadanya, iaitu sahabat-sahabat Rasulullah.

“Padahal tatkala kami masih di muara-muara, banyak benar yang menghalangi. Datang syeikh fulan dan sudah jauh di bawah mutaakhirin (kebelakang), bahkan mutaakhiril mutaakhirin (kebelakang dari yang belakang) melarang keras! Jangan pergi ke hulu. Jangan! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang-halangi lagi. Maka dituduhlah kami sesat, siapa kita yang sesat? (Ibid m/s 63)

Saya akan sambung perbincangan pada siri berikutnya insya-Allah.

ADS